SOHC dan DOHC, dua perkataan empat abjad yang begitu sinonim dengan peminat automotif.
Rata-rata kalangan peminat automotif sedia maklum, enjin DOHC lebih superior berbanding SOHC dari segi potensi janaan kuasa. Apakah ini bermakna penggunaan SOHC pada enjin moden sudah ketinggalan zaman? Sebelum mengulas lanjut, kita ketahui terlebih dahulu mengenai maksud dua istilah tersebut:
SOHC dan DOHC ialah konfigurasi rangkaian injap (valve train) bagi sesebuah kenderaan dengan enjin pembakaran 4-lejang, seperti motosikal dan kereta.
Rangkaian injap itu, yang terletak di kepala silinder, berfungsi mengawal buk-tutup port masukan (intake port) dan port ekzos (exhaust port) pada masa tepat dengan menggunakan komponen seperti injap, sesondol (cam), aci sesondol (camshaft), lengan rocker (rocker arms), spring dan komponen lain yang bergantung tetapan pengeluar.
BACA >>> Fakta Ringkas dan Padat Mengenai Enjin Pembakaran Dalaman Yang Perlu Anda Tahu
1. SOHC (disebut Single Cam)
SOHC (Single Overhead Camshaft), melibatkan aci sesondol tunggal yang berfungsi mengawal buka-tutup kedua-dua port masukan dan ekzos melalui injap masukan dan injap ekzos yang dihubungkan melalui lengan ayun. Berdasarkan animasi di atas, kedudukan aci sesondol terletak di tengah kepala silinder, berpusing dan menolak lengan ayun yang berhubung ke injap.
Asalnya, konfigurasi SOHC digunakan untuk mengawal bukaan dua injap saja - satu masukan dan satu ekzos. Namun, seiring kemajuan teknologi, penggunaan lengan ayun bercabang membolehkan dua injap pada masukan dan ekzos, menjadikan 4 valve secara keseluruhan, sekali gus meningkatkan potensi kuasa sesebuah kenderaan.
PRO
- Binaan satu aci sesondol lebih ringkas, dan menjadikan enjin lebih ringan.
- Penggunaan bahan api lebih jimat.
- Kos penghasilan lebih rendah dan baik pulih lebih mudah.
- Tork kuat pada putaran enjin rendah kerana tidak banyak komponen bergerak.
KONTRA
- Proses penutupan injap lebih sukar pada putaran tinggi kerana saiz injap lebih besar. Ini berisiko menyebabkan masalah 'apungan injap' atau valve floating, yang mana injap tidak dapat tutup pada masa ditetapkan.
- Risiko valve floating mengehadkan potensi enjin untuk berputar dalam kelajuan lebih tinggi, sekali gus membataskan kuasa maksimum.
- Kedudukan aci sesondol di tengah kepala silinder menafikan posisi ideal palam pencucuh, menjadikan proses pembakaran kurang optimum.
BACA >>> #Videotomotif: Beginilah Cara Enjin Pembakaran Dalaman Bekerja - Gerak Perlahan 4,000fps!
2. DOHC (disebut Twin Cam)
DOHC (Double Overhead Camshaft) ialah penambahbaikan daripada SOHC yang menggunakan dua aci sesondol yang dihubungkan kepada injap masukan dan injap ekzos secara berasingan.
Tidak seperti implementasi 4 injap pada SOHC yang lebih rumit, DOHC dibina untuk menyokong 4 injap. Ini menjadikan DOHC sebagai jenis enjin pilihan utama bagi kebanyakan pengeluar berbanding SOHC, terutama dalam pembuatan kenderaan berprestasi tinggi.
Cuba lihat animasi di atas, ada aci sesondol berasingan di atas setiap injap masukan dan valve ekzos. Saiz port masukan dan ekzos berbeza kerana perbezaan tekanan udara di kedua-dua port tersebut, jadi, geometri sesondol boleh ditala secara berasingan (dan lebih mudah) untuk mendapatkan pemasaan lebih optimum.
PRO
- Pengunaan 4 injap (atau lebih) membolehkan udara dan bahan api dimasukkan lebih banyak dan deras.
- Risiko valve floating lebih rendah dan enjin mampu berputar pada kelajuan tinggi.
- Memudahkan implementasi teknologi pelbagai profil injap dan aci sesondol seperti VVA dan V-TEC yang mampu meningkatkan kuasa enjin pada kelajuan berputaran rendah dan tinggi.
- Enjin DOHC memberikan lebih kuasa berbanding SOHC yang bersesaran sama.
KONTRA
- Binaan rangkaian injap yang rumit membuatkan proses pembuatan dan baik pulih lebih sukar.
- Penggunaan bahan api lebih tinggi kerana bukaan port masukan lebih besar.
- Kurang berkuasa pada putaran enjin rendah kerana enjin perlu bekerja keras menggerakkan lebih banyak komponen.
MANA SATU LEBIH HEBAT?
Jika hanya dinilai berdasarkan kuasa semata-mata, sudah pasti DOHC lebih superior. Namun, melainkan jika kenderaan anda dipandu untuk tujuan perlumbaan, enjin SOHC masih mampu memberikan kuasa memuaskan, termasuk menjanjikan kos penyelenggaraan lebih rendah.
Walaupun DOHC mempunyai potensi kuasa lebih tinggi, penggunaan enjin itu pada kenderaan praktikal dan utiliti seperti motosikal bersesaran rendah menjadikan potensi DOHC tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya. Ini kerana kuasa yang dijana perlu diseimbangkan pada putaran rendah, dan pada masa sama terpaksa pula mengehadkan potensi putaran lebih tinggi.
Bagi mudahkan pemahaman, kita boleh gunakan perbandingan spesifikasi antara sportbike dan kapcai di bawah ini. Kedua-dua enjin memiliki sesaran enjin sama, tetapi berbeza konfigurasi rangkaian injap:
SPORTBIKE 4-LEJANG 150cc: Yamaha R15 v2.0 (SOHC) VS Honda CBR150R '14 (DOHC)
Motosikal sportbike direka untuk tunggangan lebih fokus, jadi di sini kita dapat lihat Honda CBR150R (18.28hp @ 10,500rpm) menggunakan potensi enjin DOHC sepenuhnya, jauh meninggalkan Yamaha R15 v2.0 (16.8hp @ 8,500rpm).
Lain pula cerita mengenai tork. Konfigurasi SOHC yang lebih ringan membuatkan R15 v2.0 mampu mencapai tork maksimum 15Nm @ 7,500rpm, sebaliknya CBR150R cuma 12.65Nm @ 8,500rpm
Jadi, mudah bagi kita untuk membuat kesimpulan bahawa R15 v2.0 sesuai bagi mereka yang gemar meratah corner, manakala CBR150R lebih sesuai buat mereka yang mahukan lebih kelajuan di lebuh raya.
KAPCAI 4-LEJANG 150cc: Yamaha Y15ZR (SOHC) vs Honda RS150R (DOHC)
Berlainan pula dengan enjin bersesaran sama yang dipakejkan dalam bentuk kapcai. Kapcai ialah segmen motosikal yang dibina untuk memudahkan pergerakan dalam bandar melibatkan banyak situasi henti-gerak. Jadi, penting bagi kapcai mempunyai tork tinggi supaya mudah memulakan perjalanan selain mampu mengekalkan kuasa jika perlu ditunggang laju di lebuh raya.
Walaupun enjin 4-lejang 150cc DOHC pada Honda RS150R bersesaran sama dengan abangnya, si sportbike CBR150R, tetapi talaan dilakukan supaya dapat beraksi seperti sebuah enjin SOHC Y15ZR. Dalam konfigurasi standard, tidak banyak perbezaan prestasi membabitkan kedua-dua kapcai 150cc tersebut selain gaya dan rekabentuk, serta potensi modifikasi yang mana alat ganti Y15ZR lebih mudah didapati.
BACA >>> Akhirnya, Yamaha Y15ZR V2 Kini di Malaysia - Harga Masih Lagi Rahsia!
KESIMPULAN
Kesimpulannya, SOHC ada kelebihan pada kelajuan rendah, manakala DOHC lebih sesuai buat anda yang mahukan kuasa lebih tinggi secara keseluruhan. Namun, perkembangan teknologi dan fokus pengeluar berhubung aspek penjimatan bahan api dan praktikaliti membuatkan perbezaan antara enjin SOHC atau DOHC tidak lagi begitu ketara.
Terserah kepada anda untuk menilai enjin mana satukah lebih menepati keperluan, cita rasa dan kewangan anda.
RUJUKAN:
Animasi SOHC vs DOHC
Yamaha R15 vs Honda CBR150R oleh Zigwheels.com
Yamaha Y15ZR vs Honda RS150R oleh Paultan.org
MOHD RODI BIN MDNOR says
Jika saya hari² berulangalik kerja menggunakan hinghway sejauh 180km sehari dan inginkan kelajuan yg mantap yg manakah lebih sesuai...enjin sohc atau dohc...
Nazri says
Mungkin DOCH
Blues says
Kalau SOHC 1.8 top speed dalam berapa berbanding dosc?suka mendengar Soch jimat minyak n torgh lebih kuat..cuma nak pastikan top dapat berapa?
Rider 08 says
saya lebih menggemari kelajuan tinggi pd jarak jauh..jd sy memilih engin DOHC kerana terasa nikmat pabila berada di atas higway..