
JENAMA motosikal Itali, Ducati, sekali lagi mengangkat standard superbike ke tahap baharu menerusi pengenalan Ducati Superleggera V4 Centenario, model edisi khas yang dianggap sebagai motosikal jalan raya paling ekstrem pernah dihasilkan pengeluar dari Borgo Panigale itu.
Dibangunkan sempena ulang tahun ke-100 Ducati, model ini dihasilkan dalam 500 unit bernombor sahaja, menjadikannya antara model paling eksklusif dalam sejarah jenama tersebut. Lebih menarik, Ducati turut menawarkan 100 unit versi Tricolore bagi meraikan detik bersejarah ini.
Enjin 1,103cc V4, Cecah 247 HP Dalam Mod Trek

Nadi utama Superleggera V4 Centenario ialah enjin baharu Desmosedici Stradale R 1100 berkapasiti 1,103cc V4, dibangunkan khas untuk model ini.
Dalam spesifikasi jalan raya Euro 5+, enjin ini menghasilkan 228 horsepower, manakala output meningkat kepada 247 horsepower apabila dipadankan dengan sistem ekzos perlumbaan Akrapovič yang dibekalkan standard dalam kit trek. Ducati mendakwa nisbah kuasa kepada berat mencecah 1.48 hp/kg, satu angka yang luar biasa untuk motosikal produksi sah jalan raya.
Casis Gentian Karbon Sepenuhnya
Apa yang benar-benar membezakan model ini ialah penggunaan gentian karbon secara menyeluruh pada casis.
Antara komponen yang menggunakan material tersebut termasuk:
- rangka hadapan
- subframe depan dan belakang
- lengan ayun (swingarm)
- rim
- fairing penuh
- pelindung komponen
Hasilnya, berat basah tanpa bahan api hanya 173 kg, dan turun kepada 167 kg apabila dipasang kit perlumbaan.
Ini menjadikannya antara superbike V4 paling ringan pernah dihasilkan Ducati.
Brek Karbon-Seramik Pertama Di Dunia Untuk Motosikal Jalan Raya
Superleggera V4 Centenario turut mencipta sejarah sebagai motosikal jalan raya pertama di dunia menggunakan cakera brek karbon-seramik.
Sistem Brembo baharu ini menggunakan cakera 340 mm carbon-ceramic, dipadankan dengan angkup monoblock GP4-HY billet. Berbanding cakera keluli konvensional, setiap cakera lebih ringan sekitar 450 gram, sekali gus mengurangkan inertia sehingga 40 peratus untuk respons stereng yang lebih pantas dan tepat.
Fork Karbon Öhlins Pertama Untuk Road Bike

Satu lagi teknologi pertama dunia ialah penggunaan fork Öhlins NPX 25/30 Carbon pressurized dengan sleeve gentian karbon. Fork ini bukan sahaja lebih ringan berbanding Panigale V4 R, malah menawarkan rasa front-end yang lebih tajam ketika membrek dan masuk selekoh – teknologi yang jelas diinspirasikan daripada MotoGP.
Di belakang, Ducati memasangkan penyerap hentak Öhlins TTX36 GP LW dengan linkage titanium bagi memastikan tahap ringan maksimum.
Aerodinamik Dari MotoGP
Dari segi reka bentuk, model ini menggunakan winglet dan Corner Sidepods yang diambil terus daripada jentera Panigale V4 R Superbike. Teknologi ini membantu menghasilkan kesan ‘ground effect’ ketika motosikal berada pada sudut condong tinggi, sekali gus meningkatkan cengkaman tayar dan kestabilan di selekoh.
Livery khas Rosso Centenario pula menjadi simbol ulang tahun ke-100 Ducati, malah turut memberi inspirasi kepada liveri rasmi jentera MotoGP dan WorldSBK musim 2026.
Elektronik Tahap MotoGP

Pakej elektronik turut berada pada tahap tertinggi, antaranya:
- Ducati Traction Control (DTC) DVO
- Ducati Wheelie Control (DWC) DVO
- Slide Control (DSC)
- Ducati Power Launch (DPL)
- Cornering ABS
- Dynamic Engine Brake (DEB)
- Ducati Quick Shift 2.0
Kesemua sistem ini dibangunkan bagi memberi pengalaman tunggangan hampir setaraf pelumba profesional.
Eksklusif Untuk Pengumpul
Setiap unit dihantar dalam peti kayu eksklusif, lengkap dengan sijil ketulenan, paddock stand, bike cover, kit trek serta akses kepada pilihan MotoGP Experience untuk 26 pemilik terpilih.
Secara ringkas, Ducati Superleggera V4 Centenario bukan sekadar motosikal – ia adalah karya kejuruteraan, simbol status dan item kolektor yang sangat rare. Untuk peminat Ducati dan superbike tegar, inilah definisi sebenar “dream bike without compromise.”
SUMBER: Ducati


























