DUCATI memperkenalkan program baharu yang membawa konsep personalisasi atau kustom terus dari kilang, iaitu Ducati Factory Made (DFM), khas untuk motosikal dari Borgo Panigale buat kali pertama.
Dilancarkan di Eropah pada 16 Februari, program itu debut bersama Ducati Multistrada V4 yang membolehkan pembeli menetapkan spesifikasi pilihan pelanggan ketika membuat tempahan.

Semua komponen dan pilihan dipasang secara terus di barisan pengeluaran tanpa memerlukan sebarang ubah suai selepas jualan.
Program itu memastikan motosikal dihantar dalam keadaan lengkap seperti ditempah, dengan pemasangan secara in-line yang mengekalkan keseragaman dan piawaian kualiti pengeluaran Ducati.
Pilihan Warna, Liveri
Antara elemen utama Ducati Factory Made adalah pilihan warna dan liveri yang lebih meluas. Pilihan ditawarkan merangkumi:
- Icone – Menampilkan warna tradisi Ducati
- Style – Kemasan berkilat yang menyerlahkan karakter moden
- Sophistication – Pilihan warna kusam untuk sentuhan lebih eksklusif
- Performance Liveries – Imej lebih sporty
- Ducati Corse Liveries – Diilhamkan daripada dunia lumba
Program itu juga adalah kesinambungan kerjasama antara Ducati dan Automobili Lamborghini.
Beberapa warna ikonik Ad Personam Lamborghini juga ditawarkan dalam konfigurator Multistrada V4, termasuk Viola Pasifae (ungu metalik), Arancio Xanto (jingga terang), Giallo Belenus (kuning terang), Blu Uranus (biru terang) dan Verde Scandal (hijau terang).
Komponen Teknikal, Ergonomik
Selain aspek visual, Ducati Factory Made turut melibatkan pilihan teknikal seperti rim tuang pelbagai warna, rim tuang aloi ringan, rim jejari, dan pilihan warna untuk subfrem belakang dan kaliper brek.
Pilihan konfigurasi turut melibatkan tinggi pelana dan pembonceng, serta tetapan suspensi, yang menjadikan tahap personalisasi terus dari kilang itu lebih menyeluruh tanpa menjejaskan integriti pemasangan.
Pelanggan juga boleh menggabungkan spesifikasi pilihan dengan pakej rasmi Ducati seperti Touring, Adventure, Sport, Tech dan Enduro mengikut keperluan masing-masing.

Pikes Peak, RS
Program tersebut turut melibatkan varian seperti Ducati Multistrada V4 Pikes Peak dan Multistrada V4 RS yang hadir dengan kelengkapan serta liveri khas.
Bagi model tersebut, konfigurator membolehkan pemilihan pilihan ergonomik seperti variasi tinggi pelana, warna kaliper brek (jika tidak termasuk dalam liveri asal), lampu tambahan, dan komponen karbon tambahan.
Ducati Factory Made kini tersedia di laman web rasmi Ducati. Selepas konfigurasi disiapkan, pelanggan boleh menghantar spesifikasi tersebut kepada pengedar pilihan untuk mendapatkan sebut harga rasmi.






































