
PELUMBA Red Bull KTM Factory Racing, Luciano Benavides dari Argentina, muncul sebagai juara Dakar Rally 2026 dalam salah satu penamat paling dramatik dalam sejarah perlumbaan rali lasak itu. Beliau menewaskan pesaing terdekatnya dengan perbezaan hanya dua saat selepas pertarungan sengit merentasi padang pasir Arab Saudi, sekali gus menghadiahkan KTM kejuaraan Dakar ke-21 mereka.
Menunggang jentera KTM 450 RALLY, Benavides mempamerkan ketahanan mental dan fizikal luar biasa, enggan mengalah walaupun berdepan tekanan hebat serta cabaran teknikal sepanjang perlumbaan. Serangan berterusan sehingga kilometer terakhir terbukti membuahkan hasil, menjadikan kemenangan ini sebagai pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini.
Prestasi Konsisten Hingga Ke Penamat

Sepanjang Dakar Rally 2026, Benavides menampilkan gabungan kelajuan, konsistensi dan pengurusan perlumbaan yang matang. Beliau mencatat tiga kemenangan peringkat, termasuk kemenangan penting pada peringkat maraton pertama, dan kekal bersaing di barisan hadapan ketika laluan menjadi semakin mencabar.
Kemenangan ini juga melakar sejarah sebagai penamat paling rapat dalam sejarah Dakar, selain meneruskan legasi keluarga Benavides selepas kejayaan abang beliau, Kevin Benavides, yang pernah menjuarai Dakar pada 2021 dan 2023.
Sumbangan Besar Pelumba KTM Yang Lain

Kem Red Bull KTM Factory Racing turut disokong prestasi cemerlang Daniel Sanders dan Edgar Canet. Sanders, yang bergelut dengan kecederaan pada minggu kedua perlumbaan, tetap meneruskan saingan dan menamatkan Dakar di kedudukan kelima keseluruhan, membuktikan semangat juang tinggi yang sinonim dengan perlumbaan Dakar.
Bagi Edgar Canet pula, Dakar 2026 menjadi penanda aras penting dalam kariernya. Membuat penampilan sulung dalam kategori RallyGP, pelumba Sepanyol itu mencuri tumpuan apabila memenangi prolog dan peringkat pertama, sekali gus menjadi pemenang peringkat termuda dalam kategori motosikal. Walaupun isu teknikal menjejaskan peluang keseluruhan, Canet menutup kempen dengan kemenangan pada peringkat terakhir.
Kejayaan KTM Merentasi Pelbagai Kategori

Selain kejuaraan keseluruhan, KTM turut cemerlang dalam kategori lain. Toni Mulec menjuarai kelas Rally2 bersama BAS World KTM, manakala Benjamin Melot mencatat kemenangan dalam kelas Malle Moto, sekali gus mengukuhkan reputasi KTM 450 RALLY sebagai jentera rali pelanggan paling kompetitif di peringkat tertinggi.
Dengan berakhirnya Dakar Rally 2026, Red Bull KTM Factory Racing kini mengalihkan fokus ke musim rali seterusnya, berbekalkan keyakinan hasil kejayaan keseluruhan, kemenangan peringkat dan pembangunan berterusan jentera KTM 450 RALLY.
Keputusan Sementara Dakar Rally 2026 (Keseluruhan) 
- Luciano Benavides (ARG) – KTM – 49:00:41
- Ricky Brabec (USA) – Honda – +0:02
- Tosha Schareina (ESP) – Honda – +25:12
- Skyler Howes (USA) – Honda – +56:41
- Daniel Sanders (AUS) – KTM – +1:03:15
SUMBER: KTM PRESS


















