CHERY Group terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila jualan Julai 2025 mencecah 224,439 unit, meningkat 14.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 65,357 unit ialah kenderaan tenaga baharu (NEV), melonjak 44.1 peratus tahun ke tahun. Eksport pula meningkat 31.9 peratus kepada 119,090 unit, mengukuhkan kedudukan Chery sebagai pengeksport automotif nombor satu di China.
Pertumbuhan itu dipacu strategi utama Chery, dipanggil 'Empat Strategi Pembangunan' (Four Development Strategies) meliputi pematuhan peraturan, penglokalan produk, peningkatan daya saing dan perbezaan pasaran.
Antara pasaran utama yang mencatat jualan memberangsangkan ialah Brazil, Australia, Afrika Selatan, Malaysia dan Sepanyol. Di Brazil, jualan kini melebihi 6,000 unit sebulan, manakala Australia kekal stabil sekitar 3,000 unit sebulan.
Jualan Cecah 1 Juta Unit
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, Chery merekod jualan keseluruhan 1,484,563 unit (naik 14.5 peratus), dengan eksport 669,360 unit.
Jualan NEV melonjak 87.7 peratus kepada 424,737 unit, meletakkan Chery antara jenama automotif dengan pertumbuhan terpantas dunia. Chery kini mempunyai lebih 17.18 juta pelanggan global, termasuk 5.17 juta pemilik di luar negara.
Pencapaian 'Double 500', Lonjakan Terpantas dalam Fortune Global 500, Fortune China 500
Pada Julai 2025 menyaksikan Chery mencapai pencapaian bersejarah 'Double 500' apabila menduduki tangga ke-233 dunia (naik dari 385, 2024) dalam senarai Fortune Global 500 dan tangga ke-59 dalam Fortune China 500 (naik dari 100, 2024).
Chery juga menjadi jenama automotif China pertama yang melepasi 5 juta eksport kenderaan kumulatif ke seluruh dunia.
Inovasi Teknologi, Komitmen Keselamatan
Selari komitmen terhadap pertumbuhan berkualiti tinggi jangka panjang, Chery terus membangunkan produk dan teknologi yang memenuhi permintaan global, seperti:
- Arkitektur platform baharu
- Enjin hibrid kecekapan tinggi
- Sistem pemanduan elektrik dan bateri canggih
- Antaramuka pintar, termasuk sistem hibrid Chery Super Hybrid (CSH) yang dibangunkan sendiri
Komitmen keselamatan Chery dizahirkan melalui program Cabaran Keselamatan Global (Global Safety Challenge), melibatkan ujian ekstrem di lima negara:
- China: Ujian terbalik spiral, perlanggaran dua kenderaan, dan susunan tujuh kenderaan secara menegak
- Indonesia: Perendaman bateri CSH selama 54 jam dalam air laut
- Mexico: Ujian calar bateri berintensiti tinggi
- Brazil dan Afrika Selatan: Lokasi penutup cabaran keselamatan selama setahun ini
Dengan pencapaian jualan kukuh, peningkatan kedudukan dalam senarai Fortune 500, dan komitmen terhadap inovasi serta keselamatan, Chery kini semakin mengukuhkan reputasi sebagai jenama automotif China bertaraf dunia.
Leave a Reply