TIDAK semua kereta mengalami susut nilai kerana terdapat beberapa model yang berlawanan dengan hukum susut nilai, antaranya produk Bugatti. Usahkan Bugatti, motosikal 90-an seperti Yamaha RX-Z (dalam kondisi baik) pun berharga tinggi. Berdasarkan trend kenaikan harga, ada pembeli hartawan yang mendapatkan Bugatti untuk disimpan.
Simpanan kereta mewujudkan peluang perniagaan dan memang ada syarikat yang mengkhususkan perkhidmatan tersebut. Contoh terdekat boleh ditemui di Pulau Langkawi kerana kereta di sana tidak dikenakan cukai dan duti.
Ini pula contoh menarik diperakui pengeluar. Bugatti Edition by Fahrengold menawarkan Bugatti Edition FG-01 Garage, Bugatti Edition CarPad dan CarPad Pro stages by Fahrengold.
Fahrengold dari Jerman ialah pakar dalam produk sebegini kerana perkhidmatan ditawarkan bukan saja untuk menyimpan, tetapi mempamerkan Bugatti bak mahkota.
Garaj khas dinamakan FG-01 Bugatti Edition Garage dilengkapi sistem keselamatan canggih, kawalan suhu dan kelembapan, yang mana pemilik Bugatti boleh membuat tempahan mengikut pilihan peribadi.
Logo Bugatti dan EB dinyalakan pada dinding dengan aksen kaca buatan khas dan pad pelindung tayar. Bukan saja kereta, garaj khas ini turut dilengkapi kabinet dan ruang kaca untuk menyimpan helmet dan sebagainya berserta plak khas yang dibuat untuk mempamerkan butiran kenderaan.
Bugatti Edition CarPad dan CarPad Pro by Fahrengold pula ialah platform khas supaya Bugatti tidak dibiarkan diparkir atas permukaan biasa.
Platform CarPad dan CarPad Pro buatan khas pernah digunakan sebelum ini seperti ketika pengenalan Chiron Profilée, W16 Mistral dan Tourbillon selain Bugatti Type 35 sempena tribut ulang tahun ke-100 pada 2024.
CarPad Bugatti Edition tampil istimewa dengan lencana Bugatti yang menunjukkan butiran kenderaan dan pilihan bingkai gentian karbon yang menyamai kemasan kereta dan pad pelindung tayar yang sekata permukaan.
CarPad dan CarPad Pro dilengkapi nyalaan LED dalam semua warna dan bendera Perancis, manakala istimewa untuk Pro ialah logo EB bernyala pada bingkai platform.
Leave a Reply