PENGEDAR rasmi motosikal Honda di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH) hari ini memperkenalkan kemas kini 2026 untuk model adventure touring, Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES pada harga RM99,888.
Model itu hadir dengan pembaharuan visual lebih segar dan aspek teknikal ditambah baik yang menyasarkan penunggang jarak jauh dan pencinta eksplorasi.
Langkah itu memperlihatkan strategi jelas Honda untuk terus mengukuhkan dominasi dalam segmen advencer premium tempatan, yang menumpukan kepada kepada prestasi dan kembara ekstrem.
Jentera Jelajah Sempadan
Honda Africa Twin 2026 menampilkan grafik dan jalur baharu lebih menyerlah, tetapi perubahan paling penting terletak pada talaan enjin dan sistem elektronik.
Dikuasakan enjin 2-silinder sebaris Parallel-Twin 1,084cc dengan nisbah mampatan 10.5:1 dan talaan injap dikemas kini, yang menghasilkan output kuasa 75kW (102hp) @ 7,500rpm, dan tork 112Nm @ 5,500rpm.
Karakter kuasa linear dan bertenaga pada julat pertengahan menjadikan model heaviweight itu sesuai untuk lebuh raya atau laluan off-road teknikal.
Padanan rim 19 inci di depan dan pusat graviti (CoG) lebih rendah membantu meningkatkan kestabilan serta keyakinan ketika menukar arah atas pelbagai permukaan jalan.
Elektronik Canggih, Suspensi Semi-Aktif
Honda Africa Twin 2026 dilengkapi unit unjuran inersia (IMU) 6-paksi dengan sistem terotel elektronik Throttle-By-Wire (TBW) yang menawarkan empat mod tunggang: Tour, Urban, Gravel dan Off-Road.
Sistem itu turut mengawal ciri kawalan traksi Honda Selectable Torque Control (HSTC) 7-tetapan, seperti Kawalan Wheelie dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Belokan untuk tahap keselamatan maksimum.
Model Adventure Sports ES itu turut hadir dengan suspensi elektronik Showa EERA sebagai standard, dengan damper boleh laras masa nyata untuk mod Hard, Mid, Soft da nOff-Road.
Sistem ABS belakang juga boleh dinyah aktif untuk kawalan lebih bebas ketika tunggangan lasak.
Keselesaan Touring Taraf Premium
Bagi tunggangan jarak jauh, Honda Africa Twin menggunakan transmisi jenis dual-klac (DCT) yang memberikan fiil klac lebih lembut dan lancar.
Pelana premium boleh dilaras tanpa alatan antara 820mm dan 840mm, manakala visor angin boleh laras 5-tetapan membantu mengurangkan keletihan ketika meredah perjalanan jauh.
Panel meter skrin sentuh TFT 6.5 inci menyokong konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto, yang membolehkan akses navigasi dan komunikasi.
Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES ditawarkan dalam pilihan dua warna: Pearl Glare White (putih) dan Matte Iridium Gray Metallic (kelabu) pada harga RM99,888, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.























