
PENGEDAR motosikal, Boon Siew Honda (BSH) hari ini memperkenalkan kemas kini 2026 bagi ikon adventure mereka, Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES. Dari harga bermula RM99,888, model ini hadir dengan pembaharuan visual lebih segar serta penambahbaikan teknikal yang menyasarkan penunggang jarak jauh dan pencinta eksplorasi.
Langkah ini memperlihatkan strategi jelas Honda untuk terus mengukuhkan dominasi dalam segmen adventure premium tempatan, satu fokus kepada prestasi dan touring ekstrem.
Jentera Jelajah Sempadan

Africa Twin 2026 tampil dengan grafik dan jalur rekaan baharu yang lebih menyerlah, namun perubahan paling penting terletak pada talaan enjin dan sistem elektronik. Dikuasakan enjin Parallel-Twin 1,084cc dengan nisbah mampatan 10.5:1 serta talaan injap dikemas kini, model ini menghasilkan 75kW (sekitar 102hp) pada 7,500rpm dan tork puncak 112Nm pada 5,500rpm.
Karakter kuasa yang linear dan kuat pada julat pertengahan menjadikannya sesuai untuk lebuh raya mahupun laluan off-road teknikal. Padanan roda hadapan 19-inci dan pusat graviti lebih rendah membantu meningkatkan kestabilan serta keyakinan ketika menukar arah di pelbagai permukaan.
Elektronik Canggih, Suspensi Semi-Aktif

Africa Twin dilengkapi Unit Pengukuran Inersia (IMU) enam paksi bersama sistem Throttle-By-Wire yang menawarkan empat mod tunggangan: Tour, Urban, Gravel dan Off-Road. Sistem ini mengawal Honda Selectable Torque Control (HSTC) tujuh tahap, Wheelie Control serta Cornering ABS untuk tahap keselamatan maksimum.
Model Adventure Sports ES turut hadir dengan suspensi elektronik Showa EERA sebagai standard, membolehkan pelarasan redaman masa nyata melalui mod Hard, Mid, Soft dan Off-Road. Sistem ABS belakang juga boleh dinyahaktif untuk kawalan lebih bebas ketika tunggangan lasak.
Keselesaan Touring Bertaraf Premium

Bagi tunggangan jarak jauh, Africa Twin dilengkapi transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) yang memberikan rasa klac lebih lembut dan lancar. Tempat duduk premium boleh dilaras antara 820mm hingga 840mm tanpa alatan, manakala pelindung angin boleh laras lima tahap membantu mengurangkan keletihan ketika meredah perjalanan jauh.
Paparan skrin sentuh TFT 6.5-inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, membolehkan navigasi dan komunikasi diakses terus dari kokpit. Model ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Pearl Glare White dan Matte Iridium Gray Metallic pada harga cadangan RM99,888 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).
















