![]()
BMW Group Malaysia meneruskan momentum cemerlang sebagai peneraju automotif premium negara ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) premium nombor satu Malaysia.
Dengan lebih lima dekad kehadiran dalam industri automotif tempatan, prestasi 2025 mencerminkan keyakinan pelanggan yang berterusan terhadap jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad.
Pada 2025, BMW Group Malaysia mencatatkan penyerahan lebih 10,800 unit kenderaan, merangkumi BMW, MINI dan BMW Motorrad, dengan 55 peratus daripadanya ialah model pemasangan tempatan (CKD).
Pencapaian itu mengekalkan kedudukan BMW Group Malaysia sebagai Pengeluar Automotif Premium Nombor Satu Malaysia sejak 2020, selain memperlihat komitmen jangka panjang jenama itu terhadap pembangunan industri automotif negara.
Kepimpinan Konsisten dalam Mobiliti Elektrik Premium

Selari peralihan global ke arah elektrifikasi, BMW Group Malaysia terus mendominasi segmen EV premium tempatan untuk tahun keenam berturut-turut.
Sepanjang 2025, lebih 2,700 unit kenderaan serba elektrik BMW, MINI dan BMW Motorrad diserahkan, mewakili 25.2 peratus daripada keseluruhan jumlah penyerahan tahunan, yang juga peningkatan ketara berbanding 20.6 peratus pada 2024.
Peningkatan tersebut membuktikan penerimaan kukuh pasaran terhadap portfolio EV BMW Group Malaysia yang semakin meluas, merangkumi segmen sedan, kenderaan aktiviti sukan (SAV), hatchback dan motosikal, sekali gus memberikan pelanggan kuasa pilihan, sejajar prinsip keterbukaan teknologi jenama berkenaan. .
Prestasi Kukuh Setiap Jenama Bawah Kumpulan

Dari sudut prestasi jenama, BMW mencatatkan lebih 7,700 unit penyerahan kenderaan premium sepanjang 2025.
MINI Malaysia pula merekodkan lebih 1,500 unit penyerahan, meningkat 8.7 peratus berbanding tahun terdahulu, manakala BMW Motorrad meneruskan trajektori positif dengan lebih 1,600 unit motosikal premium diserahkan, peningkatan tahunan 3.8 peratus.
Prestasi seimbang merentasi ketiga-tiga jenama itu mengukuhkan kekuatan portfolio BMW Group Malaysia yang merangkumi pelbagai segmen, daripada kenderaan penumpang premium hingga motosikal prestasi tinggi dan mobiliti bandar.
Momentum Produk, Pengaruh Global
Tahun 2025 turut disokong momentum produk agresif dengan pengenalan 37 model dan varian baharu dalam pasaran tempatan. Strategi itu mengukuhkan lagi janji jenama itu untuk menawarkan pilihan mobiliti yang pelbagai, sama ada enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid atau elektrik penuh.
Di peringkat global, BMW Group mengekalkan kedudukan sebagai peneraju segmen premium dengan jualan lebih 2.46 juta kenderaan pada 2025.
MINI mencatat pertumbuhan global memberangsangkan sebanyak 17.7 peratus, manakala jualan kenderaan EV penuh BMW Group meningkat kepada lebih 442,000 unit, menandakan keberkesanan strategi elektrifikasi jangka panjang kumpulan tersebut.
Model EV Paling Laris di Malaysia

Dalam portfolio BMW i, BMW iX2 xDrive30 M Sport muncul model EV penuh paling laris dengan lebih 460 unit diserahkan.
Ini disusuli rapat BMW i5 eDrive40 M Sport dengan lebih 450 unit, mencatat pertumbuhan 10.8 peratus berbanding 2024, manakala BMW iX1 eDrive20 M Sport merekodkan peningkatan ketara 41.1 peratus dengan lebih 340 unit penyerahan.
Bagi MINI, jualan EV melepasi 700 unit pada 2025, mewakili hampir separuh keseluruhan penyerahan jenama itu. MINI Aceman SE mendahului segmen itu dengan lebih 330 unit, diikuti MINI Countryman SE ALL4.
Dalam segmen dua roda, BMW Motorrad mencatat pertumbuhan kukuh menerusi BMW CE 04 dan CE 02, dengan lebih 170 unit motosikal EV diserahkan.
Infrastruktur Pengecasan, Pencapaian Bersejarah
Menyokong pertumbuhan itu, BMW Group Malaysia kini menawarkan akses kepada lebih 2,000 kemudahan pengecasan awam melalui kerjasama dengan penyedia utama seperti Gentari, ChargEV, Yinson Greentech dan JomCharge.
Selain itu, lebih 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI tersedia di pusat pameran serta lokasi rakan strategik seluruh negara.
Salah satu pencapaian paling signifikan 2025 adalah pelancaran BMW i5 eDrive40 M Sport Pro versi CKD, yang juga EV BMW pertama dipasang di rantau Asia-Pasifik.
Pengenalan itu menandakan keyakinan BMW Group Malaysia terhadap keupayaan tempatan dan peranan Malaysia sebagai hab pembuatan strategik.
Kepercayaan Pelanggan, Komitmen Jangka Panjang
Daripada segi model konvensional, BMW 3 Series kekal model paling laris dengan lebih 1,300 unit diserahkan, disusuli BMW 5 Series dan BMW X1. MINI Countryman pula menerajui prestasi MINI dengan lebih 900 unit, manakala BMW Motorrad menyaksikan lonjakan besar dalam segmen advencer dipacu BMW R 1300 GS Adventure.
BMW Group Malaysia juga mengekalkan skor kepuasan pelanggan bertaraf dunia, dengan Net Promoter Score yang sangat tinggi bagi jualan dan perkhidmatan untuk ketiga-tiga jenama. Digabungkan pelaburan berterusan dalam infrastruktur, pembangunan bakat tempatan dan kemudahan logistik baharu, BMW Group Malaysia terus memperkukuh peranan dalam membentuk masa depan automotif premium dan mobiliti elektrik di Malaysia.





























