
JENAMA kereta elektrik, CHANGAN Automobile, memperkenalkan Deepal Hunter K50 di Bangkok International Motor Show, sekali gus mendakwa model ini sebagai trak pikap REEV (Range-Extended Electric Vehicle) pertama di dunia.
Untuk pasaran Thailand, model ini ditawarkan dalam varian REEV Plus AWD pada harga 1,099,000 Baht (sekitar RM140,000), dengan tempahan kini dibuka.
Teknologi REEV – EV Harian, Jarak Pemanduan Jauh

Apa yang menjadikan Hunter K50 unik ialah penggunaan teknologi REEV, iaitu gabungan pemanduan elektrik penuh dengan enjin range extender.
Dalam mod EV tulen, trak ini mampu bergerak sehingga 131 km (NEDC) menggunakan kuasa bateri sahaja. Untuk perjalanan lebih jauh, enjin 2.0 liter turbo GDI bersama generator akan diaktifkan secara automatik bagi menambah jarak tanpa mengganggu pengalaman pemanduan. Secara keseluruhan, Deepal mendakwa Hunter K50 mampu mencapai lebih 900 km jarak keseluruhan dengan satu cas penuh dan satu tangki bahan api.
Lebih Pantas Daripada Pikap Diesel

Dari sudut prestasi, sistem AWD pintar menghasilkan kuasa gabungan 272 horsepower (200 kW) dan 470 Nm tork.
Pecutan 0-100 kmj hanya 7.9 saat, satu angka yang sangat mengagumkan untuk sebuah trak pikap. Deepal turut mendakwa respons kuasa hanya mengambil masa 0.4 saat, memberikan karakter pecutan yang lebih pantas berbanding pikap diesel konvensional.
Dibangunkan Untuk Jalan Thailand

Menurut Changan, Hunter K50 telah menjalani ujian dunia sebenar sejauh 40,000 km di Thailand bagi memastikan talaan casis, sistem kuasa dan ketahanan benar-benar sesuai dengan keadaan jalan serta cuaca tempatan.
Sistem dwi-kuasa ini juga membantu mengurangkan pelepasan karbon sehingga 87% berbanding pikap diesel tradisional.
Bateri LFP, Fokus Pada Keselamatan

Untuk bateri, Hunter K50 menggunakan sel LFP (Lithium Iron Phosphate) yang terkenal dengan kestabilan suhu dan tahap keselamatan lebih tinggi.
Struktur bateri pula dipasang dalam casis jenis cage-like crash resistant structure, dengan perlindungan tambahan di dalam beam casis bagi meningkatkan keselamatan ketika pelanggaran.
Kabin Premium, Senyap Macam Sedan
Masuk ke ruang dalaman, Hunter K50 hadir dengan kabin yang jauh lebih moden berbanding pikap tradisional.
Ia dilengkapi dua skrin bersaiz 12.3 inci dan 7.5 inci, gear lever jenis column-mounted, tempat duduk depan dengan ventilasi, pengecas telefon tanpa wayar dan kawalan aplikasi telefon pintar. Pada kelajuan 100 kmj, tahap bunyi kabin hanya 63 dB, hampir setanding sedan premium.
Ada Fungsi V2L Untuk Aktiviti Outdoor

Satu lagi ciri menarik ialah fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan output maksimum 3.3 kW. Ini membolehkan Hunter K50 digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik seperti lampu, mesin kopi atau perkakasan camping.
Saiz Besar, Towing 2.5 Tan

Dari segi dimensi, Hunter K50 berukuran 5,380 mm panjang, 1,980 mm lebar dan 1,875 mm tinggi, dengan kelegaan tanah 220 mm.
Ruang kargo belakang bersaiz 1,590 x 1,580 x 490 mm, lengkap dengan anchor hook bertetulang untuk muatan berat. Lebih penting, ia mampu meredah air sedalam 600 mm dan menawarkan kapasiti tunda sehingga 2.5 tan.
Waranti, Tawaran Pelancaran
Pembeli awal turut menerima pakej istimewa termasuk insurans tahun pertama, home charger dengan pemasangan, kabel pengecas mudah alih, adaptor V2L serta servis pertama percuma.
Waranti kenderaan diberikan selama 5 tahun atau 120,000 km, manakala bateri dilindungi sehingga 8 tahun atau 160,000 km.






















