• UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI

PanduLaju.com.my

Tekan Pedal dan Jangan Stres

  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
You are here: Home / Roda4 / #BikinAuto: Bukan Semua Kereta Polis Sama, Ini Ciri Khas Škoda Kodiaq Polis!

#BikinAuto: Bukan Semua Kereta Polis Sama, Ini Ciri Khas Škoda Kodiaq Polis!

January 5, 2026 By Abang Hirata Leave a Comment

FacebookTwitter

KERETA polis sering kali menarik perhatian orang awam, sama ada ketika bertugas di lebuh raya, rondaan bandar atau operasi khas.

Antara persoalan yang kerap dibincangkan ialah sama ada spesifikasi kereta polis berbeza daripada versi awam, atau sekadar kenderaan standard yang ditambah pelekat serta lampu kecemasan.

Hakikatnya, kenderaan polis mempunyai beberapa kategori dan tujuan operasi yang berbeza dan sebahagiannya dibangunkan khusus dengan spesifikasi yang tidak ditawarkan kepada orang ramai.

Pendekatan inilah yang dapat dilihat pada Škoda Kodiaq generasi kedua versi polis, yang kini mula berkhidmat bersama Polis Republik Czech.

352 Unit Kodiaq Generasi Baharu Untuk Tugasan Polis

Sebanyak 352 unit Škoda Kodiaq generasi kedua telah diserahkan pada November 2025 untuk kegunaan Polis Republik Czech.

Armada ini akan berkhidmat untuk pelbagai unit, termasuk rondaan biasa dan polis trafik dengan peranan merangkumi operasi harian, kawalan lalu lintas serta tindak balas kecemasan.

Pembangunan Kodiaq versi polis ini melibatkan kerjasama rapat antara pegawai polis sendiri dan jurutera Škoda di Mladá Boleslav.

Pengalaman operasi daripada armada Kodiaq polis generasi pertama digunakan sebagai rujukan utama, memastikan setiap penambahbaikan dibuat berdasarkan keperluan sebenar di lapangan dan bukannya sekadar perubahan kosmetik.

Enjin RS Turbo dan Sistem Casis Talaan Khas

Kodiaq yang digunakan bukan biasa-biasa, kuasa datang daripada varian RS yang sporti dan digerakkan enjin petrol 2.0 TSI turbo dengan 262 hp.

Enjin digandingkan dengan sistem pacuan semua roda (AWD), transmisi automatik DSG serta penyerap hentak adaptif DCC+ yang ditala khas.

Gabungan rangkaian kuasa dan casis ini membolehkan kenderaan menawarkan prestasi tinggi, kestabilan serta kawalan yang konsisten, sama ada ketika rondaan biasa atau dalam situasi kecemasan yang memerlukan tindak balas pantas.

Brek Dipertingkat dan Mod Sport Segera

Škoda Kodiaq ini akan digunakan oleh unit rondaan dan polis trafik, dengan beberapa naik taraf khusus bagi menyokong peranan tersebut.

Di antara perbezaan ketara ialah penggunaan rim aloi 18 inci, menggantikan rim besi asal dengan penutup plastik.

Rim ini membolehkan penyejukan yang lebih baik untuk sistem brek yang dipertingkat dan lebih tahan lasak, yang diambil daripada versi SUV tujuh tempat duduk.

Satu lagi ciri penting ialah keupayaan menukar tetapan rangkaian kuasa dan casis ke mod sport dengan pantas.

Ciri ini memberi pemandu akses segera kepada prestasi penuh kenderaan apabila diperlukan, tanpa perlu melalui tetapan yang kompleks.

Sistem Lampu Kecemasan Serba Lengkap

Selain pelekat reflektif, lampu kecemasan menjadi elemen kritikal pada kenderaan polis. Sistem lampu pada Kodiaq ini turut dimodenkan, dengan unit utama lampu biru dan merah dipasang di bumbung.

Lampu tambahan turut disepadukan pada bahagian bawah cermin hadapan, kedua-dua sisi gril hadapan, serta di bahagian dalam pintu belakang bagi memastikan keterlihatan walaupun ketika pintu but dibuka.

Unit strob biru dan merah juga dipasang pada bampar belakang dan fender hadapan, memastikan kenderaan ini mudah dikenal pasti dari pelbagai sudut dalam semua situasi operasi.

Kabin Operasi dan “Spy Mode”

Lampu kecemasan dan siren dikawal melalui panel khas di dalam kabin. Di bawah kawalan pendingin hawa, ruang disediakan untuk pemasangan unit radio.

Kabin kereta turut dilengkapi beberapa elemen praktikal seperti tukul keselamatan untuk memecahkan cermin dan cermin pandang belakang dalaman tambahan bagi memantau individu yang ditahan.

Di antara ciri paling unik ialah mod risikan (spy mode), yang membolehkan kereta beroperasi tanpa lampu hadapan menyala.

Ciri ini tidak tersedia pada model standard dan amat berguna untuk operasi penyamaran pada waktu malam.

Disebabkan beban elektronik yang lebih tinggi, Kodiaq polis turut dilengkapi bateri tambahan serta kapasiti pengecasan yang dipertingkat.

Ruang Kargo Mengikut Peranan Operasi

Susun atur ruang kargo berbeza mengikut jenis tugasan. Unit respons awal dilengkapi peti simpanan senjata api panjang yang berkunci, manakala kenderaan polis trafik mempunyai rangka logam dengan dua laci gelongsor yang boleh dibuka menjadi ruang kerja kecil.

Ruang ini digunakan untuk menyimpan dokumen, kad pengenalan atau alat penguji nafas, selain sistem pemegang kertas baharu yang mengelakkan dokumen diterbangkan angin ketika bertugas.

Walaupun dengan kelengkapan tambahan ini, ruang but Kodiaq masih menawarkan kapasiti 910 liter untuk peralatan lain.

Tempat Duduk Belakang 'Mesra' Tahanan

Bahagian tempat duduk belakang turut menerima beberapa ciri Simply Clever Škoda khas untuk tugasan polis.

Kedudukan kunci tali pinggang keledar untuk individu ditahan diletakkan di sisi pintu, membolehkan pegawai memasangnya tanpa perlu membongkok ke atas tahanan.

Tali pinggang ini juga boleh disediakan lebih awal dengan menyangkutnya pada penyandar kepala hadapan.

Untuk memudahkan pembersihan selepas operasi, tempat duduk belakang dibalut dengan kulit sintetik.

Palang Hadapan dan Teknik PIT

Salah satu ciri paling menonjol pada Kodiaq polis generasi baharu ialah palang keselamatan hadapan, yang direka untuk melaksanakan teknik PIT.

Dalam prosedur ini, kenderaan polis menyentuh bahagian berhampiran roda belakang kenderaan suspek bagi menyebabkan ia berpusing dan berhenti.

Sistem ini telah digunakan pada model Kodiaq dan Octavia polis terdahulu dan keberkesanannya telah dibuktikan dalam operasi sebenar.

Digunakan Polis Eropah

Penggunaan Škoda Kodiaq generasi kedua ini bukan terhad kepada Republik Czech.

Model sama turut digunakan oleh polis negeri Hesse di Jerman dan telah melepasi ujian kelulusan untuk kegunaan penguatkuasaan undang-undang di United Kingdom.

Di Austria, polis menandatangani kontrak lima tahun pada 2025 untuk sehingga 2,000 unit Kodiaq, manakala kenderaan polis Škoda juga digunakan di Croatia, Hungary, Macedonia Utara, Kosovo dan Albania.

Related

FacebookTwitter

Filed Under: Auto Terkini, Bikin Kereta, Roda4 Tagged With: ŠKODA, Skoda Kodiaq

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CARIAN AUTO

Pilihan Ramai

  • Lagi EV Mampu Milik, TQ Wuling Bingo EV Lancar di Malaysia, Harga Mula RM67,800
    Lagi EV Mampu Milik, TQ Wuling Bingo EV Lancar di Malaysia, Harga Mula RM67,800
  • General Tire Kini di Malaysia, Tawar Tayar Kualiti Setanding Continental, Harga Mesra Poket!
    General Tire Kini di Malaysia, Tawar Tayar Kualiti Setanding Continental, Harga Mesra Poket!
  • Kymco AK550 Premium Kini CKD,  Harga Lebih Murah di Malaysia
    Kymco AK550 Premium Kini CKD, Harga Lebih Murah di Malaysia
  • Honda XL750 Transalp SP Edisi Khas di UK Sempena Tamat Pengeluaran, Harga RM57,460
    Honda XL750 Transalp SP Edisi Khas di UK Sempena Tamat Pengeluaran, Harga RM57,460

Pandu Uji

Cabaran pandu uji Chery Tiggo PHEV sejauh 1,200km

#PanduUji: Chery Tiggo 8 PHEV, Tiggo 7 PHEV Langsai 1,200km Setangki Minyak Penuh!

#PanduUji: Inilah Cara Menang Cabaran Pandu Proton e.MAS 5 Paling Jimat, Hanya 9.6kW/100km!

Tunggang uji Yamaha NVX SP 2025

#TunggangUji: Betul Ke Yamaha NVX SP Rasa Macam Ada Turbo atau Sekadar 'Hype'?

Pandu uji Hundai Tucso dan Santa Fe dari KL - Desaru

#PanduUji: Jelajah Hyundai Tucson, Hyundai Santa Fe 2025 dari KL ke Desaru

2014 – 2025 © PanduLaju.com.my