
SESEBUAH model dan susunan nama yang mempunyai legasi dan reputasi baik patut dikekalkan.
Sebagai contoh Golf, Gold Wing, GT-R, Corolla, Civic, CBR, Myvi, Miata, Saga, Supra, Skyline dan pelbagai lagi.
Pada 2023 Audi membuat keputusan untuk menggunakan nama baharu selari dengan perkembangan kenderaan elektrifikasi.

Kenderaan elektrik (EV) menggunakan nombor genap sebagai contoh A6 e-tron atau Q6 e-tron manakala enjin biasa dan hibrid mengikut nombor ganjil seperti A5, A7 dan Q5.
Penamaan begitu satu keputusan logikal bagi memudahkan perbezaan di antara model EV dan enjin biasa.

Nampaknya penamaan tersebut hanya kekal pada model sedia ada di pasaran. Model baharu akan menggunakan format abjad angka (alphanumeric) yang standard.
Audi tidak lagi membezakan di antara EV dan enjin biasa.
Keputusan ini dibuat selepas perbincangan mendalam dan maklum balas di antara pelanggan dan pengedar antarabangsa.

Kaedah abjad terus kekal untuk membezakan model lantai rendah (A) dan lantai tinggi (Q).
Nombor 1 sehingga 8 mewakili saiz dan kedudukan tidak kira jenis rangkaian kuasa elektrik, hibrid atau enjin tunggal.

Penamaan gaya badan terus digunakan iaitu Avant, Sedan, Sportback. Ada yang boleh lupakan RS 6 Avant?
Kod rangkaian kuasa juga kekal seperti e-tron (elektrik), TFSI e (hibrid plug-in), TFSI (petrol) dan TDI (diesel).

Model pertama yang menggunakan penamaan baharu adalah Audi A6 dengan enjin pembakaran dan bakal dilancar pada Mac 2025.
Perkongsian nama juga lebih mudah sebagai contoh A6 Avant TFSI (petrol) dan A6 Avant e-tron (elektrik).
Seperti yang dinyatakan, penamaan model sedia ada di pasaran tidak akan diusik.

Di dalam perkembangan lain dan di kala ketidaktentuan melanda industri, Audi merekodkan 1,671,218 unit penghantaran kenderaan pada 2024.
Angka itu menyusut 11.8 peratus daripada 2023. Jualan EV lebih daripada 164,000 unit dan menyusut lapan peratus.
Daripada lebih 1.6 juta unit kenderaan, Q5 paling digemari iaitu 298,000 unit dengan A6 sebanyak 244,000 unit dan Q3 ditempat ketiga iaitu 215,000 unit.

Q4 e-tron model EV paling laris iaitu 108,000 unit dan Q6 e-tron yang dilancarkan pada suku ketiga 2024 merekodkan penghantaran sebanyak 15,000 unit.
Model berprestasi Audi Sport pula mencatatkan penyerahan sebanyak 41,000 unit dan menyusut 14 peratus.
Dari segi pasaran, penghantaran di Jerman jatuh sebanyak 21.3 peratus kepada 198,342 unit.

Penghantaran di Amerika Utara menurun 13 peratus kepada 240,771 unit dan berkurangan 10.9 peratus kepada 649,434 unit di China.
Menurut Audi, penurunan berlaku disebabkan beberapa punca seperti ketidaktentuan ekonomi, cabaran rantai pembekalan dan persaingan sengit.
Untuk 2025, Audi akan memperkenalkan A7 dan Q3 selain pengembangan penawaran model hibrid plug-in yang popular sekarang ini.
Leave a Reply