PASUKAN Aprilia Racing rasmi memperkenalkan jentera MotoGP 2026 mereka dalam acara khas yang berlangsung di Sky Sports Studios, Milan, Itali sekali gus mendedahkan liveri baharu yang mengekalkan identiti agresif dan warisan jenama Itali itu.
Liveri 2026 Aprilia RS-GP masih didominasi hitam sebagai warna asas, digandingkan elemen merah dan ungu, serta logo Aprilia putih yang menyerlah.
Perubahan paling ketara adalah simbol kepala singa pada logo Aprilia, yang juga ikon bersejarah Venice yang terletak berhampiran ibu pejabat Aprilia di Noale.
Simbol singa itu turut mencerminkan legasi Aprilia yang sudah digunakan dalam pelbagai bentuk penjenamaan sejak era 1980-an.
Bezzecchi, Martin Terus Bergandingan
Marco Bezzecchi dan Jorge Martin disahkan kekal sebagai pelumba Aprilia Racing musim MotoGP 2026, selepas melalui musim 2025 yang penuh kontras.
Martin, yang menyarung nombor jentera #89, hampir keseluruhan musim lalu dibelenggu kecederaan serius sejak sesi ujian pramusim di Sepang.
Juara dunia MotoGP 2024 itu mengalami patah tulang metakarpal tangan kanan dan beberapa tulang metatarsal kaki kiri sebelum terlibat satu lagi kemalangan ketika latihan supermoto, yang menyebabkan kecederaan pada tulang radius dan skafoid tangan kiri.
Kepulangan di Qatar turut berakhir dengan insiden ngeri apabila terjatuh dan dirempuh Fabio Di Giannantonio, menyebabkan 11 tulang rusuk patah dan paru-paru bocor.
Situasi tersebut turut mencetuskan ketegangan apabila Martin menyuarakan hasrat meninggalkan Aprilia berdasarkan klausa prestasi dalam kontrak dua tahun, tetapi isu itu akhirnya diselesaikan. Kini, fokus Martin sepenuhnya adalah kembali bersaing di kelompok depan MotoGP.
Martin Sasar Kebangkitan Musim 2026
Martin berkata;
“Selepas pengalaman tahun lalu bersama Aprilia dan ujian penting di Valencia, sasaran kami sekarang adalah terus berkembang bersama.
“Akan ada banyak kerja awal musim, tapi kami tau aspek yang perlu diperbaiki. Aku nak kembali bersaing untuk podium dan menang sebaik saja cergas 100 peratus.”
Bezzecchi Pimpin Pembangunan RS-GP
Ketika Martin berehat panjang akibat kecederaan, Bezzecchi muncul tonggak utama Aprilia Racing dan memainkan peranan penting dalam pembangunan RS-GP. Pelumba Itali itu menamatkan musim 2025 di tempat ketiga keseluruhan dengan 353 mata, juga pencapaian terbaik Aprilia dalam sejarah MotoGP.
Sepanjang musim, Bezzecchi meraih 19 podium, tiga kemenangan Sprint dan empat kemenangan Grand Prix (GP), sekali gus mengukuhkan reputasi beliau sebagai antara pencabar utama kejuaraan.
Bezzecchi berkata;
“Aku gembira akhirnya kembali cakap pasal motor.
“Aku tak sabar nak mulakan musim, walaupun kerja pembangunan sebenarnya tak pernah berhenti. Kilang di Noale bekerja keras dan aku juga berlatih non-stop. Motivasi aku sangat tinggi dan aku nak menikmati tunggangan atas motor ni.”
Bezzecchi turut menyifatkan RS-GP 2026 sebagai jentera yang nampak lebih agresif, selari peningkatan prestasi Aprilia yang semakin merapatkan jurang dengan Ducati dalam tempoh kebelakangan ini.
RS-GP26 Dipertingkat Menyeluruh
Dalam kenyataan rasmi Aprilia, hampir setiap aspek RS-GP26 sudah dipertingkat bagi saingan musim 2026, termasuk aerodinamik, casis, elektronik dan enjin V4.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia Racing, Massimo Rivola menegaskan keyakinan tinggi pasukan terhadap potensi jentera baharu itu.
“Kami menghadapi musim 2026 dengan kesedaran jelas pasal siapa kami dan ke mana hala tuju kami
“Musim 2025 bagi asas kukuh untuk mencapai tahap daya saing yang sangat tinggi, dan sasaran kami sekarang adalah bersaing dalam setiap perlumbaan.
“Kami akan ikut dua pendekatan berbeza dalam garaj meneruskan kesinambungan bersama Marco, dan bina semula momentum dengan Jorge. Kami sangat percaya kepada potensi RS-GP26 dan keupayaan kedua-dua pelumba kami.”
SUMBER: MotorcycleNews.com



















