SEJAK kebelakangan ini, kita asyik mendengar atau melihat keluhan pemilik yang mendakwa kenderaan mereka masih gagal dibaik pulih walapun tersadai lama di sesuatu bengkel atau pusat pengedar rasmi kebanyakan jenama pengeluar automotif.
Senario itu nyata bercanggah dengan matlamat setiap pengeluar kenderaan yang mahu memberi servis dan pengalaman pemilikan terbaik kepada pengguna, apatah lagi kenderaan dimilik masih di bawah waranti pengilang asal.
4 SEBAB GANGGUAN INDUSTRI AUTOMOTIF
Sebenarnya, ada beberapa sebab situasi seperti ini berlaku sejak tiga tahun kebelakangan ini. Antara penyebab utama ialah pandemik Covid 19 yang melumpuhkan keseluruhan ekosistem automotif global dengan banyak sempadan negara tertutup dan aktiviti ekonomi dibekukan.
Selain wabak itu, krisis perang Rusia-Ukraine turut menjejaskan aktiviti pengeluaran bekalan gas neon yang diperlukan untuk pembuatan cip semikonduktor dunia, termasuk meranapkan lagi industri automotif dunia dan industri lain.
Fenomena gelombang haba dan kemarau di China pada Ogos lalu turut memaksa Kerajaan mengarahkan penutupan pelbagai industri pembuatan khususnya wilayah Sichuan untuk menyalurkan tenaga elektrik ke rumah penduduk terjejas.
Tidak lupa juga insiden banjir buruk pada Disember 2021 di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bencana alam itu melumpuhkan beberapa kilang pengeluaran komponen automotif hingga menjejaskan beberapa pengeluar dan melambatkan lagi keperluan baik pulih kenderaan.
PENGELUAR AUTOMOTIF TINGKATKAN USAHA
Rata-rata pengeluar mengambil pendekatan pro-aktif membantu memulihkan semula aktiviti dan industri automotif tempatan dengan membantu meringankan beban mangsa banjir dengan pemberian insentif walaupun masih berdepan masalah bekalan alat ganti, mikrocip dan pengeluaran terjejas.
Satu contoh terbaik ialah Proton dengan tiga insentif khas membantu mangsa banjir menerusi pemberian diskaun 25 peratus untuk alat ganti tulen terpilih dan caj buruh boleh digunakan untuk semua model, menanggung bayaran tunda kenderaan sehingga RM200 dan menanggung caj pembersihan luaran dan enjin sehingga RM100. Syaratnya mudah, pelanggan perlu rujuk kepada pengedar rasmi mereka.
Sebaik efek pandemik dan global makin reda, pengeluar automotif memberi tumpuan memulihkan semula aktiviti pembuatan kenderaan dan komponen yang terjejas dan cuba memenuhi permintaan serta bekalan stok di rangkaian premis sah di seluruh negara.
Proton sebagai contoh adalah antara pengeluar tempatan yang aktif mengambil langkah menangani isu kebolehdapatan alat ganti dan komponen melalui dua pendekatan holistik iaitu:
- Mewajibkan setiap pengedar rasmi Proton menyimpan keperluan mandatori stok alat ganti tiga bulan untuk 22 alat ganti utama. Begitu juga keadaan di pusat alat ganti sentral Proton.
- Membuka Pusat Alat Ganti Serantau (RPC) baharu di Kuching, Sarawak sebagai gudang simpanan alat ganti dan komponen kenderaan.
Bukan hanya Proton tetapi pengeluar automotif utama lain seperti Perodua juga sibuk berusaha memulihkan keadaan termasuk mencari vendor baharu untuk pembuatan komponen dan alat ganti.
KENAPA LAMBAT SANGAT BAIKI KERETA ROSAK?
Pandemik Covid-19 sudah ditamat, aktiviti ekonomi dibuka semula dan bekalan alat ganti kembali stabil tetapi kenapa kenderaan masih lambat dibaik pulih? Sudah tentu ada yang bertanya mengenai perkara ini.
Satu perkara yang ramai orang kurang sedar ialah proses membaik pulih kereta yang terlibat dalam kemalangan dipengaruhi proses dan status tuntutan insurans pemilik. Jika pihak insurans lambat meluluskan tuntutan untuk baik pulih kenderaan, maka lagi lama anda perlu tunggu.
Ya, inilah hakikat anda perlu tahu iaitu bukan wakil pengedar sengaja melambatkan kerja baik pulih kenderaan tetapi tuntutan anda masih belum diluluskan syarikat insurans.
Sebenarnya tiada tempoh standard untuk mendapatkan kelulusan tuntutan insurans kerana bersifat subjektif dan bergantung kepada kes kemalangan kenderaan tersebut. Jika kemalangan dengan kerosakan ringan-sederhana, tuntutan insurans mungkin diluluskan dalam masa dua minggu atau kurang dari proses notifikasi melalui sistem Merimen.
Selaku pemilik, anda dinasihatkan terus berhubung dengan wakil insurans yang mengendalikan kes tuntutan supaya proses boleh dipercepatkan. Pastikan anda juga melengkapkan semua dokumen dan maklumat diperlukan tuntutan.
ADA SOP BAIK PULIH KENDERAAN
Setiap tugas baik pulih kenderaan di pengedar rasmi akan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Wakil pengedar rasmi atau cawangan pengeluar kenderaan akan membantu anda untuk serahan dokumen dan permohonan tuntutan insurans melalui sistem Merimen.
Setiap pengeluar akan mengikut SOP tersendiri tetapi prosesnya tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, mengikut SOP Proton, mereka mengambil masa 60 hingga 90 hari bekerja untuk melengkapkan kerja baik pulih kenderaan yang rosak teruk termasuk mengecat semula.
Biasanya, staf terlatih akan memeriksa kenderaan untuk mengenal pasti apa komponen rosak yang perlu ditukar ganti, purata tugas ini memerlukan masa 1 hingga 3 hari.
Penasihat Tuntutan Insurans (ICA) pula akan membantu pelanggan memasukkan semua data ke Merimen Insurance untuk makluman kepada pihak insurans dan ini membabitkan dokumen:
- Laporan polis
- Kad Pengenalan dan lesen memandu pelanggan
- Polisi insurans
- Cukai jalan
- Geran kenderaan
- Borang tuntutan
- Laporan polis - pihak ketiga (jika ada)
- Foto kenderaan daripada pihak polis (daripada laporan polis)
- Polisi insurans pihak ketiga atau nota perlindungan
- Laporan pemeriksaan polis
- Foto lokasi kemalangan – pelbagai sudut
- Foto kenderaan – pelbagai sudut
- Bacaan odometer
- Bacaan nombor casis
- Bacaan nombor enjin
- Foto berkaitan kerosakan kenderaan – beberapa keping berdasarkan kerosakan kenderaan
- Senarai anggaran alat ganti/komponen
- Foto sebelum semburan cat – beberapa sudut
- Foto selepas semburan cat – beberapa sudut
Biasanya, dokumen dan maklumat nombor 1 hingga 17 dimuat naik sebelum kerja baik pulih kenderaan bermula. Keseluruhan proses muat naik ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga jam jika semua dokumen lengkap.
Wakil penilai insurans akan hadir ke premis baik pulih untuk membuat pemeriksaan kenderaan rosak, masa diambil antara satu hingga lima hari.
Jika semua berjalan lancar, kerja mengetuk badan kenderaan rosak akan bermula (jika perlu) diikuti proses pembaikan kenderaan menggunakan komponen tulen (tiga hingga 20 hari bekerja).
Petugas bilik semburan akan melakukan semburan cat profesional mengikut keperluan kenderaan sebelum kerja-kerja memasang semula komponen dibuat.
Kelebihan servis baik pulih di pusat pengedar bertauliah ialah kenderaan pelanggan akan menjalani pemeriksaan kualiti (QC), menerima alat ganti tulen dan jaminan pengilang untuk alat ganti termasuk cat. Misalnya, Proton akan memberikan jaminan enam bulan atau 10,000km untuk perkara ini.
Jika diteliti keseluruhan pendekatan diambil pusat servis dan baik pulih bertauliah, nyata kerja dilakukan menjanjikan khidmat terbaik kepada pelanggan. Pelanggan juga tidak terjerat dengan skim penipuan penggunaan alat ganti tiruan, terpakai (refurbished) dan terus menikmati waranti pengilang (jika ada).
Leave a Reply