INI bukan berita baru sebenarnya. Awal 2017, seorang menteri daripada Kerajaan lama pernah buat saranan pasal pengharaman kapcai daripada masuk ke Kuala Lumpur sebagai langkah mengurangkan pencemaran karbon selain menggalakkan orang ramai naik pengangkutan awam. Sudahnya, ramai mengamuk.
Setahun kemudian (Ogos 2018), keluar berita Hanoi mungkin jadi negara Asean pertama yang mengharamkan motosikal (bukan kapcai saja) daripada memasuki ibu kota itu menjelang 2030. Juga disebabkan alasan pencemaran.
Tapi, apa yang membezakan Malaysia dan Vietnam ialah fakta. Hanoi mahu haramkan terus semua motosikal kerana jumlah motosikal di sana memang banyak. Nisbah motosikal dan kenderaan lain boleh dikatakan 80 (motor):20 (kereta). Cubalah cari berapa pula nisbah motosikal:kereta di Malaysia. Tak banyak beza pun. Peliknya, kapcai juga yang mahu diharamkan.
Menjawab kenyataan mantan menteri lama itu, adakah sekarang tak ramai orang naik pengangkutan awam? Adakah pak Menteri kita pernah naik dan tengok sendiri betapa padat dan sendatnya pengangkutan awam kita pada pagi dan petang waktu bekerja? Itu belum masuk lagi bab pencemaran karbon yang soalannya;
Adakah kapcai saja yang mencemarkan alam? Adakah motosikal bukan kapcai dan kenderaan lain dikuasakan tenaga elektrik?
Kalau mahu dikaitkan pula dengan jenayah, samalah macam dikiaskan dengan pisau. Adakah kerana banyak kes bunuh berlaku, maka pisau diharamkan? Pisau dan kapcai cuma alat, manakala yang jahat dan bangsat itu ialah manusia. Jadi kena haramkan manusia? Hmmm...
HARAMKAN TERUS KAPCAI, BIAR SKUTER SAJA
Dan paling terkini (semalam, September 2019), keluar pula cadangan daripada aktivis jalan raya kita, Shahrim Tamrin (dipetik TheMalaysianInsight) yang suruh Kerajaan haramkan saja kapcai dan motosikal bawah 250cc (bukan KL saja) sebagai langkah mengurangkan jumlah kematian jalan raya yang majoriti melibatkan penunggang.
Shahrim turut mencadangkan cuma skuter elektrik berkuasa 80kmj dibenarkan dijual dan ditunggang. Katanya, kapcai cenderung kepada budaya modifikasi haram di kalangan anak muda. Beliau turut beri contoh Taiwan dan China yang tiada kapcai dan agresif pula dengan pengeluaran skuter-skuter elektrik. Masalahnya, berapa kerat sangat orang Taiwan dan China yang naik YSuku (sekadar contoh).
Takkan abang aktivis kita tak tahu kubu kuat kapcai dunia letaknya di Malaysia dan Vietnam. Malah, kapcai pertama paling laju di planet Bumi dilancarkan di Malaysia (SYM VF3i). Tiada perlu sains roket kerana hal mengubah trend ialah benda paling susah hendak dibuat. Semacam melarang orang Malaysia makan guna tangan, atau menyuruh menulis guna kaki. Payah, susah dan boleh jadi huru-hara!
APA JADI KALAU KAPCAI TIADA?
Mari kita sama-sama bayangkan apa terjadi kalau Malaysia tanpa kapcai. Apapun, berdasarkan kajian, pemerhatian dan ramalan, kami percaya cadangan itu sukar nak dibuat dan sekadar hangat-hangat tahi ayam saja.
1. MAT DESPATCH NAIK MOTOSIKAL BESAR
Kapcai ialah kenderaan rasmi mat despatch yang banyak terlibat dalam urusan penghantaran dokumen dan surat rasmi pejabat. Ada mat despatch bekerja secara separuh masa, sambilan atau freelance kepada banyak syarikat, dan ada juga bekerja sepenuh masa di satu-satu syarikat.
Tidak kita apa pun cara mereka bekerja, kapcai tetap jadi kenderaan utama kerana murah, mudah dan pantas. Bakul atau raga yang terletak antara kerusi dan hendal adalah ciri kapcai paling agung kerana begitu praktikal untuk mengisi surat dan dokumen yang mahu dihantar cepat.
Ingat, bukan surat saja yang selalu dihantar, mat despatch juga selalu juga disuruh beli makanan, barang pejabat, dan macam-macam benda lain. Tidak mudah bagi motosikal bukan kapcai nak buat tugas-tugas macam itu.
2. DELIVERY MAKANAN NAIK HARGA
Boleh dikatakan kebanyakan premis makanan segera menyediakan perkhidmatan penghantaran (delivery) ke rumah. Cuma telefon, pesan makanan dan tunggu saja pesanan sampai. Sesetengah premis menetapkan jaminan masa menunggu tertentu bagi meyakinkan pembeli tentang betapa pantasnya penghantaran dapat dibuat.
Sebabnya sudah tentu kerana adanya kapcai. Tidak mungkin penghantaran makanan dapat dihantar pantas jika abang delivery kena naik tren, kereta atau Africa Twin. Tanpa kapcai, kos penghantaran makanan juga bertambah hingga menjejaskan keuntungan. Premis makanan juga terpaksa keluarkan bajet tinggi tertentu untuk menyediakan motosikal bukan kapcai, termasuk kos senggara kepada abang-abang delivery kita.
Jadi bisnes delivery ada risiko boleh lingkup.
3. POSMEN NAIK TREN, JOGING
Tanpa kapcai, perkhidmatan Pos Laju mungkin digelar 'Pos Perlahan' atau 'Pos Siput'. Tidak dapat dibayangkan abang posmen kita naik LRT beramai-ramai untuk hantar surat. Kena pula golongan posmen senior menunggu hari pencen yang terpaksa naik dan turun tangga untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Ataupun, bajet Pos Malaysia perlu ditambah lagi kerana perlu sediakan motosikal bukan kapcai untuk ditunggang posmen. Bagi menanggung bajet tersebut pula, tidak mustahil bayaran pos seperti setem, pembungkusan dan seumpamanya meningkat.
4. SELAMAT TINGGAL MAT KOOL DAN ABANG BAI
Golongan ini antara paling teruk terjejas, sedangkan kehadiran merekalah buat anak-anak kecil kita bersorak kegirangan dan tersenyum teringatkan memori zaman membesar dahulu. Bukanlah tidak boleh jual aiskrim atau roti benggali naik kereta atau van, tetapi kapcai tetap kenderaan yang paling praktikal dan murah. Praktikal kerana tidak perlu banyak ruang berniaga, manakala murah pula dari segi kos bahan api dan senggara. Golongan ini perlu bersiap sedia mencari kerja baru jika pengharaman kapcai di Malaysia dilaksanakan.
5. MAT REMPIT TIDAK GENTAR
Tidak tahulah sama ada cadangan itu akan menggentarkan mat-mat rempit ataupun tidak. Apa yang pasti, haram ataupun tidak, mat rempit tetap mahu merempit!
Rempit ini masalah sosial, bukan sebab motosikal itu laju atau tak. Habis tu, trend basikal lajak tu datang dari mana? Ingat skuter elektrik tak boleh buat bagi laju ke? Tak boleh tukar enjin? Jadi, pihak berkuasa dan abang polis tetap perlu bekerja lebih gigih.
6. BANDAR LEBIH SEGAR, SENYAP
Mungkin benar seperti dibayangkan, udara di bandar-bandar akan jadi lebih segar dan suasana lebih senyap tanpa kehadiran kapcai. Tetapi ingat, motosikal yang diharamkan itu cuma kapcai. Sebaliknya, motosikal bukan kapcai masih dibenarkan. Adakah pencemaran bunyi tidak berlaku?
Adakah tidak mencemarkan alam? Ya, semua itu tetap akan berlaku. Udara tetap tercemar dan bunyi ekzos mungkin jadi lebih bingit, tidak ubah seperti jentera MotoGP. Selepas ini, mungkinkah semua motosikal pula diharamkan?
7. KAPCAI PUPUS, BUKAN KAPCAI JADI PILIHAN
Apalah sangat dirisaukan kalau betul kapcai diharamkan. Bukankah ada saja benda kreatif yang akan difikirkan golongan peniaga dan anak muda Malaysia? Dalam hal lain, pengeluar motosikal Malaysia mula menukar trend kepada motosikal standard 250cc ke atas ataupun skuter elektrik.
BACA >>> Honda MSX125 Dilancarkan Secara Rasmi, Harga RM11,128 – Mampukah Cabar Benelli TnT135?
Harga? Jangan terkejut kalau harga motosikal bukan kapcai akan jatuh semurah harga kapcai sedia ada. Kita cuma perlu tunggu salah satu pengeluar lancar perang harga. Kalau tidak murah pun, pihak bank dan penjual akan menawarkan pelbagai skim pinjaman yang sama seperti membeli kereta. Nampaknya, makin banyaklah rekod hutang di Bank Negara nanti.
Tapi motor 250cc ni tak laju ke? Tak boleh eksiden ke?
8. NEGARA ASEAN PERTAMA TANPA KAPCAI
Kapcai memang sinonim dengan negara Asia Tenggara (Asean). Jika anda pergi ke negara utara Asean seperti Vietnam dan Laos, kapcai adalah kenderaan paling banyak digunakan di bandar-bandar utama negara tersebut. Begitu juga di negara Asean lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand. Pengharaman kapcai di KL akan menjadikan Malaysia sebagai negara Asean pertama tanpa kapcai. Hmm, menarik juga kalau difikirkan.
9. TREND MOTOSIKAL BERUBAH
Kapcai akan tinggal memori dan kenangan manis kepada sesiapa yang pernah menunggangnya. Sama seperti era bas mini 'pink'.
10. HASRAT TIDAK TERCAPAI
Mengharamkan kapcai cuma satu cadangan yang nampak cantik atas kertas dengan alasan murni mengurangkan pelepasan karbon, mengurangkan rempit dan mengurangkan statistik kemalangan. Faktanya, pelepasan karbon bukan hanya disebabkan kapcai saja, tetapi juga disumbangkan semua kenderaan bermotor yang menggunakan bahan api fosil (petrol, diesel).
Macam disebut di atas, rempit ialah masalah sosial. Tanpa kapcai pun manusia akan merempit. Tak ada kapcai, skuter pun boleh dibuat rempit. Motosikal tak laju boleh saja dilajukan. Sekali lagi diulangi, ini masalah sosial, bukan kelajuan. Kalau betul benci sangat dengan halaju, janganlah motosikal saja. Masukkan sekali kereta, lori, tren dan speed boat. Biar semua sama merasa terseksa.
SELESAIKAH MASALAH?
Adakah mengharamkan kapcai akan menghalang pengguna beralih kepada kenderaan alternatif lain? Sudah tentu tidak kerana pengguna tetap perlu berkenderaan - motosikal. Pihak penjual pula akan cuba memenuhi penawaran dan permintaan. Ini semua pasal kitaran ekonomi.
Jika cadangannya mahu menggalakkan penduduk naik kenderaan awam, kenapa mesti kapcai saja? Sepatutnya membabitkan semua kenderaan. Dan jika sistem pengangkutan kita semakin cekap dan menyeluruh, secara automatik penduduk akan terdidik nak naik.
Kita kena realistik, sesetengah skop pekerjaan memang tidak membenarkan seseorang itu naik pengangkutan awam. Takkan buat Food Panda dan GrabFood kena naik tren? Kita boleh cakap boleh naik skuter elektrik, tapi nak cas kat mana pula abang aktivis? Fasiliti pun tak cukup. Takkan setiap kali nak cas kena balik rumah? Kenalah selesaikan dulu hal fasiliti sebelum mai sembang saja.
Akhir sekali, abang aktivis dan bapak menterinya macam mana? Sudah tentulah mereka pun tak akan berkapcai, naik pengangkutan awam jauh sekali. Bagi cadangan pula nombor satu!
Leave a Reply