AMANAT Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) secara rasmi melancarkan Pas Perjalanan Tol Tanpa Had SMART atau Merdeka Unlimited Travel Pass (MUTP) bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68. Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Ditawarkan pada harga sekali bayar RM68, pas ini sah digunakan selama sebulan bermula 16 Ogos hingga 16 September 2025. Menurut ALR, pemilik MUTP berpeluang menikmati penjimatan sehingga RM64 atau hampir 50 peratus berbanding kadar tol harian biasa di Terowong SMART.
Tanda Penghargaan untuk Pengguna Setia
ALR menjelaskan inisiatif ini adalah tanda penghargaan kepada pengguna tegar Terowong SMART yang sentiasa menyokong aspirasi mobiliti bandar lebih cekap, selamat dan berdaya tahan. Ia juga seiring dengan usaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam menyediakan infrastruktur tol mesra rakyat.
Terowong SMART kini menjadi laluan utama purata 19,000 kenderaan sehari menuju pusat bandar Kuala Lumpur. Keunikan terowong dwi-fungsi ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan trafik dan berfungsi sebagai sistem tebatan banjir berkesan, menjadikan ia satu-satunya terowong seumpamanya di dunia.
Sokongan Kerajaan Terhadap PFI
Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata;
Kerajaan mengalu-alukan inisiatif pembiayaan swasta (Private Funding Initiative, PFI) seperti ini yang memberi manfaat terus kepada rakyat, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.”
Lokasi Pembelian Kad MUTP (Bermula 11 Ogos 2025)
- Semua 12 lorong tol Lebuhraya SMART (Arah Utara dari KL & Arah Selatan dari Sg Besi)
- Kaunter Jualan Plaza Tol SMART
- RSA Lebuhraya KESAS - Kinara dan Awan Besar
- Plaza Tol KESAS - Kemuning, Sunway, Awan Besar Barat dan Timur
- Plaza Tol Bukit Kiara (Lebuhraya SPRINT)
- Kawasan Rehat Petaling Jaya Utara (LDP)
- Ruang Pameran di Dataran Singgahsana, TRX Kuala Lumpur
Ringkasan Manfaat MUTP SMART
- Harga: RM68 (sekali bayar)
- Tempoh Sah: 16 Ogos hingga 16 September 2025
- Penjimatan: Hingga RM64 (~50 peratus)
- Kelebihan: Tanpa had penggunaan di Terowong SMART sepanjang tempoh sah
Dengan tawaran ini, pengguna tegar Terowong SMART bukan sahaja dapat menikmati perjalanan lebih jimat dan lancar, malah turut menyumbang kepada kelestarian mobiliti bandar.
Leave a Reply