HYUNDAI Sime Darby Motors (HSDM) secara rasmi melancarkan Elantra versi dipertingkat (facelift) dengan rekabentuk luaran baharu dan dalaman diperhalusi pada harga RM109,888, atas jalan tanpa insurans untuk varian 2.0L Executive.
Elantra kekal sebagai model paling laris HSDM sejak 2012 dan pelancaran sedan kompak facelift ini diharapkan dapat menguatkan status model tersebut dalam pasaran segmen-C di Malaysia.
BACA >>> Hyundai Elantra (2019) Kini dengan Wajah Diperbaharui dan Ciri Keselamatan Ekstra
LUARAN LEBIH SEGAR
Elantra (2019) baharu memiliki dimensi panjang 4,620mm, lebih panjang 70mm berbanding model terdahulu, dengan jarak roda kekal sama.
Penampilan paling menonjol ialah unit lampu utama segitiga, lampu belakang berserta lampu kabus dan gril radiator baharu. Naik taraf lain ialah bampar belakang dua tona, dan plat nombor diposisikan semula yang diubah ke bawah bampar. Juga rim aloi dwi tona 17 inci dan kemasan krom untuk penampilan lebih superior.
Ruang kabin disegarkan dengan rekaan kluster meter sporty, roda stereng multifungsi dengan butang kawalan, kerusi kulit serba hitam dan papan pemuka dengan material lembut.
BACA >>> #PanduUji: Hyundai Elantra 2.0 Executive (2017) - Pemanduan Penuh Gaya dan Bersahaja
ENJIN KEKAL SAMA
Trenkuasa Elantra (2019) masih mengekalkan enjin Nu 2.0L MPI berkuasa 150hp @ 6200rpm dan tork 192Nm @ 4000rpm dengan transmisi automatik 6-kelajuan. Sedan ini turut memperkenalkan sistem mod pacuan pintar, Smart yang mampu mengenal pasti gaya pemanduan pemandu sebelum menukarnya secara automatik kepada sama ada mod Normal atau Sport, selain mod Eco sebagai standard untuk pemanduan menjimatkan.
Ciri keselamatan standard dilengkapkan dengan 6 beg udara, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM), Sistem Bantuan Brek (BAS), Kawalan Traksi, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Brek Turun Bukit (DBC), dan Bantuan Daki Bukit (HAC).
MODEN DAN TERKINI
Juga dilengkapkan ciri kereta moden masa kini seperti Sistem Bantuan Parkir Belakang (RPAS), kamera pandang belakang dengan Panduan Parkir Dinamik (DPG), dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) serta kunci pintar dengan punat penghidup tekan (start-stop).
Sistem infotainmen memuatkan skrin sentuh LCD 7 inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Juga fungsi konektiviti auksiliari, USB, Blueetooth dengan pengecaman suara..
BACA >>>Hyundai Siar Video Acah Venue (2020), CUV Baharu yang Lebih Kompak dan Trendy
Elantra (2020) ditawarkan dalam lima pilihan warna: Phantom Black (hitam), Fiery Red (merah), Teal Blue (biru), Fluid Metal (perak) dan Polar White (putih). Setiap pembelian dipakejkan dengan waranti 5 tahun atau 300,000km, mana satu tiba dahulu, termasuk bantuan jalanan 24 jam.
Leave a Reply