WAZE maju selangkah lagi dengan memperkenalkan mod pemasaran dan pengiklanan gaya baharu menggunakan aplikasi navigasi berkonsepkan komuniti tersebut menerusi telefon pintar.
Trend baharu itu dibincangkan dan dihuraikan panjang lebar dua pakar Waze, iaitu Pengarah Pemasaran Global Waze, Emma Weisberg, dan Ketua Pemasaran Produk Global Waze, Felipe Almeida yang berkunjung ke Kuala Lumpur, minggu lalu untuk mengadakan sesi meja bulat khas bersama media.
Mod baharu Waze kali ini akan jadi lebih pintar yang bukan saja memberikan akses pantas ke destinasi dituju, tetapi juga menawarkan ciri 'Branded Pin', iaitu paparan opsyen premis menarik yang boleh diibaratkan seperti papan iklan jalanan yang didigitalkan. Antara premis terlibat ialah jenama komersial terkenal antarabangsa seperti McDonald, Starbucks, 7 Eleven termasuk jenama tempatan seperti Guardian, Kedai Mesra Petronas, Giant dan lain-lain.
BACA >>> GPS Motosikal: Waze vs Google Maps, Mana Satu Terbaik untuk Mat Motor?
'BRANDED PIN' - IKLAN DIGITAL SERBA PINTAR
Menurut Emma, ciri 'Branded Pin' tidak akan mengganggu pengalaman pemandu menggunakan Waze kerana ia dipaparkan berdasarkan maklumat destinasi dan trend pemanduan pemandu. Sebagai contoh, iklan dan promosi McDonald hanya akan terpapar jika ia terletak dalam laluan perjalanan ke destinasi dituju.
Malah menurut Emma, papan iklan digital itu turut mengambil kira radius jarak perjalanan ke premis 'Brande Pin' supaya pemandu tidak tersasar jauh dari destinasi asal. Secara mudahnya, selepas singgah ke McDonald, pemandu boleh menyambung semua perjalanan ke lokasi dituju. Ia betul-betul pintar dan membantu!
EVOLUSI APLIKASI NAVIGASI
Almeida pula berkata, Waze akan menjadi medium pemasaran baharu yang lebih berkesan kerana dibuat berdasarkan tingkah laku dan paten pemanduan. Malah, kajian menunjukkan memang berlaku penambahan jumlah pengunjung yang pergi ke satu-satu premis yang disarankan Waze.
Menurutnya lagi, berdasarkan paten kekerapan seseorang pemandu itu ke sesuatu premis, Waze akan memaparkan sesuatu iklan dan promosi mengikut apa yang disukai. Sebagai contoh, jika pemandu itu kerap singgah ke Starbucks setiap minggu, maka Waze akan memaparkan promosi istimewa (jika ada) lebih spesifik untuk pelanggan setia yang berbeza berbanding pembeli biasa. Menarikkan?
BACA >>> Mahu Elak Kesesakan Lalu Lintas, Ikuti 3 Panduan Ringkas Waze
Paling penting ialah aspek keselamatan yang menurut Almeida, setiap papan iklan tidak akan dipaparkan sewenang-wenangnya, tetapi mengambil kira status pemanduan semasa. Seperti disebutkan di atas, aplikasi Waze masa depan sudah tidak lagi statik, tetapi lebih pintar dan fleksibel.
Ada 6.3 juta pengguna aktif Waze di Malaysia setiap bulan, dan peruntukan masa 72 minit setiap hari serta jarak perjalanan kira-kira 56km untuk setiap pemandu.
Leave a Reply