GENAP 12 bulan selepas kali pertama ditayangkan sebagai model konsep di Pameran Motor Antarabangsa Geneva (GIMS) 2018, McLaren Senna GTR kini didedahkan dalam bentuk kereta lumba sepenuhnya. Sekarang, barulah padan dengan namanya, ibarat Aryton Senna dengan litar lumba.
Senna GTR ialah siri terbaru McLaren Ultimate Series dan menjadi model paling pantas atas trek selepas kereta lumba Formula 1 McLaren.
BACA >>> #TahukahAnda: McLaren Pilih Nama Senna Sempena Peringati Jaguh F1, Ayrton Senna
Senna GTR ialah jelmaan McLaren Senna yang hadir dengan pakej berkuasa tinggi dan lebih ringan dengan aerodinamik daya bawah (downforce) 1,000kg berserta suspensi diambil daripada kereta lumba McLaren GT3. Seperti dimaklumkan, model ini ialah famili baharu McLaren Ultimate Series yang sebelum ini diwakili model juara Le Mans, F1 GTR (1995) dan jentera moden P1 GTR (2015).
Setiap satu Senna GTR boleh dibina mengikut cita rasa peribadi pemiliknya, dibawah divisyen McLaren Special Operation (MSO). Hanya 75 unit akan dibina di kilang McLaren di Woking, Britain dengan proses penghantaran pertama bermula September nanti.
Berikut Ciri McLaren Senna GTR:
- Dibekalkan enjin M840TR versi paling ekstrem 4.0L V8 turbo kembar.
- Menjana kuasa 823hp dan tork 800Nm, manakala pengecas turbo dikawal secara elektronik.
- Kuasa tambahan 23hp berbanding McLaren Senna diperoleh daripada kalibrasi semula kawalan enjin dan ekzos tanpa pemangkin (katalis) kedua bagi mengurangkan efek tekanan balik @ back pressure.
- Ekzos tanpa pemangkin kedua itu memberikan deruman menarik.
- Muncung ekzos ditala keluar di bawah spoiler belakang supaya jarak dari enjin lebih dekat untuk mengeluarkan gas dan mengurangkan berat selain rekaan lebih ringkas.
- Kuasa 823hp dengan berat kering 1,188kg menjadikan nisbah berat kepada kuasa paling cemerlang antara model McLaren lain untuk kegunaan trek atau jalan raya biasa.
- Ada tiga mod pemanduan: Wet, Track dan Race.
- Mod Wet memberikan lebih sokongan daripada sistem elektronik Program Stabiliti Elektronik (ESP) dan Sistem Brek-Anti-Kunci (ABS) dan ditala untuk digunakan bersama tayar basah.
- Transmisi SSG (Seamless Shift Gearbox) 7-kelajuan sama seperti McLaren Senna dengan ciri Kawalan Luncur @ Launch Control.
Selain ciri hebat dinyatakan, Senna GTR dikeluarkan dalam versi pemanduan sebelah kiri sahaja (LHD). Keputusan itu dibuat memandangkan pemanduan sebelah kanan atau kiri bukan masalah untuk segmen kereta lumba dan majoriti pembeli pula ialah kalangan pemandu LHD.
Senna GTR ditawarkan pada harga £1.1 juta (RM5.8 juta), termasuk cukai. Apapun maaf, semua unit sudah ada pembeli dan habis dijual dalam masa beberapa minggu selepas tempahan dibuka. Hmm...
BACA >>> Inilah McLaren Senna yang Paling Mampu Milik, Cuma RM79.90 Sahaja!
Leave a Reply