SETIAP tahun, ada sahaja berita mengenai kereta dipanggil balik (recall) oleh pengeluar automobil atas pelbagai alasan, terutamanya keselamatan. Sesetengah kes melibatkan panggilan balik ratusan ribu unit. Malaysia turut tidak terkecuali, di mana baru-baru ini dua pengeluar automobil terkenal, iaitu pihak pengeluar kereta nasional (baca INI) dan juga jenama luar (baca INI) mengumumkan memanggil balik produk mereka.
Kebanyakan panggilan balik mempunyai kaitan dengan keselamatan dan persepsi umum menganggapnya sebagai masalah besar yang memerlukan perhatian segera. Jadi, patutkah anda risau jika kereta dipanggil balik oleh pengeluar?
Jawapan pendeknya ialah TIDAK.
TETAPI, anda mesti segera membuat janji temu dengan wakil pusat servis sah seperti yang disarankan pengeluar. Walaupun kebanyakan kes panggilan balik melibatkan isu keselamatan minor yang tidak memberikan kesan buruk terhadap kenderaan, itu bukan bermakna anda patut mengabaikannya.
Ini kerana sesetengah isu kecil boleh mengakibatkan kesan buruk besar. Contohnya, model Jeep Grand Cherokee di pasaran Amerika Syarikat (AS) dipanggil balik hanya disebabkan visor matahari. Pada 2014, dua model, Grand Cherokee dan Dodge Durango dipanggil balik dari seluruh AS berikutan pemasangan skru pemegang visor matahari yang tidak betul.
Menurut laporan, wayar lampu pada cermin visor matahari itu boleh bergesel dengan skru pemegang dan berisiko mencetuskan litar pintas dan kebakaran. Pada masa sama, Pengeluar gergasi AS, Chrysler atau FCA memutuskan memanggil balik hampir 900,000 unit untuk dipasangkan penjarak (spacer) plastik berikutan pelbagai aduan diterima membabitkan 62 kes litar pintas, 38 kebakaran dan tiga kecederaan. Sebaik sahaja proses panggil balik dibuat, laporan kes menurun secara drastik.
Bagaimanapun, Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) di AS menerima lapan laporan susulan terbaru mengenai insiden litar pintas yang menyebabkan kebakaran, sekali gus memaksa pengeluar memasang pula sejenis fius bagi menghalang masalah sama berulang.
JANGAN PANDANG RINGAN
Kes-kes ekstrem di atas menunjukkan betapa anda tidak harus melengah-lengahkan notis panggil balik tanpa mengira betapa kecil isu yang disebutkan. Kegagalan mematuhi arahan hanya mendedahkan diri dan orang sekeliling kepada risiko keselamatan. Lebih buruk jika anda menjual kereta tanpa mempedulikan peringatan panggil balik kerana pembeli baru pula terpaksa menanggung risiko yang berpunca daripada sikap sambil lewa anda.
Pengeluar perlu menanggung kos panggil balik yang sangat tinggi berasaskan potensi kerosakan ke atas reputasi dan kos tenaga buruh serta alat ganti baru. Ada satu kes bernasib baik, iaitu Suzuki sempat memanggil balik model Celerio sebelum kereta itu dijual di pasaran. Jadi, proses panggil balik tidak serumit kereta yang sudah dijual kepada umum.
Sebarang kerja baik pulih atau penggantian semula di bawah label panggil balik tidak membabitkan bayaran pampasan kepada si pemilik. Ini bermakna upah buruh dan alat ganti sepatutnya dicaj percuma. Walaupun kereta dihantar kepada mekanik luar, anda masih tetap perlu menghantar kenderaan ke wakil pusat servis sah bagi memastikan kerja dilakukan mekanik luar tersebut mematuhi prosedur panggil balik yang betul.
Panggil balik bukanlah isu besar kerana kebanyakan kes membabitkan isu-isu kecil. Namun seperti ditegaskan di atas, sekiranya anda menerima notis panggil balik, tolong jangan abaikan! Bertindak segera!
Nur Asyikin Aminuddin says
Jawapan anda yang menyatakan TIDAK (bold warna hitam lagi) pada soalan "patutkah anda perlu risau jika kereta dipanggil balik" akan MENGELIRUKAN PENGGUNA kerana sebarang produk yang telah ditarik balik kebiasaannya berpunca daripada risiko bahaya yang wujud pada sesuatu produk terbabit.
Pengguna perlu memandang serius dengan sebarang produk yang ditarik balik kerana pengguna bakal berdepan risiko bahaya yang tidak diketahui umum. Pengguna berhak untuk mendapatkan notifikasi produk yang perlu ditarik balik supaya pengguna sedar dan tahu akan risiko bahaya yang wujud pada produk yang telah dibeli oleh mereka.
Terima kasih
Nur Asyikin Aminuddin
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia
Eksekutif Teknikal dan Polisi (Keselamatan Produk)
AO says
'Tidak' cuma jawapan pendek dan ada susulan 'tetapi'. 'Tidak' juga merujuk kepada pemahaman 'patut risau' atau 'tidak'.
'Tidak patut risau' dalam artikel ini merujuk kepada fungsi mekanikal asas kereta. Setakat ini, sejarah recall ialah membabitkan kegagalan fungsi selepas produk rilis dan melepasi pra ujian perbatuan. Maknanya, kereta anda bukanlah produk yang gagal total atau tidak melepasi fasa pra ujian. Itu yang sepatutnya tidak dirisaukan.
'Tetapi' yang patut dirisaukan ialah hal notis recall itu sendiri.