• UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI

PanduLaju.com.my

Tekan Pedal dan Jangan Stres

  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
You are here: Home / Autotainment / #TahukahAnda: Apakah Klac dan Bagaimanakah Ia Berfungsi Pada Motosikal?

#TahukahAnda: Apakah Klac dan Bagaimanakah Ia Berfungsi Pada Motosikal?

February 10, 2019 By ZY 5 Comments

21.7k
PERKONGSIAN
FacebookTwitter

TAHUKAH anda, hampir semua kenderaan berenjin ada klac, termasuk motosikal automatik (seperti skuter) dan separa manual tanpa klac tangan, atau dipanggil semi-auto, atau klac hidup (seperti Honda EX-5)?

Ya, walaupun tiada tuil atau pedal klac seperti mana motosikal klac manual, itu tidak bermakna tiada klac digunakan pada motosikal tersebut. Kepada anda yang belum maklum, istilah 'klac' diambil guna daripada Bahasa Inggeris, 'clutch', bermaksud mencengkam atau memegang erat.

APAKAH YANG INGIN DICENGKAM?

Pertama sekali, anda harus tahu kenapa klac perlu ada. Tidak seperti kereta mainan Dash Yonkuro yang anda pernah main, kenderaan sebenar perlu ada kebolehan menghidupkan enjin tanpa menggerakkan roda. Kenapa? Mudah saja, pastinya anda tidak mahu roda motosikal anda terus bergerak sebaik saja kunci penghidup ditekan.

Jadi, satu mekanisme diperlukan untuk memisah dan menghubungkan kuasa daripada enjin kepada roda belakang. Mekanisme penghubung ini dipanggil transmisi @ transmission, juga diambil daripada istilah Inggeris, transmit atau menghantar. Apa yang dihantar? Kuasa semestinya, daripada enjin kepada roda penggerak melalui komponen-komponen transmisi seperti gear dan pemacu (rantai, syaf dan lain-lain).

BACA >>> Kenali Jenis Transmisi Motosikal yang Perlu Anda Tahu

Namun, kuasa enjin tidak boleh sewenang-wenangnya terus dihantar kepada roda penggerak. Bayangkan anda guna gerudi bermotor dengan kelajuan rendah untuk menebuk kayu, dan terus tekan mata gerudi pada permukaan simen konkrit yang lebih keras, mata gerudi akan perlahan atau terus berhenti berputar. Situasi sama akan berlaku sekiranya anda terus menukar gear tanpa menarik tuil klac pada motosikal dengan transmisi manual, motosikal akan tersentak atau enjin terus mati.

Jadi, anda perlukan mekanisme pemisah. Jadi, klac digunakan sebagai perantara bagi melancarkan hantaran dan juga pemisahan kuasa antara enjin dan transmisi.

Klac digunakan bagi menghubung, atau memisahkan putaran gear daripada engkol enjin, dengan bertindak mengapit (engaged) atau melepaskan (disengaged) apitan klac-klac plat dalam mekanisme klac, yang seterusnya dihubungkan kepada putaran gear yang menggerakan transmisi dan roda belakang.

BAGAIMANAKAH KLAC BERFUNGSI?

Susunan asas klac dan unit penyerap hentak

Ada pelbagai metod dan mekanisme klac berbeza untuk motosikal, bergantung kepada kos dan aplikasi seperti penggunaan klac sentrifugal atau klac auto untuk motosikal kapcai bersesaran bawah 150cc. Bagaimanapun, asasnya tetap sama iaitu geseran atau nyah-geseran setiap plat klac (lihat cakera-cakera pada sebelah kanan gambarajah di atas 👆🏼).

Sebagai contoh, motosikal dengan transmisi manual penuh (klac tangan), apabila tuil klac ditarik, sebenarnya anda menolak spring-spring (gambarajah atas, hujung sekali sebelah kanan) sehingga termampat (compressed), melepaskan apitan dan menyah-geseran plat-plat klac, lantas memisahkan sambungan kuasa antara enjin dan transmisi.

Pada masa ini, anda boleh menukar gear sesuka hati tanpa memberi efek kepada enjin. Tapi ingat, anda perlu lepaskan tuil untuk membenarkan kuasa dihubungkan semula.

Apabila tuil klac dilepaskan (gambarajah atas, kiri), apa yang berlaku ialah spring-spring dalam mekanisme klac akan menolak kuat plat-plat itu supaya bergeser satu sama lain hingga putaran gear engkol beransur-ansur dapat disesuaikan kepada putaran gear transmisi, seterusnya menggerakkan roda belakang.

Sekiranya ada jurang besar antara kelajuan putaran enjin dan putaran transmisi, akan menyukarkan plat-plat klac ini untuk menyesuaikan kelajuan lantas penukaran gear menjadi tidak lancar dan situasi slip-klac (clutch-slip), iaitu putaran enjin lebih tinggi daripada putaran transmisi (enjin meraung, tetapi kelajuan masih perlahan) boleh berlaku, atau enjin terus segera mati.

Inilah sebab kenapa apabila menunggang motosikal dengan transmisi manual atau berklac, jika dalam gear 1, kita perlu melepaskan tuil klac beransur-ansur lebih perlahan berbanding gear-gear seterusnya. Sebabnya, pada peringkat awal, kuasa putaran enjin (tork) perlu mengatasi rintangan daripada roda belakang yang pegun, apabila roda mula berpusing dan menambah kelajuan barulah kelajuan engkol dan transmisi dapat disesuaikan yang seterusnya membawa kepada penukaran gear lancar.

Masih susah hendak faham? Boleh cuba tonton video penjelasan di bawah.

MASALAH UMUM MELIBATKAN KLAC

Kebiasaannya, masalah melibatkan klac sukar dikesan peringkat awal dan kerosakan yang berlaku akan mengambil masa. Bagaimanapun, petanda seperti enjin mudah mati apabila tuil klac ditarik, sukar untuk menarik tuil klac atau kehilangan pikap atau kelajuan walaupun pada rev tinggi (clutch-slip), bermakna klac anda perlu diperiksa segera.

Kebiasaannya masalah klac datang berpunca daripada haus dan lusuh (wear & tear) pada komponen. Ini termasuklah kabel klac yang semakin meregang atau plat klac yang semakin menipis hingga hilang upaya untuk mencengkam. Selain itu, ia juga boleh berpunca daripada pemilik sendiri seperti tetapan kelegaan atau freeplay kabel klac yang terlalu panjang hingga plat klac tidak terpisah sepenuhnya apabila tuil ditarik.

Boleh jadi juga terlebih isi minyak enjin melebihi isipadu maksimum dibenarkan, atau menggunakan minyak enjin yang tidak sesuai dengan klac motosikal (misalnya guna minyak enjin kereta).

Memandangkan klac motosikal dibina mengikut spesifikasi asal jentera tersebut, modifikasi peningkatan kuasa enjin yang terlalu tinggi juga akan menyebabkan masalah clutch-slip berlaku. Ini sering kali terjadi apabila pemilik ada bajet terhad dan naik taraf ke atas sistem klac wajib diambil kira jika mahu modifikasi membuahkan hasil yang sepatutnya.

BACA >>> Jangan Tahu Tuang Sahaja, Ketahui Fakta Penting Minyak Pelincir Motosikal Anda

Related

21.7k
PERKONGSIAN
FacebookTwitter

Filed Under: Autotainment, Roda2 Tagged With: autotainment, bagaimana klac berfungsi, how clutch works, jenis klac, klac auto, klac manual, maksud klac, motosikal, tahukah anda

Comments

  1. Ariel says

    May 24, 2021 at 11:48 PM

    Salam sejahtera....
    Sy ariel...sy ada soalan dan soalan ini mungkin boleh ditertawakan bagi yang sudah tahu....
    Soalan sy...
    Sy ada motor ber klac tangan (motocross 125cc) tapi sy nak tukar...bermaksud sy tak nak pakai klac tangan lagi..sy nak pakai klac kaki seperti motor ex5...boleh ke?dan apa yg perlu digantikan jika kita mahu menukar klac tangan kepada semi auto seperti ex5...

    Maaf sy betul² ingin tahu dan menukarnya...

    Reply
    • Abang GYL says

      May 25, 2021 at 2:52 PM

      Ini subjektif. Ikut skill kedai modi
      Sebab melibatkan bahagian utama crankshaft & tambahan item (auto clutch components)
      Setahu kami tiada lagi komponen PNP untuk modifikasi ini

      Reply
  2. shah says

    June 1, 2021 at 12:05 PM

    maaf bertanya...kenapa gear 1 kita msti tekan..dan gear seterusnya kita kena cungkil?????

    Reply
  3. Lol says

    October 9, 2021 at 1:14 AM

    Kau tnya kompeni mna yg buat

    Reply
  4. FisZa says

    November 1, 2021 at 8:26 PM

    Assalamualaikum.. Bos.. Sy Ad mody lagenda z 110 buat cubcross Ada tukar sikit barang spt block 60mm head 23-27 carb cranshalf jet 2.05mm n clutch plate skli spring. Pakai tak lama jd slip loose starter kick.. Hampir semua sy tukar brg sebelah clutch pun ttp loose starter.. Hantar 3 kedai Pomen cuma buang duit je masalah tak setel.. Pening...
    Mohon bantu.. T. Kasih

    Reply

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CARIAN AUTO

Pilihan Ramai

  • #TahukahAnda: Tentang Nombor Plat Malaysia yang Mungkin Anda Tidak Tahu
    #TahukahAnda: Tentang Nombor Plat Malaysia yang Mungkin Anda Tidak Tahu
  • Ops Khas Hari Raya Aidiladha 2025 Mula 4 Jun Ini di Seluruh Negara
    Ops Khas Hari Raya Aidiladha 2025 Mula 4 Jun Ini di Seluruh Negara
  • #ApaNakBuat: Inilah Cara Aktifkan Fungsi Bluetooth Perodua Myvi (2011-2017)
    #ApaNakBuat: Inilah Cara Aktifkan Fungsi Bluetooth Perodua Myvi (2011-2017)
  • Penipuan, Kurang Ketelusan Jejas Kepercayaan dalam Pasaran Motosikal Terpakai
    Penipuan, Kurang Ketelusan Jejas Kepercayaan dalam Pasaran Motosikal Terpakai

PANDU UJI

KL ke Belum Resort Cuma 3.9L/100km, Yogeswaran Menang Cabaran Jimat Minyak Haval H6 HEV

GWM Malaysia baru-baru ini menamatkan cabaran jimat minyak Haval H6 … [Baca Lagi...]

#PanduUji: Proton e.MAS 7 Bukan EV Biasa, Ini Masa Depan Automotif Negara!

PROTON e.MAS 7 boleh diibaratkan semacam satu fenomena yang menarik … [Baca Lagi...]

#PanduUji: Kia Sportage 2025 dari Shah Alam ke Janda Baik, Mampu Cabar Pasaran SUV Segmen-C!

SAYA dan rakan media pada 23 Januari lalu dijemput Dinamikjaya Motors … [Baca Lagi...]

2014 – 2025 © PanduLaju.com.my
🚀 XCII WebDev