BMW 7 Series (2020) melakukan debut rasmi dalam rupa serba baharu yang kali ini datang dengan gril ginjal ikonik bersaiz besar. Menurut BMW, rekabentuk gril baharu itu dibesarkan 40 peratus berbanding model 7 Series sebelum ini. In ialah model kedua BMW yang tampil dengan rekaan gril baharu besar selepas X7.
Gril besar itu dipadankan bersama lampu utama tirus, manakala lampu belakang datang dalam bentuk satu unit yang disepadukan dengan bar krom yang melintang sepanjang but. Setiap penjuru lampu utama dan lampu belakang pula saling berhubung dengan garis sisi badan yang menyerlahkan sosok tegap sedan mewah saiz-penuh ini.
BACA >>> BMW 740Le xDrive - Sedan Mewah Hibrid Plug-In Paling Berkuasa, Harga RM598k
3 PILIHAN ENJIN
BMW 7 Series menawarkan 3 varian enjin petrol berbeza. Pertama ialah varian 745e hibrid plug-in , menggunakan enjin enam sebaris bersama bateri voltan tinggi dan motor elektrik dengan total ouput sistem 394hp dan jarak pemanduan elektrik maksimum 50-60km, bergantung opsyen sistem pacuan semua roda (AWD) xDrive, atau bukan.
Kedua, enjin 4.4L twin-turbo V8 yang kembali semula untuk model 750i xDrive dengan tambahan kuasa 80hp menjadi 530hp. Varian ketiga dan terakhir, M760Li xDrive yang dijana enjin 6.6L twin-turbo V12 berkuasa 585hp.
MEWAH DAN SERBA MODEN
Ruang dalaman turut dipertingkat dengan menambah baik tahap kesenyapan kabin, termasuk memperhalusi rekabentuk sekitar gerbang roda belakang, pilar-B dan penutup tali keledar, termasuk menipiskan ketebalan kaca tingkap belakang dan sisi.
Roda stereng baharu kini datang dengan butang multifungsi yang diatur semula, dan disempurnakan kemasan upholsteri baharu, termasuk menambah opsyen kulit Nappa.
BMW 7 Series (2020) kini dibekalkan sistem BMW Live Cockpit Professional sebagai standard, terdiri daripada kluster instrumen digital, dan paparan tengah skrin lebar 10.25 inci dengan BMW Operating System 7.0. Sistem operasi (OS) ini memuatkan ciri BMW Intelligent Personal Assistant, iaitu bantuan kepintaran buatan (AI) seperti Siri dan Alexa yang mampu memahami pelbagai arahan suara untuk membantu mengawal operasi kenderaan.
Fungsi pemanduan semi-autonomi juga ditawarkan menerusi pilihan pakej Driving Assistant Professional, terdiri daripada kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti-pergi, bantuan kawalan lorong dan stereng, bantuan trafik sesak, bantuan elak perlanggaran dan banyak lagi.
BACA >>> BMW X7 (2019) yang Sangat Amerika, Luas dan Besar Serba-Serbi
Harga BMW 7 Series (2020) akan diumumkan kemudian.
Leave a Reply