SUDAH bukan rahsia, imej Toyota Supra (2020) kini terdedah sepenuhnya di ruang maya, dipercayai foto rasmi milik pengeluar automotif dari Jepun itu. Namun resolusi gambar agak kurang baik.
Lama sebelum itu, kelibat Supra sudah ditampilkan dalam bentuk celoreng kamoflaj pada acara Goodwood Festival of Speed yang sedikit sebanyak memberikan bayangan tentang sosok fizikal kereta sport tersebut. Tidak lama kemudian muncul pula Supra versi lumba untuk perlumbaan siri VLN di Nurburgring.
BACA >>> #Spyshot: Imej Toyota Supra (2020) Bocor Sebelum Debut Detroit
Malah, beberapa media permotoran Barat diberikan peluang duduk dalam kabin prototaip Supra versi kamoflaj di atas trek. Dua imej didedahkan itu menunjukkan rupa depan dan belakang Supra (2020). Gambar ditunjukkan juga memaparkan perkataan 'GR' pada plat lesen yang mana Toyota sebelum ini membayangkan akan menggunakan lencana 'GR' untuk Supra.
Jadi, nama tidak rasmi untuk model baharu itu boleh jadi Toyota GR Supra. Namun, masih tidak jelas apakah ia singkatan kepada GAZOO Racing, iaitu pasukan lumba Toyota, ataupun nama lain yang dikhaskan untuk pasaran negara tertentu.
Awal bulan ini, Toyota ada mendedahkan bunyi deruman ekzos Supra, yang kedengaran seperti jentera BMW dengan enjin 6 sebaris 3.0L pengecas turbo berkuasa 300hp dan transmisi automatik 8-kelajuan. Berat pula dijangka di bawah 1,500kg, manakala pecutan 0-100kmj di bawah 5 saat.
BACA >>> #BikinKereta: Toyota Supra 2JZ yang Masih Bergetah Seperti Mak Dara
Toyota Supra (2020) akan melakukan debut rasmi pada Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS) 2019, bulan depan.
Leave a Reply