RERUAI Honda Malaysia mengetengahkan ruang pameran bertemakan 'Frontier of Innovation' yang berkonsepkan teknologi termaju pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, dengan kali pertama membariskan model konsep baharu di Malaysia, iaitu Kenderaan Sel Bahan Api (FCV), Clarity Fuel Cell.
Pengunjung turut dipersembahkan dengan model dan teknologi moden Honda seperti sistem Sport Hybrid i-MMD, termasuk Jazz dan CR-V Konsep Mugen. Selain itu, ada juga model popular lain seperti Accord, Civic, Civic Type-R, City Hybrid dan HR-V RS Baharu.
Apa yang menarik jika anda berkunjung ke reruai Honda Malaysia semperna KLIMS 2018 ini?
1. MODEL KONSEP FCV- CLARITY FUEL CELL
Clarity Fuel Cell ialah model termaju dibangunkan Honda dengan motor elektrik dikuasakan tenaga elektrik daripada penukaran hidrogen untuk menghasilkan kuasa pecutan pantas dan sifar emisi. Teknologi ini selari strategi 'Visi Honda 2030' yang mensasarkan menguasai pasaran global dengan pelbagai teknologi elektrifikasi termaju menerusi model buatannya.
2. HR-V RS BAHARU
Kenderaan utiliti sukan subkompak popular, HR-V tampil dalam varian RS dengan rekabentuk luaran serba sporty . Versi ‘RS’, yang bermaksud 'Road Sailing', dilengkapkan ciri baharu seperti Honda Lane Watch. Pelancaran model ini masih belum diputuskan, bagaimanapun tempahan sudah pun dibuka.
3. HONDA SENSING
Honda Sensing ialah teknologi bantuan pemandu yang berfungsi memberi amaran dan membantu pemandu mengelak atau mengurangkan impak perlanggaran. Teknologi ini dibangunkan menggunakan kamera monokular dan gelombang radar millimeter untuk pandangan lebih sempurna atas jalan dan sebagai langkah keselamatan tambahan.
Ada 7 ciri keselamatan Honda Sensing:
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Low Speed Follow (LSF)*
- Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
- Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS)
- Mitigasi Lencong Jalan (RDM)
- Amaran Lencong (LDW)
Teknologi ini mula diperkenalkan tahun lalu pada model CR-V, sebelum disusuli Accord dan Odyssey. Pengunjung boleh melihat dan merasai sendiri pengalaman fungsi Honda Sensing di reruai Honda Malaysia.
4. VTEC TURBO
Prestasi tinggi ialah intipati jentera Honda. Pada 2016, Honda ialah pengeluar kenderaan penumpang Jepun pertama yang memperkenalkan enjin pengecas turbo untuk model Civic kepada rakyat Malaysia, sebelum diperluaskan kepada model CR-V (2017).
Honda menggabungkan pengecas turbo dengan sistem suntikan terus dan mekanisme pemasaan injap variabel untuk menjana lebih kuasa walaupun dalam rev rendah. Hasilnya, enjin 1.5L VTEC Turbo dapat menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin bersesaran 2.4L. Walaupun kapasiti enjin kecil, Honda tetap berupaya menawarkan prestasi luar biasa tanpa mengabaikan aspek penjimatan bahan api.
Satu lagi model yang pasti mengujakan ialah Civic Type R yang memegang rekod Kereta Pengeluaran Pacuan Roda Hadapan (FWD) paling pantas dunia selepas memecahkan rekod di litar Nürburgring, Jerman pada April 2017, sekali gus menjadi model paling berkuasa ditawarkan Honda Malaysia.
Civic Type R dikuasakan enjin 2.0L VTEC Turbo berkuasa 308hp dan tork 400Nm, juga salah satu enjin terbaik pernah dibangunkan Honda.
5. BILIK SENSORY 'FRONTIER OF INNOVATION'
Honda Malaysia menyediakan 'Bilik Sensory' yang membolehkan pengunjung merasai sendiri pelbagai teknologi termaju Honda seperti VTEC Turbo, Sport Hybrid dan Honda Sensing. Ruang khas ini juga meningkatkan pengalaman penerokaan pelanggan menerusi penggunaan dimensi digital yang membolehkan pengunjung melihat teknologi termaju Honda.
6. JAZZ DAN CR-V KONSEP MUGEN
Honda Malaysia turut mempamerkan 2 model dengan pakej aksesori Mugen: Jazz dan CR-V.
Jazz yang mencipta nama sebagai hatchback versatil tampil dengan pakej aksesori konsep Mugen tampak begitu berhaya dengan penampilan sporty.
CR-V pula, yang menjadi peneraju segmen SUV kompak, juga diberikan pakej aksesori konsep Mugen. Hasilnya ialah lagak yang dinamik dan agresif. Kedua-dua model itu dipamerkan dalam warna baharu, Passion Red Pearl (merah).
Leave a Reply