ANTARA aspek penting sebelum membuat keputusan membeli sesebuah kereta ialah kerusi. Walaupun tahap keselesaan seseorang individu itu subjektif, tetapi ia mesti mempunyai satu poin yang membawa kepada satu kesimpulan - selesa.
Pembinaan kerusi kereta moden sekarang semakin rumit. Selain keselesaan, faktor yang perlu diambil kira ialah keselamatan. Jika kerusi kereta dahulu hanya untuk menyokong badan atau hentakan ketika kemalangan (whiplash), kerusi kereta hari ini pula diisi dengan beg udara di sisi.
Selain itu, kerusi kereta hari ini juga perlu dilengkapkan dengan pautan ISOFIX untuk pemasangan kerusi bayi dan kanak-kanak yang betul. Salah perkiraan akan menjejaskan ujian kemalangan dan reputasi jenama pengeluar itu sendiri. Bagi memastikan kerusi kereta kekal selesa dan kukuh selepas bertahun-tahun lama, jurutera bahagian itu perlu melakukan pelbagai ujian.
BACA >>> Jenis Material Kulit untuk Kemasan Dalaman Kereta yang Perlu Anda Tahu
Misalnya, pasukan jurutera SEAT di bahagian Pusat Teknikal melakukan beberapa ujian utama sebelum melepasi barisan pengeluaran.
Berikut 5 fasa ujian paling berat dalam tempoh tiga tahun pembangunan kerusi kereta.
1. MASUK DAN KELUAR 700 KALI SEHARI!
Pengguna jenis apakah yang tergolong dalam kategori ini? Mustahil wujud. Tetapi itulah jumlah ujian dilakukan penguji profesional lelaki dan wanita dalam pelbagai saiz dan badan. Jumlah dilakukan itu ialah sebanyak 6,000 kali selama seminggu.
Penguji turut mengulang semula tindakan itu 700 kali sehari sebagai simulasi apa yang bakal dilalui kerusi sepanjang tempoh 5 tahun. Penguji juga memakai jeans dengan butang dan pin (rivet) poket belakang atau jahitan bagi memastikan ketahanan fabrik dan busa/span.
2. TAHAN GOSOKAN ATAU GESERAN
Ujian gosokan ini dilakukan di dalam makmal dengan simulasi badan seberat 75 kg. Sepanjang tiga minggu, mesin membuat ujian sebanyak 22,000 kitaran geseran, 24 jam sehari dengan simulasi pergerakan harian oleh pengguna yang mempunyai berat lebih daripada 100 kg.
Ujian ini adalah untuk mengkaji prestasi kerusi dan menilai sama ada ia mempunyai rupa dan bentuk yang sama seperti awalnya.
3. DIGONCANG 300,000KM DALAM KEADAAN EKSTREM
Dalam ujian ini, kereta akan digoyangkan kuat dalam kebuk untuk simulasi pemanduan atas permukaan jalan tidak rata. Ujian dilakukan 225 jam, atau bersamaan penggunaan hingga 300,000 km.
Ujian sama juga dilakukan dengan membiarkan kereta daripada suhu 80°C hingga -35°C. Penilaian dibuat dalam tiga fasa, iaitu sebelum, semasa dan selepas bagi memastikan karakteristik kerusi tidak berubah dan rosak.
4. SUHU DINAIKKAN 40°C DARIPADA TAKAT BEKU
Dalam kebuk bersuhu -20°C, jurutera akan menganalisis prestasi kerusi yang dipanaskan. Kajian ini menggunakan model SEAT Arona dan dibuat untuk kerusi yang mempunyai fungsi pemanas.
Analisis dibuat menggunakan kamera termografik bagi memastikan suhu yang selesa dicapai dalam tempoh tiga minit dan kemudian meningkat kepada 40°C, 15 minit berikutnya. Pemetaan kawasan panas akan menunjukkan sebaran panas diagihkan kepada keseluruhan permukaan dan memberikan keselesaan kepada pemandu.
BACA >>> Leon Generasi Ke-3 Jadi Model Paling Laris dalam Sejarah Seat!
5. DUDUK DENGAN BETUL
Cara duduk yang ideal juga ada kaedah tepat. Pasukan jurutera akan mengukur 20 poin rujukan utama pada kerusi bagi memastikan kedudukan badan yang betul, jarak perehat kepala atau sudut tulang peha. Aspek paling utama ialah posisi pinggul yang diukur menggunakan laser, dan posisi perehat kepala yang penting untuk keselamatan pemandu dan penumpang.
Berdasarkan pengiraan ergonomik, jurutera SEAT seperti Javier García dan pasukannya yang menumpukan aspek pembuatan dan kualiti kerusi dapat memastikan kedudukan pemandu kekal selesa dan selamat.
Sekarang kita lihat klip video penuh proses ujian kerusi kereta tersebut:
Leave a Reply