KHAS kepada mereka yang inginkan motosikal kembara! BMW Motorrad Malaysia mempertontonkan BMW F 850 GS (2019) sempena acara Nightfuel edisi ke-5 di Johor Bahru.
Dengan menjanjikan pengalaman tunggangan off-road luar biasa, F 850 GS (2019) tampil dengan rekabentuk sporty selain enjin diperbaharui. Ia juga direka untuk mengharungi pelbagai permukaan jalan seperti laluan berliku, berkerikil dan lain-lain.
Berikut 5 perkara yang anda perlu tahu mengenai BMW F 850 GS (2019);
1. REKABENTUK MASKULIN & DINAMIK
Aspek rekabentuk, F 850 GS (2019) tampil dengan ciri ikonik seperti lampu depan asimetrik dan ‘flyline’ yang sinonim dengan jentera GS. Bahagian flyline itu menampilkan karakter tersendiri dan paruh depan (pengadang atas roda, bawah lampu utama) yang menyerlahkan lagi rupa paras model itu.
Malah, visor angin standard yang dilengkapkan pada F 850 GS (2019) boleh ditukar mudah, yang memudahkan pemilik menyesuaikan profil jentera mengikut kegunaan sama ada untuk tujuan off-road atau tunggangan biasa.
2. ENJIN 2-SILINDER IN-LINE BAHARU
F 850 GS (2019) dipadankan enjin sebaris (in-line) 2-silinder 853cc berkuasa 95hp @ 8,250rpm dan 92Nm @ 6,250rpm dengan bantuan transmisi 6-kelajuan.
Bagi pengalaman lebih menyeronokkan, F 850 GS (2019) menawarkan 5 mod tunggangan: Dynamic, Rain, Road, Enduro dan Enduro Pro. Kombinasi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Stabiliti Automatik (ASC) menawarkan tahap keselamatan tinggi kepada penunggang.
3. SERONOK DITUNGGANG
Bagi respon lebih sensitif, roda depan dan belakang F 850 GS (2019) menonjolkan keperluan ciri tunggangan off-road dan penjelajahan. Roda depan disokong serampang teleskopik, manakala roda belakang dibantu swingarm aluminium dengan monoshock.
F 850 GS (2019) juga dilengkapi set rim ‘cross-spoke’ aluminium dengan tayar tiubles 21-inci di depan. Ini secara tidak langsung memberikan kestabilan tunggangan selain mengoptimumkan keupayaan jentera untuk pengembaraan off-road sebenar.
F 850 GS (2019) turut menampilkan ruang kelegaan tanah lebih luas. Namun, bukan penunggang tinggi saja dapat menunggang jentera ini dengan selesa. Keupayaan tersebut dapat dicapai dengan panjang lengkungan peg kaki bahagian dalam yang dioptimumkan, termasuk ciri segi tiga ergonomik dipertingkat sekitar bar hendal dan pelana.
BACA >>> Benarkah BMW Sedang Siapkan G310RR (2019)?
4. LENGKAP CIRI TERKINI
Walaupun dicipta untuk menghadapi laluan off-road, tetapi jentera ini tidak kurang dengan pelbagai ciri dan teknologi motosikal moden. F 850 GS (2019) didatangkan kluster instrumen digital, dipanggil Connectivity. Pelbagai maklumat dipaparkan pada skrin TFT berwarna 6.5-inci tanpa menjejaskan fokus penunggang.
5. ADA 3 WARNA PILIHAN
Lebih menarik, pemilik F 850 GS (2019) boleh memilih tiga gaya motosikal mengikut cita rasa tersendiri, iaitu:
- Exclusive - Warna matte metalik ‘Pollux’ untuk gaya elegan.
- Rallye - Warna putih (Light White), merah (Racing Red) dan biru (Lupin Blue) untuk gaya sporty.
- Racing Red - Warna merah asas.
Bagaimanapun, jentera versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Berlin itu akan berada di pasaran pada November depan. Harga pula masih lagi belum didedahkan. Apa yang pasti, kehadiran F 850 GS (2019) akan membuatkan peminat dua roda di Malaysia, terutama peminat motosikal advencer teruja mahu memilikinya.
BACA >>> BMW R1200GS Kini dengan Harga Mampu Milik dan Berkuasa Bateri
Leave a Reply