HONDA Vario 150 yang dilancarkan baru-baru ini nyata menarik perhatian ramai peminat skuter Malaysia dengan gaya sporty (terutama versi Repsol) dan enjin 150cc, sekali gus menjadikan pesaing dalam kelas sama, Yamaha NVX 155 sebagai perbandingan yang tidak dapat dielakkan.
Paling menarik perhatian, tentu sekali harga Vario 150 yang ditawarkan bermula RM7,199* berbanding harga rasmi NVX 155, RM9,906.
Dengan penjimatan sekurang-kurangnya RM2,700 (sebelum mengambil kira inflasi harga NVX 155 di pasaran), adakah terdapat perbezaan besar antara kedua-dua skuter ranggi ini? Teruskan perbandingannya di bawah.
1. REKABENTUK DAN GAYA
Benar, tidak adil menilai rupa saja. Bagaimanapun, selain memuaskan cita rasa, rekabentuk sesebuah motosikal turut menentukan praktikaliti dan pengendalian jentera tersebut.
Perbezaan pertama paling jelas, kedua-dua skuter menampilkan frem berbeza. Tidak seperti Yamaha NVX 155 yang menggunakan frem underbone seperti kapcai Yamaha Y15ZR, Vario 150 masih mengekalkan identiti skuter dengan frem step-through (melangkah).
Bagi mereka yang sudah biasa menunggang skuter, pasti lebih selesa memilih Vario 150 kerana frem step-through memudahkan lebih banyak muatan (seperti papan luncur dan lain-lain barangan) yang sukar dibawa kapcai atau skuter frem underbone. Inilah antara sebab kenapa skateboarder suka skuter. Namun, jika soal muatan bukan isu, dan lebih gemarkan kapcai transmisi automatik, skuter Yamaha pasti lebih menepati kehendak anda.
BACA >>> Honda Vario 150 Kini di Malaysia, Harga Bermula RM7,199 - Mampukah Cabar Yamaha NVX 155?
Sedikit mengecewakan, skuter gaya sporty seperti Vario 150 dan NVX 155 tidak dibekalkan brek cakera belakang walaupun itu bukanlah ciri wajib ada untuk skuter sesaran rendah. Berbanding NVX 155, Vario 150 hanya dibekalkan roda dan tayar lebih nipis (depan dan belakang), nampak tidak seimbang dengan saiz badan yang lebar.
Dari segi rupa, NVX 155 pasti lebih menarik perhatian ramai peminat motosikal di Malaysia berbanding Vario 150, tetapi tetap subjektif dan mengikut cita rasa peribadi.
2. CIRI DAN PRAKTIKALITI
Berita baik di sini, kedua-dua skuter menawarkan ciri canggih yang pasti dicemburui peminat motosikal lain.
Seperti NVX 155, Vario 150 turut menawarkan paparan meter LCD penuh dengan pelbagai indikator, sistem kawalan jauh tanpa kunci (remote keyless) dengan imobiliser(SMART, sudah ada pada Honda PCX 150), lampu LED (depan dan belakang) dan sistem Henti-Lahu (Idling Stop System - ISS).
Tiada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pada skuter Honda, tetapi didatangkan dengan sistem brek kombi. Jadi, tidak kira tuil brek sebelah mana ditarik, kuasa hentian akan diagihkan ke brek depan dan belakang, sekali gus kawalan brek lebih stabil.
BACA >>> Yamaha NVX GP Edition - Harga Naik RM600!
Dari segi muatan, selain boleh bawa muatan panjang untuk Vario, kedua-dua skuter ada ruang simpanan depan (jenis terbuka untuk Vario 150) dan simpanan bawah pelana yang cukup menyimpan sebuah helmet.
Penjimatan bahan api masih belum dicuba untuk Vario 150, tetapi dengan tangki 5.5 liter, jarak tunggangan yang dapat kami anggarkan ialah sekitar 150km per tangki penuh. Ini kerana NVX 155 cuma memiliki tangki lebih kecil (4.6 liter) dengan anggaran jarak sekitar 100-110km saja.
3. PRESTASI KUASA
Di sini, anda dapat tahu kenapa NVX 155 lebih mahal berbanding Vario 150. Dengan kelebihan 5cc dan teknologi VVA, enjin 155cc skuter Yamaha mampu mencapai 14.8hp dengan tork 13.8Nm, setanding kapcai 150cc lain di pasaran. Sebaliknya, Vario 150 dengan enjin 150cc SOHC penyejukan cecair pula cuma mampu mencapai 13hp.
Kami belum berpeluang menunggang uji sepenuhnya Vario 150. Namun, bersama kilasan tork setanding NVX 155, iaitu 13.4 Nm pada rev 5,000 rpm, dan berat badan ringan 112Kg (NVX -121kg), kelebihan ini membuatkan Vario 150 lebih tangkas dalam situasi stop n' go, isu biasa sering dihadapi penunggang bandar.
Transmisi kedua-dua skuter masih menggunakan jenis automatik CVT, jadi tiada perbezaan ketara di sini.
BACA >>> #TunggangUji: Yamaha NVX 155 - Skuter Lincah, Mantap dengan CVT yang Menyeronokkan
KESIMPULAN
Jujurnya kami rasakan Vario 150 masih bukan pesaing sebenar NVX 155 walaupun kedua-dua model itu diletakkan sebagai alternatif kepada skuter sporty di pasaran seperti, Honda PCX 150 dan Yamaha NMAX 150. Seperti yang dijelaskan dalam reviu NVX 155, skuter Yamaha itu lebih menyerupai kapcai, manakala Vario 150 masih mengekalkan imej dan praktikaliti skuter moden.
Jika anda mahukan Y15ZR dalam transmisi automatik, NVX 155 ialah jawapannya. Bagaimanapun, kesimpulan sama tidak dapat diberikan kepada Vario 150 untuk melayakkan model itu digelar RS150 versi automotik kerana berbeza kuasa dan pengendalian. Namun, jika anda rasa PCX 150 terlalu dewasa, sudah tentu Vario 150 pilihan lebih sesuai.
Lebih mudah lagi, cuba lihat semula bajet.
Vario 150 ditawarkan bermula RM7,199, manakala NVX 155, RM9,900. Perbezaan RM2,700 mungkin tidak banyak, tetapi berita buruknya, inflasi harga akibat permintaan dan permainan pasaran membuatkan harga NVX 155 menjangkau lebih RM12,000. Jadi, buatlah pilihan bijak dan jangan lupa gunakan kuasa membeli anda.
Sudah merdeka di jasad, harus bebas di akal!
Badrul says
sayang.. info pun kurang tepat.. perbandingan pun belum dapat test... takan buat berita untuk bagi info kepada pembaca dengan guna kaedah agak agak dan keputusan tangkap muat.
Baik korang suarakan kenapa kedai2 menjual harga tidak mengikut harga jualan dari Yamah atau Honda.. dah terang2 mereka menipu pembeli kan. kata permotoran, baik buat cerita pasal pengguna di Malaysia di tipu bulat2 oleh kedai2 yg menjual motor..
AO says
Apa yang tangkap muat? Dah disebut perbandingan awal, atau dalam bahasa teknikal kita sebut sebagai previu. Penilaian dibuat ikut spesifikasi dan rekabentuk.
Harga di luar konteks perbandingan teknikal.
Farscoot says
Rasa2nya ada tak keluaran vario baru utk thn 2020?design dah lawa tp ada isu ttg panel meter masuk air dan ruang kaki agak terhad.