DESAS desus projek Kereta Nasional 3.0 menjelang 2020 seperti dibayangkan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin kencang selepas kami menerima beberapa foto prototaip dan maklumat mengenai apa yang dikatakan sebagai bakal model itu nanti.
Berdasarkan foto diterima, jelas kelihatan lencana pada bahagian belakang but tertulis ‘Visi 2020’. Menurut sumber industri, lencana itu ialah nama model yang akan diperkenalkan, manakala platform diambil daripada salah satu kenderaan buatan Jepun.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Kelebihan dan Kekurangan Kenderaan Elektrik (EV)?
Sebanyak 90 peratus bahagian rekaan dihasilkan sendiri syarikat dan pereka tempatan. Tambah sumber itu lagi, projek Kereta Nasional 3.0 itu bakal menggunakan teknologi E-Power. Maksudnya, projek itu akan bertumpu kepada pembangunan model elektrik atau EV sepenuhnya, termasuk gabungan enjin petrol dan hibrid.
HARGA BAWAH RM100k?
Malah, kami turut diberikan spesifikasi, termasuk anggaran harga yang bakal dijual di pasaran tempatan kelak. Bagi model hibrid, penggunaan bahan api mencatatkan 1 liter per 20km. Lebih menarik, Kereta Nasional 3.0 itu khabarnya akan dijual pada harga di bawah RM100,000.
Seperti kita sedia maklum, harga EV memang mahal dan menjadi faktor utama kenapa segmen kenderaan itu masih tidak begitu mendapat sambutan di Malaysia.
Jika benar seperti diberitahu, sejujurnya kami setuju dengan projek itu kerana EV ialah antara cabang automotif yang belum lagi disentuh Malaysia, termasuk negara Asean secara agresif.
Kita kena ingat, rantau lain seperti Eropah, Amerika dan negara besar Asia seperti China, India dan Jepun sudah galak memulakan projek EV. Ada banyak artikel kami tulis tentang berita-berita EV di PanduLaju.
BACA >>> Rafizi Mahu Projek Kereta Nasional 3.0 Dikaji Semula, Gesa Hapuskan Duti Eksais
BAS EV PERLU DIBERI PERHATIAN
Dan kalau betul projek Kereta Nasional 3.0 itu ialah EV, jawapan kami, kenapa tidak? Lebih elok juga permulaan projek itu disusuli projek pengangkutan awam seperti bas EV yang pastinya dapat mengurangkan beban subsidi bahan api dan mengurangkan kos tambang.
Kos permulaan memang tinggi kerana perlu menyediakan fasiliti mengecas dan trek khas bebas trafik, tetapi jika mengambil kira impak masa depan dan jangka panjang, projek seperti ini cukup bagus. Bayangkan selain tren ETS sepanjang Semenanjung, kita juga ada bas EV seluruh Semenanjung, termasuk Sabah dan Sarawak.
BACA >>> Mara Liner Dilantik Wakil Sah Servis & Jualan Bas Elektrik Go Automobile
Malah kos, pembinaan stesen mengecas dan trek khas nanti sudah tentu lebih murah berbanding menyediakan landasan untuk tren berkelajuan tinggi seperti ETS. Siapa pernah naik BRT? Ya, lebih kurang sama, tetapi itu trek untuk pengangkutan dalam bandar.
Apabila projek bas itu dilihat bagus, orang ramai akan mula sedar, tiada masalah pun untuk kita beli kereta dan motosikal EV. Fasiliti sudah ada, pengalaman naik EV pun sudah biasa. Kalau sudah bas EV boleh dibikin, apalah sangat mahu dirisaukan tentang motosikal dan kereta EV. Jadi, tidaklah ralat sangat mahu beli EV.
Apapun, kami harap pembaca semua dapat bertenang dan tidak mengamuk. Kalau betul pun Kerajaan mahu sangat buat projek Kereta Nasional 3.0 jenis petrol, itu pun tidaklah perlu kita risaukan juga. Dalam ekonomi pasaran terbuka seperti Malaysia sekarang, pasaran jugalah yang akan menentukan nasib sesuatu produk. Tiada siapa boleh memaksa kita beli apa yang kita tidak suka.
Ingat, Tekan Pedal & Jangan Stres!
BACA >>> PM ke Jepun - Toyota, Nissan Akan Jalin Kerjasama untuk Projek Kereta Nasional 3.0?
Leave a Reply