TREND 'Keke Challenge' kini sedang tular dan mula jadi ikutan pengguna media sosial seluruh dunia, terutama golongan muda. Tindakan tersebut sebenarnya boleh membahayakan pengguna jalan raya lain, termasuk si penari.
’Keke Challenge’ ialah permainan berbentuk cabaran menari yang memerlukan seseorang itu keluar dari kereta yang sedang bergerak dan menari mengikut alunan lagu, In My Feelings nyanyian Drake. Gerak tari itu pula dicetuskan pelawak, Shiggy sebelum menjadi ikutan selepas videonya meraih 5 juta tontonan dalam tempoh singkat.
BOLEH DIPENJARA
Terbaharu di Dubai, waran tangkap dikeluarkan terhadap tiga personaliti media sosial popular kerana melakukan aksi Keke Challenge. Waran dikeluarkan kerana ketiga-tiga pesalah didapati membahayakan nyawa dan menyinggung moral awam.
Malah pihak berkuasa di bandar raya terbesar Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu turut memberikan amaran bahawa sesiapa saja yang melakukan aksi tersebut di UAE boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya.
BACA >>> Polis Australia Pilih Kia Stinger untuk Tugasan Rondaan Rentas Negeri
Menurut Polis Dubai, tarian tersebut jelas sekali melanggar tiga undang-undang trafik di UAE, iaitu memandu dengan cara membahayakan nyawa orang lain, menyebabkan gangguan dan kesesakan jalan raya, dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Bukan saja UAE, di Sepanyol, pihak polis di negara itu memberi amaran tentang bahaya kegilaan Keke Challenge yang berisiko menyebabkan si pelaku atau pengguna jalan raya lain cedera parah atau terbunuh. Malah, tarian itu digelar sebagai 'bonkers'! di Facebook.
Sepanyol ialah antara banyak negara yang dilanda trend gila itu dengan mencatatkan beberapa rekod kemalangan apabila si penumpang terjatuh ketika cuba keluar dari kereta untuk menari. Malah, ada kereta yang dipandu merempuh dan menghancurkan tiang lampu kerana masing-masing tidak melihat di depan.
Susulan itu, pihak polis Sepanyol berkongsi kompilasi video Keke Challenge (lihat video atas) yang gagal teruk dengan amaran:
'Teenagers should avoid carrying out '#InMyFeelings challenge' in a vehicle. A vehicle is not a toy - use it with responsibility!' / Remaja sepatutnya mengelak melakukan 'cabaran #InMyFeelings' dalam kenderaan. Kenderaan bukan mainan - gunakan ia dengan tanggungjawab!
Sementara itu di Malaysia, menurut petikan akhbar Harian Metro: pihak polis turut menasihatkan warga tempatan termasuk anak muda supaya berhenti melakukan tarian ‘Keke Challenge’ di kawasan jalan raya.
BACA >>> Britain Kaji Semula Undang-Undang Lindungi Polis Banteras Penjenayah Moped
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, konsep ‘beringat sebelum terkena’ perlu diterapkan dalam diri masing-masing bagi memastikan aksi individu terbabit tidak menyebabkan kemudaratan dan seterusnya mengakibatkan kecederaan dan kemalangan.
Leave a Reply