LAGI model motosikal menarik dari China yang saling tidak tumpah seperti Honda CBR250RR walaupun nama jenama itu boleh membuatkan kita rasa hendak ketawa - Feely. Jauh sekali garangnya seperti Ducati dan Honda yang setidak-tidaknya berbunyi motosikal.
Model ini ialah Feely 450 yang sekali tengok memang boleh tahan juga rupanya. Nampak saja macam sama CBR250RR, tetapi tidaklah serupa. Kalau ada keburukan paling ketara pun ialah jenama pengeluar, dan strip fairing (bertulis 'Never Stop') yang entah apa motifnya dan nampak benar seperti dihasilkan air tangan pereka amatur atau pelatih dari universiti tempatan.
Sebenarnya, sebelum 450, Feely ada mengeluarkan model Phantom 450 sekitar Mac lalu yang dikatakan paling mirip dengan CBR250RR (lihat gambar bawah paling kanan). Apa yang berbeza antara 450 dan Phantom 450 ialah rupa ekzos, penutup enjin (hitam untuk 450) dan brek cakera serta perincian fairing. Mungkin juga kedua-dua model itu sama saja sebenarnya.
Tidak banyak yang boleh dipuji tentang Feely 450, tetapi hala tuju rekabentuk motor ini boleh dikatakan berada atas landasan betul, terutama jika kita melihat ia sebagai produk pengeluar automotif dari China yang hampir pasti tiada dalam kamus hidup seorang mat motor di Malaysia.
ENJIN 450CC
Perincian penuh jentera ini tidak didedahkan, mungkin tidak lama lagi. Tetapi laporan menyebut motosikal ini dijana enjin kembar 450cc penyejukan cecair buatan Zongshen, iaitu antara pengeluar motosikal ternama dari Negara Tembok Besar itu. Ya, sama seperti kereta, China juga ada banyak pengeluar motosikal.
Dari segi prestasi. Feely 450 dengan enjin Zongshen itu mampu menghasilkan kuasa kuda sekitar 36hp dan tork 35Nm. Harga Phantom 450 ialah ¥20,763 (RM12,700). Jadi 450 dianggarkan berharga sama. Apapun, mana lagi hendak cari sebuah sportbike 450cc pada motosikal moped?
BACA >>> Perbandingan Rupa - Kawasaki Ninja 250 (2018) vs Honda CBR250RR vs Yamaha R25
Berdasarkan maklumat, Feely sebenarnya sedang merancang menghasilkan beberapa lagi model selain 450. Antaranya ialah jentera advencer dengan enjin silinder kembar 471cc yang menggunakan enjin Loncin (kelakar juga nama ni). Jangan tidak tahu, enjin ini terkenal dengan gelaran Honda CB500 versi fotostat.
Lagi model lain ialah jentera silinder tunggal 320cc untuk motosikal advencer dan naked roadster, juga carbon copy kepada CB300R. Berminat?
SUMBER: VisorDown
Leave a Reply