TELEFON pintar bakal menjadi ciri baharu untuk mengunci dan menghidupkan kenderaan selepas beberapa pengeluar automotif dan syarikat teknologi bersetuju menetapkan set piawaian baharu untuk kunci kereta telefon pintar.
Konsortium Konektiviti Kereta (CCC) - Volkswagen, BMW, Hyundai, Apple, LG dan Samsung - mengumumkan spesifikasi 'Digital Key Release 1.0' dalam mewujudkan ekosistem baharu yang membolehkan pemandu mengunci, membuka kunci dan menghidupkan kenderaan menggunakan peranti pintar.
Ketika ini, pemilik Tesla sudah pun boleh menggunakan aplikasi kunci kereta telefon pintar untuk mengakses dan menghidupkan Model S, Model X dan Model 3, tetapi cuma khas untuk jenama itu sahaja. Bagaimanapun, set protokol baharu CCC akan mewujudkan penyelesaian standard pertama dalam industri automotif.
BACA >>> #ApaNakBuat: Kunci Kereta Tidak Boleh Pulas, Bagaimana Atasinya?
Menurut CCC, sistem baharu itu akan memberikan jaminan sekuriti tertinggi untuk akses kenderaan. Teknologi tersebut ialah produk protokol NFC (Near Field Communication) dan berbeza berbanding sistem masukan tanpa kunci sedia ada yang mudah diceroboh penggodam dan pencuri kereta.
Spesifikasi 1.0 berjaya menarik minat banyak pengeluar automotif dan telefon pintar yang kemudian mencetuskan komitmen piawaian 'Digital Key Release 2.0'. Terbaharu, teknologi spesifikasi kedua itu turut melibatkan kumpulan baharu yang terdiri daripada pengeluar seperti Audi, General Motors (GM) dan beberapa syarikat lain.
Jurucakap Volkswagen berkata, syarikat itu sudah lama menyokong dan menyumbang kepada aktiviti Piawaian Kunci Digital (DKS) yang dibangunkan CCC sejak hari pertama lagi. Audi pula berkata, protokol CCC akan menghasilkan perkhidmatan inovatif baharu dalam industri automotif, manakala BMW mendakwa teknologi tersebut bakal memberikan pengalaman kepenggunaan yang superior kepada pelanggan.
SUMBER: AutoExpress
Leave a Reply