BARU saja Suzuki Indonesia menawarkan GSX-R150 versi facelift dengan pilihan warna baharu dan versi kunci pengatup (shutter key) yang lebih murah, Suzuki Vietnam pula senyap-senyap membuat kejutan dengan melancarkan GSX-R150 Yoshimura Special Edition.
BACA >> #IIMS2018: Suzuki GSX-R150 (2018) Versi Facelift Lancar di Indonesia, Kini Lebih Segar
Menariknya, versi Special Edition (SE) ini bukan sekadar menampilkan pelekat khas warna rasmi Yoshimura, tetapi turut menawarkan pakej aksesori tambahan yang bakal memantapkan lagi sportbike junior Suzuki itu sebagai jentera 150cc jalanan paling berkuasa.
Dengan tambahan đồng 12.1 juta (RM2,000), pemilik boleh melengkapkan GSX-R150 SE mereka dengan pelana tunggal, lampu signal LED dan ekzos slip-on prestasi tinggi, Yoshimura R77!
Pencarian kami di laman Internet menunjukkan ekzos jenama tersebut (original sahaja) berharga sekitar AS$400-AS$500 (RM1,600-RM1,900), jadi tawaran Suzuki Vietnam itu memang berbaloi!
Kepada mereka yang pernah memiliki model Belang dan Shogun 125 SP ketika awal kemunculan dahulu, pasti ingat, Suzuki Malaysia pernah menawarkan ekzos slip-on Yoshimura Tri-Oval sebagai aksesori tambahan bersama surat pengesahan yang mengesahkan status ekzos itu yang sah ditunggang atas jalan.
Agak mengecewakan, pakej SE itu tidak ditawarkan dengan high cam Yoshimura yang pasti dapat meningkatkan lagi kuasa GSX-R150 SE ini. Tetapi, tawaran Suzuki itu jelas lebih hebat dan ke depan berbanding pengeluar lain yang masih bergantung harap kepada populariti jentera MotoGP masing-masing.
SUMBER : SuzukiVietnam
Musang says
Kesian negara maju macam Malaysia melepas, negara yg tgh membangun pula yg merasa..
#wapalewheels says
Malaysia nak juga