SELEPAS model Passat, Polo Sedan dan Polo hatchback, kini tiba pula giliran Volkswagen (VW) Jetta menjadi varian pemasangan tempatan (CKD) keempat dalam barisan famili VW menembusi pasaran tempatan. Mula diperkenalkan pada 2011 dalam versi CBU (diimport sepenuhnya) pada harga jualan RM149,888, Jetta versi CKD ditawarkan pada harga lebih kompetitif. Dengan pengurangan sekitar RM19,000, Jetta CKD kini dijual pada harga RM130,888.
Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia (VGM), Christoph Aringer berkata, jualan Jetta dijangka terus meningkat berikutan tawaran harga lebih kompetitif berbanding sebelumnya. Menurutnya, VW menyasarkan jualan 3,300 unit Jetta CKD tahun ini.
"Jetta CKD adalah indikasi terkini mengenai komitmen menawarkan pilihan kenderaan mampu milik kepada rakyat Malaysia yang mahukan kualiti dan jaminan pada kenderaan kejuruteraan Jerman," katanya lagi.
LUARAN SAMA
Secara kasar, penampilan luaran Jetta CKD dan CBU hampir sama. Bersama rekabentuk sporty dan dinamik, Jetta CKD memiliki DNA sebenar VW dengan menampilkan rekaan garis jelas yang menyerlahkan intipati sedan ini.
Dipasang rim aloi 16-inci, gril krom dan paip ekzos berkembar, Jetta turut dilengkapi lampu kabus di hadapan dan belakang. Lampu utama halogen didatangkan dengan ciri pengaktifan automatik bersama fungsi manual ‘Leaving Home’ dan ‘Coming Home’, manakala cermin sisi dengan lampu membantu pemandu di tempat gelap.
Sedan ini juga dilengkapi Kawalan Jarak Parkir (PDC) di hadapan dan belakang, dan cermin sisi yang boleh dilaraskan secara elektrik bagi memudahkan pemandu memarkir kenderaan.
SEDIKIT PERUBAHAN
Ruang kabin memiliki elemen estetika dan ergonomik dengan kemasan dekoratif ‘Black Pyramids’ pada papan pemuka dan panel pintu. Ia juga hadir dengan stereng multifungsi, tuil gear dan pemegang brek tangan kulit.
Jika mahukan keselesaan, ketinggian tempat duduk fabrik ‘Sienna’ hadapan boleh dilaraskan mengikut kesesuaian dan tempat duduk belakang pula boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40. Ruang simpanan barang seluas 510L dengan fungsi penyejukan pasti membuatkan anda tersenyum ketika membeli belah.
Selain itu, antara ciri lain disematkan adalah perehat tangan hadapan dan belakang boleh laras, sistem penyaman udara automatik ‘Climatronic’ dengan kawalan suhu zon duaan dan ventilator untuk penumpang belakang, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan jelajah (auto cruise) dan empat tingkap kuasa automatik.
Namun, ada sedikit perubahan dalaman berbanding model CBU. Jetta CKD dilengkapi unit radio baharu RCD 320 bagi menggantikan sistem multimedia RCD 310. Dipadankan enam pembesar suara, varian ini hadir bersama sambungan Bluetooth, slot kad memori SD, USB, auksiliari dan iPod. selain menampilkan tiga butang kawalan penyaman udara berbanding dua lagi model CBU.
ENJIN KEKAL
Sama seperti versi CBU, Jetta CKD dijana enjin petrol suntikan terus bersama sistem pengecas berkembar TSI bersesaran 1.4L. Hasil padanan kotak gear anjakan terus 7-kelajuan, Jetta mampu menghamburkan kuasa 158hp dan tork 240Nm (1,500-4,500rpm), menjadikan sedan ini antara kenderaan paling berkuasa dalam kelas dengan kelajuan maksimum 221kmj, pecutan statik hingga 100kmj hanya mengambil masa sekitar 8.3 saat.
Dari aspek kecekapan bahan api, Jetta mencatatkan rekod penggunaan 6L per 100km yang membolehkan pemandu mencapai jarak sejauh 16.7km bagi setiap liter dengan standard emisi Euro 5. Aspek keselamatan pula dilengkapi dua beg udara hadapan, dua beg udara sisi, beg udara curtain untuk penumpang hadapan dan belakang serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Bantuan Brek (BA) dan ISOFIX.
Hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, pengguna diberi empat pilihan menarik. Putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black).
SPESIFIKASI
ENJIN Petrol Suntikan Terus dengan Sistem Pengecas Berkembar TSI bersesaran 1.4L
TRANSMISI Automatik 7-kelajuan Anjakan Terus
KUASA MAKSIMUM 158hp@5,800rpm
TORK MAKSIMUM 240Nm@1,500-4,500pm
CIRI ABS, ESC, BA, ISOFIX, radio baharu RCD 320 dan 3 butang kawalan penghawa dingin
HARGA RM130,888 (tidak termasuk insurans)
Leave a Reply