PENGASAS, pemilik dan bekas Presiden Aprillia, Ivano Beggio meninggal dunia pada usia 73 tahun, 13 Mac lalu akibat penyakit yang sekian lama dideritainya dengan dihadiri ramai tokoh ternama industri motosikal Itali, termasuk bekas juara dunia GP, Max Biaggi dan pemilik Piaggio, Roberto Collaninno untuk memberikan penghormatan terakhir.
Beggio mewarisi firma yang berpangkalan di Noale itu daripada bapanya pada 1968 dengan dibantu jumlah pekerja yang tidak ramai. Namun di bawah kepimpinannya, Aprilia berkembang dengan pesat. Pada 1990, jentera lumba Aprilia beberapa kali menjadi juara dalam Kejuaraan Dunia GP yang ditunggangi ramai pelumba legenda seperti Biaggi, Loris Capirossi dan Valentino Rossi.
Menyusuri peredaran zaman, Aprillia kini beralih kepada superbike enjin V-Twin dan kejuaraan MotoGP dengan kemampuan menyaingi gergasi pengeluar motosikal lain seperti Ducati dan Honda. Selain itu, Aprillia turut menguasai jenama motosikal terkenal seperti Laverda dan Moto Guzzi serta merancang menjadi pengeluar jentera dua roda terbesar Eropah.
Bagaimanapun, empayar dimiliki Beggio pernah bergelut masalah kewangan pada 2003 dan 2004 hingga menyebabkan gergasi itu terpaksa dijual kepada Piaggio, tetapi Beggio masih kekal sebagai Presiden Kehormat Aprillia hingga 2006.
Legenda GP dari Itali, Biaggi berkata, Beggio ialah antara individu yang banyak memberikan pengaruh dalam kariernya sebagai pelumba.
"Beliau juga bapa dalam dunia lumba bagi saya. Beliau berikan kepercayaan dan jentera kompetitif ketika dan selepas saya menjuarai Kejuaraan Eropah, termasuk Aprilia," katanya.
Pemilik Piaggio, Collaninno pula berkata, Beggio berjaya menggabungkan skil dan keberanian seorang usahawan dengan kreativiti dan keghairahan tulen untuk industri motosikal.
"Beliau berpandangan jauh pada zamannya, dan kombinasi luar biasa semua faktor itu membolehkan beliau mencipta, secara praktikalnya daripada tiada apa-apa. Ini salah satu kisah menakjubkan dalam industri motosikal Itali, iaitu menjadikan mimpi menjadi kenyataan," kata Collaninno lagi.
SUMBER: MCN
Leave a Reply