KAWASAKI Motors (Malaysia) Sdn Bhd seperti biasa memuaskan kehendak peminat motosikal tempatan dengan membawa masuk barisan model terbaharu yang ditayangkan pada Pameran Motosikal Milan (EICMA), Itali penghujung tahun lalu ke pasaran Malaysia seawal suku pertama tahun ini.
BACA >>> 12 Fakta Pantas Tentang Kawasaki Z900RS (2018)
Selain Ninja 250, turut menjadi perhatian sudah tentu Z900RS yang menawarkan gaya retro ilham daripada naked bike legenda, Kawasaki Z1 yang baru saja dilancarkan penghujung bulan lalu. Ramai sedia maklum, jentera retro moden itu dibina berasaskan streetfighter popular, Kawasaki Z900. Selain gaya, mungkin anda tertanya-tanya apakah perbezaan lain? Ikuti perbandingan di bawah:
1. ESTETIKA
Mengetepikan perbezaan rekaan yang jelas ketara, perbezaan pertama boleh dilihat apabila duduk atas pelana ialah dari segi rekaan panel instrumen.
Kedua-dua Z900 dan Z900RS menggunakan kombinasi paparan analog dan digital. Bezanya, Z900RS lebih menumpukan kepada analog dengan menggunakan jarum fizikal pada tolok spidometer (kmj) dan takometer (RPM). Bagi penunggang veteran atau senior yang menjadi golongan sasaran pembeli Z900RS, gaya begitu lebih mesra retro.
Menyingkap bahagian roda pula, selain rekabentuk rim berbeza, apa yang menarik perhatian ialah Z900RS dilengkapi kaliper brek radial dengan logo Kawasaki. Ini berbeza berbanding Z900 yang masih menggunakan kaliper brek biasa daripada Nissin. Sama ada kaliper brek radial ini mempengaruhi kualiti tunggangan, kami akan cuba dalam sesi tunggang uji nanti.
Selain rekaan berbeza, ekzos Z900RS memiliki bunyi deruman berbeza, terutama ketika melahu (idle) dengan tona bass yang lebih padat.
https://www.youtube.com/watch?v=4_KDUjxp5HM
2. ERGONOMIK
Sebagai jentera streetfighter, Z900 mempunyai ergonomik lebih agresif ke depan. Sebaliknya, ergonomik Z900RS lebih menegak dan boleh dilihat pada posisi bar hendal yang tinggi. Kedudukan peg kaki pula nampak seakan sama bagi kedua-dua jentera ini.
3. ENJIN
Walaupun dilengkapi enjin 4-silinder 948cc penyejukan cecair yang sama, selain talaan kuasa, perbezaan ketara lain yang dapat dilihat ialah rekaan enjin Z900 dan Z900RS. Z900RS menampilkan rekaan penutup enjin yang sekali imbas kelihatan seperti enjin motorsikal klasik, terutama dengan adanya elemen garisan pada blok enjin yang kelihatan seperti sirip enjin berpenyejukan udara.
4. FREM
Struktur kerangka Z900 dan Z900RS daripada frem trelis dan perbezaan yang dapat dikesan dari sisi ialah rupa frem belakang. Z900RS menggunakan subfrem lebih lurus dan landai.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenali 7 Jenis Frem Motosikal yang Perlu Anda Tahu
Tiada gambar lain yang jelas, tetapi menurut Kawasaki, rekabentuk frem Z900RS yang berbeza bertujuan menempatkan rekaan retro tangki motosikal itu. Jadi, jika berminat mahu mengubah suai Z900 sedia ada dengan komponen Z900RS, anda tidak boleh melakukannya semudah tanggal dan pasang atau 'plug and play' sahaja.
5. HARGA
Ada sebab kenapa kami katakan kemungkinan ada pembeli yang berminat mengubah suai Z900 sedia ada. Sebabnya, harga. Jika dinilai seimbas pandang sahaja, jangan tidak percaya jZ900RS ditawarkan kira-kira RM18,000 lebih mahal berbanding Z900 biasa.
Ditawarkan pada harga bermula RM67,900 tanpa cukai jalan dan insurans, nilai itu jauh berbeza dengan Z900 yang pada masa ini ditawarkan kira-kira RM50,000 sahaja. Perbezaan sebanyak itu cukup untuk hadiahkan jentera 250cc kepada isteri atau anak di rumah dan mungkin juga lebih daripada cukup untuk melakukan modifikasi z900 sedia ada kepada versi retro.
BACA >>> Kawasaki Z900RS Akhirnya Tiba di Malaysia - Harga Bermula RM67,900
Bagaimanapun, jika dilihat kembali, Z900RS menawarkan ciri dan aksesori lebih premium berbanding Z900 seperti kaliper brek radial. Tidak mustahil juga Z900RS diberikan ekzos lebih berkualiti jika menilai gambar didedahkan, sekali gus mewajarkan sebab kenapa perbezaan harga kedua-dua model itu begitu ketara.
Berbaloi atau tidak, terpulang kepada cita rasa bakal pembeli. Apa kata anda?
Mood hassan says
Kalau ikut Cc yang sama memang tak berbaloy