BEBERAPA lakaran rasmi model Volkswagen I.D. Vizzion Concept disiarkan menjelang debut rasmi model konsep itu pada Pameran Motor Geneva 2018 minggu depan.
Kenderaan itu akan menjadi model konsep keempat dalam barisan I.D. yang didedahkan sepanjang 18 bulan lalu, menyusuli I.D. Hatchback, I.D. Crozz SUV, dan I.D. Buzz. Pelan pengeluaran tidak diketahui tetapi Vizzion bakal mengikuti jejak langkah tiga model konsep lain sebagai berpotensi menggantikan model elektrik, Phaeton
I.D. Vizzion berukuran 5,110 mm panjang, sama saiz seperti Mercedes-Benz S-Class. Berbanding model Mercedes itu, rekaan dalaman kereta konsep tersebut lebih ramping dan mirip seakan Lucid Air. Rupa kabin juga nampak lebih menarik perhatian berbanding luaran.
BACA >>> Lucid Air - Kereta Elektrik Ini Lebih Pantas daripada Mana-Mana Ferrari, Lamborghini
Apa yang dapat dilihat, tiada kawalan tradisional, malah tiada langsung tombol gear kelihatan. I.D. Vizzion ialah konsep I.D. pertama tidak disediakan roda stereng dan pedal bagi menepati ciri kereta pandu sendiri Tahap 5. Selain empat kerusi sebagai standard, penampilan ruang dalaman sangat minimalis tanpa kehadiran sistem infotainment pada papan pemuka seperti ditunjukkan lakaran.
I.D. Vizzion dijana dua motor elektrik berkuasa 297hp yang dipadukan pek bateri litium-ion 111kWh. Cas penuh mampu membawa kereta ini sejauh 664km dalam pemanduan ideal, dan turut dilengkapkan brek regeneratif. Perincian lengkap akan didedahkan beberapa hari lagi di Geneva. Harap bersabar.
Leave a Reply