BARU semalam Dorna Sports selaku penganjur Kejuaraan MotoGP buat julung kali memperkenalkan Enel FIM Kejuaraan Piala Dunia MotoE (FIM Enel MotoE World Cup), iaitu kelas perlumbaan motosikal elektrik (e-bike) untuk saingan MotoGP 2019 - tahun depan.
Perlumbaan satu siri atau one-make race tajaan konglomerat multinasional dalam industri elektrik dan gas Itali, Enel, itu menggunakan jentera lumba Energica EvoGP, berasask model Energica Ego, sekali gus mengetepikan Sarolea dan Lightning yang diuji Loris Capirossi tahun lalu.
BACA >>> MotoGP Bakal Perkenal Kategori Baharu - Superbike EV Menjelang 2019?
Tidak banyak perubahan dibuat dari segi kuasa. EvoGP masih mengekalkan motor elektrik AC magnet kekal penyejukan minyak berkuasa 147hp daripada 142hp, manakala kelajuan maksimum mencapai 250kmj, meningkat 10kmj berbanding model asal. Jentera lumba itu turut dipadankan sepasang rim aluminium dan tayar Michelin khas spesifikasi perlumbaan.
SPESIFIKASI DITALA
Walaupun cuma berkuasa 147hp dengan kelajuan maksimum 250kmj, jangan sesekali merendahkan kebolehan jentera EV itu. Anda pasti terpegun apabila mengetahui tork maksimum motosikal EV itu adalah setinggi 200Nm yang dapat dicapai pada rev 5,000rpm. Ini membolehkan jentera lumba tersebut mencapai kelajuan 100kmj dari kedudukan pegun sepantas 2-3 saat!
Masih tidak diketahui sama ada terdapat penambahbaikan kapasiti bateri dan jarak tunggangan. Menurut Dorna, stesen pengecas yang dibekalkan Enel secara rasmi mampu mengecas penuh pek bateri EvoGP dalam masa 30 minit. Lebih pantas berbanding model Ego asal yang perlu dicas penuh kira-kira 3 jam setengah melalui soket rumah.
DISERTAI PASUKAN MOTOGP
Peraturan perlumbaan kelas MotoE sama juga seperti kelas lain, termasuk jadual saingan, iaitu latihan pada Jumaat, pusingan kelayakan (Sabtu) dan perlumbaan sebenar (Ahad). Apa yang berbeza, jarak trek MotoE lebih pendek, iaitu 10 lap saja (kelas lain lebih kurang 20 lap). Ini membolehkan setiap pasukan menumpukan kepada saingan catatan masa terpantas berbanding memikirkan strategi memanjangkan jangka hayat bateri.
Kedudukan grid melibatkan 18 entri dengan 2 jentera bagi setiap 7 pasukan persendirian dalam kelas MotoGP (Tech3, Pramac, Gresini, LCR, Marc VDS, Avintia dan Angel Nieto). Baki 4 pasukan lagi dibuka kepada mana-mana pasukan Moto2 dan Moto3 yang berminat. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada perlumbaan itu akan disertai pelumba daripada pasukan sedia ada dari kelas lain, ataupun mengetengahkan muka baru.
Leave a Reply