ARTIKEL spyshot ini mungkin sudah basi. Macam ini, sedang asyik mengemas kini fail dalam komputer, terjumpa pula si hensem GSX-R1000. Barulah teringat, gambar motor Suzuki ini memang tidak pernah disiarkan kepada umum. Semasa gambar dalam genggaman, maklumat tentang kedatangan GSX-R1000 (2017) masih dalam risikan. Akhirnya jadi pekasam sebab terlupa, sama macam nama Suzuki di Malaysia. Hidup segan mati tak mahu.
Ke manakah perginya Suzuki Assemblers Malaysia (SAM)? Tiga tahun lalu jenama itu cukup agresif memperkenalkan motosikal berkuasa tinggi ke pasaran tempatan dengan memperkenalkan 4 model big bikes: Hayabusa 1300, GSX1250FA, GSX-R1000 ABS dan V-STROM 1000 ABS.
BACA >>> 10 Motosikal Legenda Suzuki di Malaysia dalam Kenangan
Bagaimanapun, tahun lalu Suzuki tiba-tiba jadi semakin lemau dengan hanya memperkenalkan satu produk, iaitu skuter maxi Burgman 400. Sayang sekali sebab Suzuki adalah antara jenama motosikal terbaik di pasaran yang terkenal dengan ketahanan produk dan juga menjadi perintis pasaran skuter di Malaysia.
Malah, FX125 juga antara model kapcai terbaik di Malaysia. Motor itu pun memang masih elok di rumah sampai sekarang. Cuma spare parts susah nak dapat. Maklumlah motor kategori rare. Motor itu jugalah yang dibawa ke sana ke mari sejak pandai menunggang motor klac mati. Nostalgik bro.
SUZUKI GSX-R1000 JALANI UJIAN VTA
Sekitar Februari 2017, kami ada terima foto spyshot Suzuki GSX-R1000. Jika merujuk kertas ditampal pada sportbike tersebut, memang sahihlah itu model 2017. Tidak diketahui apakah motosikal tersebut sedang menjalani ujian Pengesahan Jenis Kenderaan (VTA) untuk dipasarkan ke Malaysia? Ataupun hanya dibawa masuk untuk kegunaan ujian enduran atau dijadikan kenderaan khas SAM?
Ada beberapa portal automotif mendakwa model itu bakal dilancarkan hujung tahun lalu. Tetapi sekarang sudah masuk 2018, jangankan badan, bayang pun tidak nampak.
BACA >>> Motosikal Terbaik Indonesia 2017 - Suzuki GSX R150 Pecah Dominasi Honda, Yamaha
Barisan GSX-R sudah hampir tiga dekad bernyawa dan lebih sejuta unit terjual. Dalam tempoh 11 tahun, kehadiran GSX-R1000 boleh dianggap legenda dalam segmen 1.0 liter. Sumber menyatakan GSX-R1000 (2017) menerima pembaharuan terkini yang membolehkan model itu siap berentap dengan Kawasaki Ninja ZX-10R, Honda CBR1000RR Fireblade, Yamaha YZF R1, BMW S1000RR dan Ducati Panigale 959.
Tetapi, jangan ditanya bilakah akan masuk Malaysia! Memang mengundang kemarahan sesiapa saja peminat Suzuki yang sudah cukup duit. Simpan sajalah angan-angan itu.
- Aiman Ino
Sekarang kita sedapkan hati dengan baca info di bawah:
FAKTA GSX-R1000:
- Hadir dengan rekabentuk sporty dan lebih ramping. Fairing depan 13mm lebih ramping, dan lampu utama LED masih bercirikan lampu tunggal dengan saiz lebih kecil.
- Lubang udara, dikenali sebagai Suzuki Ram-Air Direct (SRAD), dipasang di kiri dan kanan lampu depan.
- Hendal jenis underyoke dipadankan tangki minyak rendah dan panjang ke belakang. Ketinggian pelana 825mm.
- Menggunakan frem baru twin spar aluminium, mengurangkan 10 peratus berat. Profil badan lebih rendah 20mm, manakala bahagian frem lebih lebar 60mm bagi mengurangkan getaran ketika enjin dihidupkan.
- Suspensi depan menggunakan fork terbalik (USD) 43mm (Show Big Piston) boleh laras, manakala suspensi belakang jenis monoshock Showa.
- Bahagian brek menggunakan dwi cakera 320mm (+10mm) dan dilengkapi Brembo T-Drive. Brek belakang pula dipadankan cakera tunggal 220mm. Tidak ketinggalan ciri Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
- Enjin 999cc 4-silinder, DOHC berkuasa 200hp (13,200rpm) dan tork 118Nm (10,800rpm). Padanan ciri Ride-by-Wire digabungkan dengan transmisi 6-kelajuan klac basah multiplat (SCAS).
CIRI BAHARU GSX-R1000:
- Unit Pengurusan Inersia (IMU) seperti jentera MotoGP - memantau ketepatan traksi, brek dan kemampuan membelok.
- Sistem Kawalan Traksi (TCS) membolehkan penunggang menggunakan 10 tahap tetapan mengikut keperluan.
- Sistem Gerakan Brek terbaharu dengan bantuan IMU untuk mengurangkan risiko tayar terangkat ketika membrek dalam kelajuan tinggi.
- 3 pilihan mod tunggangan menerusi. Semua ciri boleh dioperasi menerusi skrin LCD digital baharu selain turut memaparkan maklumat standard seperti meter kelajuan, odometer, trip meter, takat minyak dan lain-lain.GALERI
Man says
Suzuki assembler ????????