ORANG kaya membayar jutaan ringgit untuk membeli kereta klasik berstatus 'rare' dalam sesi lelongan sudah jadi perkara biasa. Tetapi orang kaya yang sanggup membelanjakan jumlah wang sama untuk sebuah motosikal memang betul-betul 'rare'.
Seorang hartawan baru saja membayar sejumlah AS$929,000 (RM3.59 juta) untuk membeli motosikal Vincent Black Lightning 1951 yang dijual rumah lelongan Bonham di Las Vegas, minggu lalu. Cuma ada 30 unit dihasilkan dan daripada jumlah kecil itu pula, hanya 19 unit yang diketahui masih terselamat. Mungkin inilah alasan kukuh kenapa motosikal klasik itu dilelong begitu mahal hingga mengalahkan status Yamaha RX-Z orimoto di Malaysia.
ILHAM SUPERBIKE
Ilham pembinaan Black Lightning adalah berasaskan jentera legenda Black Shadow, iaitu superbike pertama dunia yang mencipta nama selepas meninggalkan Jaguar XJ120, yakni kereta sport yang pada masa itu mampu memecut sepantas 196kmj, sekali gus dinobatkan sebagai kenderaan beroda paling pantas di planet Bumi.
Black Lightning dibekalkan enjin yang sangat berkuasa (55-70hp) dengan berat 163kg. Salah satu model ini pernah ditunggang pelumba legenda Amerika Syarikat (AS), Rollie Free (gambar atas) untuk mencatatkan rekod kelajuan terpantas atas darat di Bonneville pada 1948. Lebih mengharukan, rekod bersama jentera Black Lightning itu dicapai dengan hanya memakai seluar dalam posisi menunggang secara meniarap. Alasannya, mengurangkan berat dan mendapat kesan aerodinamik tahap the Flash.
Di Malaysia, gaya tunggangan itu dikenali sebagai 'Superman' dan sudah menjadi aksi biasa-biasa di kalangan mat rempit. Malangnya, aksi 'Superman' mat rempit itu tidak mencipta apa-apa rekod pun melainkan membahayakan nyawa sendiri dan menyusahkan negara. Fikir-fikirkan.
DARI AUSTRALIA
Model ini pula adalah milik asal pelumba Isle of Mann dari Australia, Tony McAlpine sebelum dijual kepada Jack Forrest yang kemudian terlibat dalam 2 kemalangan daripada 3 perlumbaan (kini salah satu selekoh di Litar Mount Panorama dinamakan: Forrest Elbow).
Selepas Forrest, Black Lightning itu dimiliki pula Jack Ehret (gambar atas) pada 1952 hingga 1999 dan beliau juga sempat mencipta beberapa rekod dan kejuaraan lagi di negara kanggaru itu. Kini motosikal berkenaan dijual dalam kondisi asal tanpa sebarang pengubahsuaian serta boleh dihidupkan di Melbourne. Rekod perlumbaan terakhir motosikal super mahal itu adalah pada 1993, dilakukan Jack dan anaknya, John Ehret di New South Wales.
BACA >>> Motosikal Batman Dilelong, Harga Batpod Dijangka Cecah Lebih RM400K!
Jadi sepanjang hayat Black Lightning edisi 'Bonhams' itu, cuma ada empat pemilik pernah merasai kehebatan motosikal klasik berkenaan. Menurut kenyataan rumah lelongan itu, harga hampir AS$1 juta adalah paling mahal pernah dibayar untuk lelongan sebuah motosikal.
Leave a Reply