EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) selaku pengedar tunggal dan pemasang kenderaan Nissan di Malaysia bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) melanjutkan Kempen Panggil Balik untuk memaklumkan kepada pelanggan supaya menggantikan modul inflator pada beg udara penumpang depan.
ETCM mengesahkan 98,216 unit kenderaan Nissan terlibat dalam masalah Inflator Beg Udara Penumpang Hadapan Takata seperti berikut:
- Grand Livina CKD (Dis 2015- April 2007) - 83,263 unit
- X-Gear CKD (Dis 2015- April 2007) - 83,263 unit
- Navara CBU dan CKD (Dis 2006 – Dis 2014) - 14,953 unit
Bagaimanapun kempen tersebut tidak melibatkan Nissan NP300 Navara dan model Nissan terbaharu di pasaran. Sebagai makluman, semua kos buruh dan alat ganti untuk kempen panggil balik ini adalah percuma.
BACA >>> 7 Perkara Penting yang Perlu Anda Tahu Tentang Isu Beg Udara Takata
Semua pelanggan yang terlibat akan diberitahu menerusi surat daripada TCEAS dan dinasihat supaya menghubungi cawangan TCEAS terdekat untuk mengatur janji temu.
TCEAS terpilih turut melanjutkan tempoh operasi dan kini dibuka 365 hari bagi memudahkan pelanggan menyenggara kenderaan pada hujung minggu dan cuti umum selain meningkatkan kapasiti aktiviti penukaran.
Pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian bebas tol: 1800-88- 3838 untuk maklumat lanjut ataupun melayari laman web Nissan.com.my (klik pada ruang ‘Owners’ diikuti dengan ‘Recall Campaign’) untuk mengetahui sama ada kenderaan anda terlibat dalam kempen panggil balik ini atau sebaliknya.
Leave a Reply