PELUMBA profesional sering dilihat melakukan pelbagai aksi membelok ekstrem, mencemaskan dan kadangkala mustahil dari pandangan mata mereka yang bergelar amatur. Sudut belokan dan kelajuan pelumba profesional yang mampu mencecah lutut dan siku sering menimbulkan tanda tanya, bagaimanakan mereka boleh melakukannya di setiap litar perlumbaan?
Benarlah jika diteliti dengan logik akal, mereka memiliki bakat, jentera dan perkakasan khas untuk perlumbaan. Namun sebenarnya, ada juga teknik tunggangan khas yang digunakan mereka untuk melakukan manuver belokan itu yang mana penunggang amatur seperti kita boleh jadikan panduan.
Teknik itu dikenali sebagai 'countersteer' atau 'teknik belok balas'.
Hanya dengan teknik countersteer, sudut mirisng rendah ketika membelok dapat dicapai asalkan sesuai dengan kelajuan motosikal. Tanpa kelajuan, teknik countersteer dikhuatiri menyebabkan penunggang tidak hanya mencecah lutut atau siku, tetapi kepalanya sekali! Jangan main-main brader.
Dengar memang macam menakutkan, umpama belajar matematik di sekolah. Namun, ia memberi ketagihan kepada mereka yang agak mahir dengan teknik tersebut. Jadi, jangan praktis lebih-lebih, baca lebih-lebih tidak mengapa!
Memang serius sikit abang hari ini, perut laparrr....
BACA >>> Ikut 4 Tip Ini Jika Mahu Seronok Layan 'Trackday'!
TEORI BELOKAN COUNTERSTEER
Motosikal cenderung untuk menegak ketika sedang melakukan pecutan atau memulas terotel seperti dinyatakan Hukum Newton Pertama. Hukum alam ini lebih terasa jika pecutan itu dilakukan dengan motosikal berkuasa tinggi.
Justeru, sesuai dengan manuver memasuki selekoh secara perlahan dan keluar selekoh dengan pecutan (slow in, fast out), maka teknik countersteer digunakan ketika menyusur keluar selekoh.
Jika brader tidak biasa dengan teknik 'slow in fast out', atau brader memang jenis main terjah saja, maka lupakanlah hasrat mahu mencuba teknik countersteer. Ia memang berbahaya.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah 'Chicken Strips'? Pantang Besar Buat Si Hati Kering!
BAGAIMANAKAH DILAKUKAN?
Apabila mengenal idea dan konsep, tibalah masa untuk belajar dan membiasakan diri menggunakan teknik ini. Countersteering itu seni, seperti juga seni mempertahankan diri. Fitrahnya bahaya, tetapi mampu menyelamatkan pengamalnya.
Countersteer ialah teknik menghalakan hendal motosikal ke arah yang bertentangan arah asal garis belok secara sementara ketika memulas terotel. Ketika melakukan teknik ini di permukaan aspal, sudut menghalakan hendal bukanlah seperti teknik drift kereta. Cukup sekadar tangan rasa sedikit daya tindak balas pada sudut halaan kecil ke arah bertentangan.
Secara mudah, jika brader mahu membelok ke kanan, berikan daya yang lembut dari tangan kanan dengan menolak hendal ke depan seperti hendal membelok ke kiri. Begitu juga sebaliknya. Pastikan daya yang lembut dan berhati-hati kerana keseluruhan motosikal akan merebah dengan cepat ke arah tujuan.
Kestabilan belokan countersteering akan dapat dimahirkan dengan latihan dan pengalaman. Justeru, itulah tujuannya latihan. Pelumba antarabangsa juga rata-rata kalangan mereka sudah mula berlatih ketika muda remaja.
Kepada mereka yang pernah mencuba teknik ini buat kali pertama, respon diperoleh dari motosikal pasti amat mengejutkan. Bukan terkejut kerana nikmat dunia yang ke lima belas ribu (punya banyak nikmat dunia kan?), tetapi terkejut kerana motosikal itu mampu merebah dengan begitu cepat berbanding biasa sampai pucat muka dibuatnya.
Sukalah kami mengingatkan, dan sekali lagi buat peringatan, pastikan sudut halaan bertentangan sekadar daya dan jangan terlebih memaksa, serta pastikan halaju sejajar dengan niat ketika mengambil selekoh.
Jangan membelok secara agresif tetapi kelajuan motosikal pula macam siput. Memang dengar macam membahayakan, tapi percayalah teknik ini berpotensi menyelamatkan mereka yang mahir dan tenang, terutamanya ketika berdepan dengan situasi mencemaskan.
Apappun, dilarang sama sekali lakukan aksi di kawasan awam. Ingat nyawa kita dan orang lain cuma sekali!!
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Pelumba Profesional Julur, Goyang Kaki di Selekoh?
BACA >>> Di Sebalik Seni Litar Lumba: Bukan Sekadar Trek Lurus dan Selekoh, Mesti Emosional!
Jan says
Pergh nkmat 15 ribu tu