MEMILIKI aksesori, komponen atau alat ganti daripada gentian karbon (carbon fibre) sentiasa jadi idaman ramai pemilik kereta. Malah, populariti dikecapi material Superman itu mencetuskan trend baru tentang gaya kemasan pada rupa luaran atau dalaman sesebuah model kereta. Bukan saja material asli, tetapi turut berjangkit kepada kemasan artifisial berupa pelekat, teknik cat dan plastik. Asalkan rupanya seperti gentian karbon.
Gentian karbon adalah material pembuatan struktur seperti logam, tetapi lima kali lebih kuat, ringan dan berpenampilan eksotik. Namun, penggunaan material itu jarang digunakan pada kenderaan penumpang biasa disebabkan kos pengeluaran yang mahal. Kebiasaanya gentian karbon banyak digunakan model-model supercar yang berharga jutaan ringgit atau jentera lumba yang juga nilainya mencecah 7 angka, termasuk dijadikan material pembuatan raket tenis, kayu golf, bilah turbin pesawat dan kereta lumba Formula Satu (F1).
PETROLEUM BUATKAN MAHAL
Gentian karbon dibuat daripada bahan kimia dipanggil akrilonitril, terhasil daripada campuran petroleum, ammonia, oksigen dan pemangkin yang berharga mahal. Bahan berupa minyak mentah (petroleum) dalam proses pembuatan adalah antara sebab kenapa harga gentian karbon begitu mahal. Malah berubah-ubah mengikut turun naik harga minyak sedunia. Bukan harga minyak di stesen minyak saja yang tahu naik dan turun.
BACA >>> Vins Duecinquanta - Superbike 2-Lejang Gentian Karbon Ciptaan Jurutera Ferrari
Cukup dulu penjelasan ringkas mengenai gentian karbon. Ini ada berita teknologi terbaharu tentang material tersebut. Sepasukan saintis di Amerika Syarikat (AS) kini sedang melakukan kajian untuk menghasilkan gentian karbon menerusi proses akrilonitril berasaskan sumber tumbuhan.
TUMBUHAN GANTI MINYAK
Menurut saintis Makmal Tenaga Boleh Diperbaharui Kebangsaan (NREL) AS, kajian terbaru itu dilakukan bagi meminimumkan kos pembuatan gentian karbon selain mengurangkan penjanaan panas lampau dan menghilangkan sisa buangan toksik.
Jadi proses baru dibangunkan untuk menghasilkan sebatian akrilonitril menggunakan tumbuhan, khususnya bahagian yang tidak dimakan seperti tangkai jagung, dan jerami gandum. Bahan itu kemudian dipecahkan menjadi gula sebelum diubah menjadi asid dan digabungkan dengan pemangkin yang lebih murah untuk menghasilkan akrilonitril.
BACA >>> Aksesori Motosikal Inventzo - Nama Semacam Itali, Rupanya 'Made In Indonesia'!
Saintis NREL percaya proses itu, yang menjadikan tumbuhan sebagai bahan utama, dapat ditambah baik dan digunakan dalam industri pembuatan sebagai bahan mentah baharu untuk menghasilkan akrilonitril yang penting dalam pengeluaran gentian karbon lebih murah.
NREL mengatakan akan bekerjasama dengan beberapa pengeluar untuk menghasilkan sejumlah besar akrilonitril yang akan diubah menjadi gentian karbon dan diuji untuk kegunaan kenderaan. Bagaimanapun, kajian mendalam dan terperinci masih diperlukan.
SUMBER: Popular Science
Leave a Reply