VOLVO Car Malaysia (VCM) secara rasmi memperkenalkan XC60 T8 Twin Engine ke pasaran Malaysia. Berikut fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium itu, yang diiktiraf Euro NCAP sebagai SUV besar paling selamat pada 2017:
1. HARGA PREMIUM, 2 VARIAN
Ada dua pilihan varian ditawarkan, T8 (dua trim) dan T5. Semua varian yang dibawa masuk adalah versi import (CBU) sepenuhnya, manakala unit pemasangan tempatan (CKD) dijadualkan diperkenalkan April ini.
- XC60 T8 Twin Engine Inscription- RM333,888
- XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus- RM343,888
- XC60 T5- RM298,888
2. DUA OPSYEN TRIM
Varian XC60 T8 Twin Engine ditawarkan dalam dua opsyen trim: Inscription dan Inscription Plus, merangkumi sistem audio Premium Bowers and Wilkins, dan 15 unit pembesar suara bersama ampilifier Class-D.
3. PLATFORM SPA, 5-BINTANG EURO NCAP
Seperti model Volvo lain, XC60 dibangunkan menggunakan platform Arkitektur Produk Berskala (Scalable Product Architecture - SPA) yang mengekalkan rekabentuk sama seperti abang besar yang lain. Persamaan rekaan luaran dapat dilihat menerusi bentuk badan maskular dan kehalusan kualiti yang ditampilkan.
XC60 turut mencatatkan rating 5-bintang dalam ujian perlanggaran Euro NCAP 2017 dengan skor 98 peratus bagi perlindungan ke atas Penumpang Dewasa dan 95 peratus untuk Bantuan Keselamatan dalam kelas Off-Road Besar (Large Off-Road). Malah XC60 dinobatkan sebagai model paling selamat 2017 dalam kelas Off-Road Besar daripada badan ujian keselamatan dari Eropah itu.
Skor tinggi itu diperoleh menerusi penambahbaikan ciri teknologi keselamatan Volvo yang terdiri daripada sistem sokongan pemandu dan sistem keselamatan aktif, IntelliSafe.
4. PADUAN TURBO, SUPERCAS DAN MOTOR ELEKTRIK
Volvo XC60 dilengkapi paduan enjin T8 Twin pengecas turbo dan supercas petrol dengan motor elektrik yang menghasilkan kuasa 407hp (320hp - enjin + 87hp - motor elektrik) dan tork 640Nm (400Nm - enjin + 240Nm - motor elektrik). XC60 T5 pula dijana enjin pengecas turbo berkuasa 254hp dan tork 350Nm.
Kotak gear menggunakan sistem transmisi automatik 8-kelajuan Geartronic. Pecutan 0-100kmj boleh dibuat sepantas 5.3 saat, manakala catatan penjimatan bahan api ialah 2.1 liter per 100km.
5. CITY SAFETY™, DENGAN MITIGASI LORONG
Sistem IntelliSafe diberikan sebagai ciri standard pada XC60, terdiri daripada sistem keselamatan dalam bandar, City Safety™ menerusi ciri Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS) dan Amaran Perlanggaran Belakang (RCW) dan Mitigasi (cuma menyebut beberapa ciri).
City Safety™ dan BLIS kali ini didatangkan dengan Bantuan Kemudi (Steer Assists) yang membolehkan stereng dikawal automatik apabila situasi memerlukan bagi mengelak sebarang potensi perlanggaran. City Safety™ akan mengesan dan mengelak risiko kemalangan dengan kenderaan lain, termasuk pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan bersaiz besar.
Mitigasi Lorong (Lane Mitigation) pula ialah sistem baru ditawarkan XC60 yang berfungsi membantu pemandu mengelak bertembung kenderaan di laluan sisi menerusi amaran. Jika situasi terdesak, Bantuan Kemudi akan diaktifkan dan haluan kereta akan dipesongkan daripada arah kenderaan yang datang.
Bantuan Pilot (Pilot Assist) Volvo pula berfungsi mengawal stereng, pecutan dan brek sepanjang pemanduan dengan kelajuan hingga 130kmj.
Leave a Reply