TAHUN lalu pengguna di Eropah sedikit kecewa apabila KTM menarik keluar model 690 Enduro R dan 690 SMC dalam barisan produk mereka. Penarikan tersebut khabarnya bagi mengelak persaingan sesama adiknya, Husqvarna 701 Enduro dan 701 Supermoto. Realitinya, model itu tidak dapat memenuhi peraturan emisi Euro4.
Menurut laporan terkini MCN, dua model itu dikesan sedang menjalani ujian enduran, sekali gus memberikan isyarat tentang kemunculan semula jentera tersebut di Eropah. Enjin baharu diperkenalkan KTM 690 Duke pada 2016 (yang turut digunakan Husky 701) juga akan dipakaikan kepada Enduro dan SMC.
ENJIN DIPERTINGKAT
Enjin baharu itu dikemas kini secara major, saiz gerek dibesarkan hingga 3mm dan saiz lejang dikurangkan. Sesaran masih sama, tetapi lebih mudah untuk rev. Bahagian kepala silinder dibentuk semula yang menyumbang kepada pertambahan kuasa 7 peratus kepada 72bhp, manakala tork meningkat 73.8Nm.
Mengambil kira berat jentera yang ringan, nampaknya tersedia kuasa yang banyak dalam pakej kecil. KTM turut melengkapkan jentera itu dengan pengimbang aci (shaft balancer). Enduro dan SMC turut dipadankan pengimbang besar, merangkumi penukar mangkin (catalytic converter) bagi melepasi Euro4.
BACA >>> KTM 790 Duke Lancar di Britain, Harga Saingi Kawasaki Z900! Malaysia Menyusul 2018?
Bahagian badan juga dibentuk semula sepenuhnya. Bahagian fairing Enduro dan SMC kini lebih tirus ke bawah, diubah daripada dua kepada satu kepingan fairing. Ini menjadikan bahagian hujung depan lebih ramping yang membantu posisi duduk lebih rapat di bahagian depan motor untuk pengendalian terbaik.
KEUPAYAAN OFF-ROAD
Pelana juga direka semula supaya lebih selesa, termasuk tangki minyak 12 liter yang masih berkapasiti sama. Suspensi model Enduro juga berbeza, menggunakan fork WP Xplor 48 daripada 500 EXC-F dengan travel 300mm yang membuatkan tunggangan off-road jadi lebih mantap dengan padanan bersama penyerap hentak belakang. Bagaimanapun, suspensi SMC tidak berubah.
Persamaan lain, kedua-dua model dipasangkan lampu depan LED. Dua model itu dijangka diperkenalkan sempenan Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2018 di Itali, November nanti bersama model 790 Adventure. Semua barisan model baharu itu dijadualkan dijual di pasaran dunia bermula 2019.
Leave a Reply