KEHADIRAN Ducati Panigale V4 pada Pameran Motosikal Itali (EICMA) 2017 nyata menarik perhatian umum. Malah, debut jentera itu sendiri menjadi tonggak sejarah Ducati apabila pengeluar motosikal Itali itu memutuskan meninggalkan enjin legenda V-Twin untuk digantikan enjin V4 90°.
Bukan itu yang ingin diperkatakan, model Panigale V4 itu khabarnya bakal menjengah pasaran tempatan tidak lama lagi. Isyarat kedatangan jentera itu boleh dilihat menerusi laman sosial Ducati Penang dengan tempahan mula dibuka bermula hari ini.
TIBA PERTENGAHAN TAHUN?
Berdasarkan status dimuat naik, tiga model bakal menjengah pasaran Malaysia, iaitu Panigale V4, Panigale V4 S dan Panigale V4 Speciale. Anggaran harga pula ialah model Panigale V4 (RM133,900), Panigale V4 S (RM173,900) dan Panigale V4 Speciale (RM359,900).
Persoalannya, bilakah model tersebut akan muncul?. Setakat ini, Naza Italia, menurut sumber risikan, masih belum menghantar permohonan Pengesahan Jenis Kenderaan (VTA) kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) - Bahagian Automotif.
Ini bermakna model itu dijangka tidak akan tiba dalam tempoh suku pertama 2018, sebaliknya diramalkan berlabuh pertengahan tahun ini.
BACA >>> 12 Fakta Tentang Ducati Panigale V4 yang Perlu Anda Tahu
Sebagai makluman, Ducati bakal mengembangkan enjin baru dengan konfigurasi V4 yang diambil daripada Ducati Desmosedici MotoGP. Enjin bersesaran 1103cc itu berupaya menghasilkan kuasa 214hp dan tork 124Nm. Model lebih berprestasi, Speciale pula mampu meledakkan kuasa setinggi 226hp. Berat jentera liar itu hanya seberat 200kg.
LEBIH PANTAS DI SELEKOH
Penambahbaikan jentera baharu itu, yang kini jauh lebih pantas di selekoh berbanding model terdahulu, dicapai menerusi penambahan ciri aci sesendol putar lawan (counter-rotating camshaft) yang mampu membalikkan kesan giroskopik daripada roda motor. Ini termasuk mengurangkan kesan wheelie dan stoppie ketika sedang memecut atau nyahpecut.
Disebut-sebut sebagai pengganti Panigale 1299 yang sudah bersara, Ducati difahamkan akan menjual dahulu Panigale V4 dan Panigale V4 S, Januari ini, manakala versi Speciale dijangka menyusul beberapa bulan kemudian.
BACA >>> Ducati 1299 Panigale R Final Edition - Tribut Enjin Silinder Kembar Legenda!
Menyentuh ciri keselamatan, Ducati Panigale V4 dilengkapi Unit Unjuran Inersia (IMU) 6-Paksi, merangkumi pakej elektronik lain seperti Cornering Bosch EVO, Kawalan Traksi Ducati (DTC) EVO, Kawalan Gelincir Ducati (DSC), Kawalan Wheelie Ducati (DWC) EVO, Ducati Power Launch, Ducati Quick Shift atas/bawah EVO dan Kawalan Brek Enjin (EBC) EVO.
Panigale V4 trut didatangkan dengan tiga mod tunggangan, Race, Street, dan Sport. Bahagian brek pula mempertaruhkan kaliper Brembo Stylema Monoblock 330mm di depan dan 245mm (belakang). Lampu utama tampil dengan ciri LED, berserta lampu suang (DRL) yang juga LED DRL untuk lagak elegan.
Varian tertinggi, V4 Speciale cuma ditawarkan 1,500 unit, dan didatangkan bersama ekzos titanium, corak grafik khas dan barangan gentian karbon.
Leave a Reply