HONDA Insight generasi ketiga bakal debut kepada umum sempena Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS) di Detroit, Januari tahun hadapan. Kini beberapa imej prototaip model itu didedahkan sebagai tatapan umum.
Imej prototaip yang didedahkan itu jelas menunjukkan perubahan ketara dilakukan Honda ke atas Insight yang kali ini tampil dengan rupa sedan rakish. Sekali pandang, rekabentuk Insight tampak seakan rekaan Accord generasi ke-10, terutama bahagian depan, dan pada masa sama cuba mengekalkan profil hatchback seperti generasi terdahulu. Lakaran kabin pula memaparkan rekaan papan pemuka yang sama seperti model Civic.
SISTEM HIBRID DUA-MOTOR
Menurut sumber, Insight baharu ini akan menggunakan sistem hibrid dua-motor terkini Honda, juga dikenali sebagai Pacuan Multi Mod Pintar atau Drive Multi-Mode Intelligent (i-MMD). Bagaimanapun, spesifikasi sebenar trenpacu i-MMD masih tidak didedahkan. Namun, sistem hibrid serba baharu itu pernah dipamerkan menerusi prototaip CR-V Hybrid pada Pameran Motor Frankfurt 2017, September lalu.
Walaupun Insight baharu kelak bukanlah model global, Honda tetap menunjukkan komitmen dalam membangunkan model-model kenderaan elektrik (EV) menerusi konsep Urban EV dan Sports EV yang jelas membayangkan hala tuju pengeluar autmotif dari Jepun itu pada masa hadapan. Honda juga menyasarkan dua pertiga daripada jualan global menjelang 2030 nanti ialah model elektrik.
Apakah Insight berada dalam radar model Honda yang akan dijual di Malaysia?
GALERI
SUMBER: AutoExpress
Leave a Reply