SAYA akui agak teruja menanti ketibaan model ini sehinggalah dapat bertentang mata, apatah lagi menyentuhya. Bagaikan orang baru mula bercinta dan pertama kali memegang tangannya.
Keterujaan itu makin menggila apabila berpeluang menemani selama tiga hari. Itulah perasaan saya sebaik berjumpa dengan Lexus NX.
Sebelum mengulas lebih lanjut pengalaman sepanjang mengemudi Lexus NX 200t F SPORT ini, apa kata saya ceritakan serba sedikit perihalnya.
Lexus NX mula di bangunkan pada 2009 dengan melibatkan lebih 2,000 jurutera. Bagi memastikan ia benar-benar bersedia sebelum ia dilancarkan pada pertengahan 2014 lalu di pasaran global, NX sudah menjalani ujian sejauh 1juta kilometer (KM).
Saya berkesempatan bertanya kepada Ketua Jurutera Lexus NX ketika majlis pelancaran, Takeaki Kato, "mengapa ambil masa lima tahun untuk menyiapkan model ini".
Takeaki menjelaskan pihaknya perlu memastikan Lexus NX menjadi sebuah model Crossover kompak mewah berinovasi tinggi yang membawa elemen sporty mewah selain memaparkan pelbagai ciri baharu dan juga menjadi pertama dalam pasaran automotif serta Lexus sendiri.
Bagi pasaran tempatan, terdapat lima varian diperkenalkan.
HARGA (atas jalan tanpa insurans insurans):
- NX 200t - RM287,199
- NX 200t Premium - RM317,448
- NX 200t Luxury - RM337,632
- NX 200t F SPORT - RM362,432
- NX 300 Hybrid - RM372,110
PESAING:
- Audi Q3
- BMW X3
- Range Rover Evoque
Disini saya nyatakan empat sebab mengapa 'jatuh cinta' terhadap kekasih dari negara matahari terbit ini.
1.) REKABENTUK MENGIURKAN
Lihat saja keseluruhan tubuh badannya sudah mampu membuatkan anda mengiur kegeraman. Jeriji spindle yang ikonik dan lampu depan berbentuk tiga L jenis LED mampu membuatkan sesiapa saja terpukau melihatnya. Keseluruhan rekabentuk melahirkan gambaran dinamik yang agresif tanpa mengenepikan kemewahan.
Lampu depan juga unik dengan menggunakan enam kecerahan tinggi baharu LED untuk menawarkan pencahayaan optimum dan tiga lampu pada bentuk L untuk sinaran rendah.
Lebih menarik, sejumlah 78 LED (pada kedua-dua belah) digunakan bagi Lampu Siang (Daytime Running Lamps) dan ini mencetuskan kilauan umpama kristal menerusi lensa dalaman yang tebal.
2.) SERONOK DIPANDU
Hasil janaan enjin 2.0L Twin-Scroll Turbocharged bersama bantuan kotak gear automatik 6-kelajuan. memecut pada kelajuan 180kmj tidak menjadi penghalang malah mudah dikecapi.
Dengan hamburan kuasa sebanyak 235hp pada 4,800 hingga 6,500 rpm dan tork puncak 350Nm (1,650-4,000rpm), pecutan dari sifar ke 100kmj hanya mengambil masa sepantas 7.1 saat.
Semasa beraksi di lebuh raya, kelajuan 180kmj bagaikan tidak terasa. Malahan ia masih mampu memecut sehingga 220kmj tanpa halangan. Cuma satu yang anda perlu ingat, jangan sampai 'surat cinta' melayang membelengu hidup anda sudah.
3.) CIRI TERMAJU
Memasuki ruang dalaman, kemewahan jenama Lexus nyata terserlah dan penuh dengan pelbagai teknologi terkini. Ciri pertama yang berjaya mencuri perhatian saya adalah kehadiran Panoramic View Mirror dengan memberikan gambaran 360 darjah, memudahkan pemandu terutamanya hendak melalui lalui sempit atau ketika parkir kereta.
Papan pemuka pula tampak ringkas dan padat selain dipadankan dengan sistem audio bersaiz 7-inci yang didatangkan bersama ciri Remote Touch Controller.
Menyentuh aspek audio, semua penumpang dihiburkan oleh sistem audio Mark Levinson bersama 14 unit pembesar suara. Untuk keselesaan pula, kerusi belakang boleh ubah dan dilipat secara elektronik yang juga pertama di Lexus. Hebat bukan?
Lebih menarik, Kesemua varian NX turut hadir dengan pengecas telefon tanpa wayar yang boleh di dapati pada bahagian tengah konsol gear. Namun, hanya sesetengah jenama telefon pintar saja boleh digunakan seperti LG. Bagi model lain, anda perlu beli 'casing' khas untuk menikmati ciri ini.
4.) KESELAMATAN
Aspek keselamatan, Lexus NX serba baharu mendapaT pengiktirafan 5-bintang dalam ujian rempuhan EURO NCAP. Antara ciri keselamatan pada NX adalah lapan beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Kawalan Traksi (TRC), kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Daki (HSA), Blid Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).
Sejujurnya saya berasa teruja dan seronok dapat bersama NX terutamanya ia sering mencuri tumpuan orang ramai. Kedapan angin pula agak senyap dan enjin bertindak responsif seperti mana dimahukan oleh si pemandu. Agak susah sebenarnya untuk mencari kelemahan SUV premium ini. Boleh dikatakan hampir 'Perfect'.
Menyentuh aspek harga, biarpun pengguna mempunyai pilihan yang lain, saya dapat merasakan Lexus NX ini mempunyai identitinya tersendiri. Jika saya kaya satu hari nanti, sudah pasti akan membelinya tanpa berfikir panjang. Itupun kalau saya KAYA!!!
Leave a Reply