SALIN rekabentuk jentera streetfighter berkuasa tinggi yang anda minat, dan cuba padankan dengan enjin lebih jinak dan menepati had tunggangan majoriti pemilik lesen motosikal kelas B2. Apa yang dapat anda lakarkan?
Tidak kira anda berbakat melukis atau tidak, motosikal itu pasti sedikit sebanyak menyerupai KTM 250 Duke versi naik taraf 2017 (termasuk abangnya, sang 'Corner Rocket' - KTM 390 Duke) yang diberikan nafas baru musim ini. Perubahan pertama pastinya penampilan rekabentuk streetfighter terkini yang diilhamkan daripada model 'The Beast', KTM 1290 Super Duke R bagi menggantikan rekaan gaya naked-motard terdahulu.
BACA >>> #TunggangUji: Reviu KTM 250 Duke dan 390 Duke (2017), dari USJ ke Bukit Tinggi
Apakah 250 Duke (2017) cukup menarik perhatian pembeli dalam segmen pasaran 250cc yang kita sudah sedia maklum cukup sengit persaingannya? Selepas sekali lagi diberikan peluang beberapa hari melenjan 250 Duke (2017), berikut analisis lengkap tunggang uji saya.
*Unit tunggang uji didatangkan dengan sebahagian aksesori PowerParts seperti pelindung tangan seperti dalam gambar di atas.
REKABENTUK DAN GAYA
250 Duke (2017) bolehlah dianggap sebagai versi turun taraf daripada 390 Duke (2017). Sekali imbas dua jentera KTM itu kelihatan hampir sama, tetapi perbezaan utama selain rekaan pelekat grafik ialah unit lampu utama dan kluster meter.
Tanpa imej lampu utama terpisah dengan ciri LED seperti abang-abangnya, lampu utama 250 Duke adalah jenis halogen tunggal 55w yang cukup terang ketika menunggang malam. Model ini turut dipadankan sepasang lampu siang (DRL) berbentuk boomerang putih atau tanduk terbalik, terpulang kepada imaginasi anda.
Konsol meter masih menggunakan unit terdahulu. Walaupun tidak secanggih paparan LCD TFT terbaharu pada 390 Duke, tetapi masih antara terbaik dalam segmen 250cc. Selain mudah dilihat walaupun di bawah sinaran matahari terik dan memuatkan ciri asas seperti indikator kelajuan dan perbatuan, konsol meter 250 Duke juga dilengkapi paparan penggunaan bahan api secara purata dan semasa, jarak tempoh senggara dan indikator posisi gear.
Selebihnya, kedua-dua Duke 250 dan 390 menampilkan rekabentuk baharu yang hampir sama. Perubahan 250 Duke (2017) menerusi penggunaan tangki logam lebih besar (13.4 liter) dan frem trellis dengan tambahan subfrem bolt-on untuk agihan berat lebih baik. Menariknya, KTM jelas ingin menonjolkan perubahan frem menerusi pemilihan tona warna berbeza pada frem dan subfrem, termasuk rekaan semula ekor yang menonjolkan lagi penampilan subfrem.
BACA >>> KTM 250 Duke dan 390 Duke (2017) Kini di Malaysia - Harga Bermula RM21,730 - RM28,800
TUNGGANGAN MENEGAK, MASIH SELESA
Terdapat sedikit perubahan yang agak sukar dikesan seperti suspensi depan dan tahap ergonomik. Walaupun masih menggunakan fork terbalik 43mm daripada WP tanpa laras, menurut wakil KTM, model itu kini menggunakan rekaan katrij terbuka yang lebih lasak dan tidak perlu kerap disenggara seperti rekaan katrij tertutup. Suspensi belakang pula ditugaskan kepada unit absorber tunggal atau monoshock WP prabeban boleh laras.
Dari segi ergonomik, geometri tunggangan model baharu kali ini lebih menegak. Bar hendal mudah dicapai tanpa perlu membongkok, manakala kedudukan alas pemijak ditarik sedikit ke belakang. Jika mengambil kira rekabentuk semula tangki dan pelana lebar di belakang, termasuk penggunaan material lebih empuk, model Duke ini cukup selesa ditunggang untuk perjalanan jauh dan lama sama ada buat penunggang atau pembonceng.
Berita kurang enak pula, pelana 250 Duke baharu ini 30mm lebih tinggi berbanding versi terdahulu. Jika saya yang berketinggian 1.78m pun sudah rasa payah menjejakkan kedua-dua tapak kaki, apatah lagi penunggang lebih rendah. 250 Duke (2017) mungkin lebih mencabar untuk ditunggang dalam bandar, terutama ketika berhenti di lampu isyarat.
KUASA DAN PRESTASI
250 Duke (2017) mampu menjana kuasa setinggi 30hp pada 9,000rpm dan tork 24Nm (7,500rpm) daripada nadi silinder tunggal 249cc yang dipadankan kotak gear 6-kelajuan. Atas kertas, kuasa itu mampu menandingi mana-mana jentera silinder tunggal 250cc di pasaran. Namun, ketika ditunggang uji, barulah dapat dirasakan karakter sebenar motosikal ini.
Pada rev awal di bawah 4,000rpm, enjin silinder tunggal 250 Duke terasa sebu, seakan malas bergerak. Situasi itu cukup terasa ketika menunggang dalam keadaan lalu lintas sesak. Respon pendikit juga kurang sensitif, dan agak sukar menyelit di celahan kenderaan lain yang lebih besar. Hanya selepas terotel dikerah, barulah terasa hamburan kuasa yang lebih kuat hingga mencecah 120kmj.
BACA >>> KTM 790 Duke Lancar di Britain, Harga Saingi Kawasaki Z900! Malaysia Menyusul 2018?
Kelajuan maksimum 250 Duke (2017) sebenarnya tidak terhenti setakat itu saja, dan dianggap masih belum cukup laju mengikut piawaian mat motor Malaysia. Kelajuan paling tinggi dapat dicapai ialah 156kmj dalam keadaan menunggang menuruni bukit dalam posisi menunduk, sebelum enjin cut-off pada 10,500rpm. Bagi tunggangan biasa, angka yang dapat dicapai adalah sekitar 140-145kmj saja.
Bukan disebabkan enjin tidak berkuasa, tetapi disebabkan gear 6 sengaja ditetapkan lebih tinggi untuk mendapatkan lebih kesan lajakan. Secara teknikal, gear pacuan akhir tinggi memang sesuai untuk tunggangan santai di lebuh raya.
Ini bermakna penunggang perlu kerap menukar gear 5 jika mahukan lebih kuasa ketika memotong atau mendaki. Bagaimanapun, kelebihan pacuan akhir tinggi lebih terasa ketika menunggang dalam bandar dengan jarak perjalanan pendek. Getaran dihasilkan cukup minimum walaupun bergerak dalam kelajuan malar sekitar 130-140kmj.
PENGENDALIAN MANTAP
Seperti mana-mana jentera KTM, pengendalian masih menjadi forte atau senjata ampuh buat 250 Duke (2017). Walaupun rupa fizikal tampak besar, jentera itu cukup mudah dibanting atau beraksi 'flickable', iaitu menukar arah atau melayan selekoh pendek. Selain itu, kedudukan ekzos yand diubah ke arah sisi kanan memberikan ruang kelegaan tanah lebih tinggi, sekali gus membolehkan selekoh dilayan pada sudut lebih miring.
Membantu aspek pengendalian di selekoh ialah tayar Metzeler Sportec M5, cukup menggigit walaupun jalan sedikit basah. Sepanjang tempoh ujian di Berjaya Hills (atau 'Bukit Tinggi International Circuit') dalam keadaan panas dan kering, 250 Duke (2017) dapat dipacu sepantas jentera sport lain yang lebih berkuasa. Memandangkan brek jentera ini turut didatangkan bersama ABS dua arah, sebarang kesilapan lebih mudah diperbetulkan membuatkan jentera ini terasa lebih yakin untuk dibelasah.
Di lebuh raya, 250 Duke (2017) bergerak stabil walaupun ketika memotong kenderaan besar lain seperti lori dan bas. Cuma disebabkan ketiadaan visor angin, penunggang mungkin agak kurang selesa kerana perlu mengadap tempias angin dan berada dalam posisi menegak sepanjang masa dalam kelajuan tinggi.
Di bandar pula, tiada masalah kritikal dihadapi dari segi kualiti pengendalian. Tetapi, dalam situasi 'stop and go', suhu enjin Duke ini meningkat cepat. Selain itu, bunyi kipas radiator juga bising, manakala aliran haba dari enjin yang tersebar membuatkan kaki penunggang kerap rasa berbahang, dan menimbulkan ketidakselesaan. Lebih-lebih lagi ketika menunggu di lampu isyarat merah yang menyala lama.
PRAKTIKALITI DAN EKONOMI
Tiada sebarang rungutan. Duke 250 (2017) sangat sesuai digunakan sebagai pengangkutan harian ke pejabat melainkan anda perlu lebih banyak ruang simpanan. Namun, memandangkan tangki bahan api baharu ini datang dalam material logam, penggunaan beg tangki bermagnet ialah pilihan mudah jika anda mahukan sedikit ruang tambahan untuk membawa baju dan kasut hujan.
Menyentuh soal tunggangan pula selain isu respons pendikit yang dinyatakan tadi, 250 Duke (2017) mudah ditunggang dalam situasi trafik sesak berikutan ergonomik yang lebih tegak memudahkan penunggang 'membaca' situasi. Perbezaan dengan model terdahulu tidak begitu ketara, tetapi masih dapat dirasakan. Memandangkan Duke ini menampikan ciri ergonomik jentera naked yang menegak, tunggangan bersama pembonceng cukup selesa jika dibandingkan ergonomik jentera sport 250cc sekelas yang lebih menyeksakan, tambahan pula pelana yang disertakan benar-benar empuk.
Penggunaan bahan api masih dalam kategori menjimatkan pada purata sekitar 31km/liter. Sepanjang Duke 250 (2017) ini dilenjan sepuasanya dari Bentong ke Bukit Fraser dan balik ke Kota Damansara, jarak perbatuan yang dicapai sebelum indikator minyak menyala adalah lebih 250km. Masih jimat bukan? Jika perjalanan harian anda melibatkan jarak pendek dan sederhana, dan tidak terlalu tergesa memulas terotel, 250 Duke (2017) pasti dapat ditunggang hingga 300km untuk isian tangki penuh.
BACA >>> 9 Aksesori KTM yang Unik, Turut Keluarkan Seluar Dalam
Penjagaan? Seperti dijangka bagi sebuah jenama antarabangsa, 250 Duke (2017) masih belum dapat dimasukkan dalam kategori motosikal mudah dan murah, terutama jika anda sebelum ini ialah pemilik kapcai. Suspensi depan jenis terbalik misalnya, perlukan lebih perhatian dan kerap disenggara (boleh dilakukan sendiri), terutama apabila perjalanan anda melibatkan kondisi jalan kurang ideal seperti berlubang dan berdebu. KTM bagaimanapun menawarkan jaminan selama 2 tahun tanpa had perbatuan. Mungkin ini dapat melegakan hati anda.
KESIMPULAN
KTM 250 Duke (2017) boleh dikatakan pilihan hampir tepat, terutama kepada mereka yang berhasrat mendapatkan sebuah motosikal berkuasa untuk kegunaan harian dalam bandar.
Dengan gaya hebat, 250 Duke (2017) jelas menyerlahkan imej streetfighter garang yang menepati cita rasa anak muda masa kini. Dari segi kuasa, mungkin ada yang sinis dengan kemampuan jentera ini yang sekadar mencapai kelajuan sekitar 140-150kmj. Tetapi harus diingat, Duke bukanlah mesin yang dibina untuk berlumba di lebuh raya. Lain orang, lain tujuannya. Kata pepatah, lain padang lain belalang.
Kelebihan 250 Duke (2017) adalah keselesaan tunggangan dalam bandar yang menerapkan kombinasi kuasa padu pada rev pertengahan, aspek ergonomik yang tidak membebankan, dan kualiti pengendalian mantap yang membuatkan jentera ini sesuai untuk kegunaan harian, terutama kepada mereka yang baru belajar menunggang motosikal lebih besar.
Bagaimanapun, bersama tanda harga menyaingi jentera berkuasa tinggi aras permulaan lain (yang lebih berkuasa) seperti Yamaha YZF-R25 dan Kawasaki Z250, agak sukar menilai kewajaran membeli sebuah jentera bernama 250 Duke (2017). Sekali lagi diulangi, lain padang lain belalang. Kan?
Namun, jika anda mahukan sebuah motosikal 250cc yang mudah dan selesa ditunggang dalam bandar, bergaya streetfighter KTM yang unik dan masih belum merancang menaik taraf lesen memandu, 250 Duke (2017) mungkin dapat memuaskan naluri anda!
KELEBIHAN
- Rekabentuk streetfighter lebih agresif walaupun mengekalkan ergonomik menegak.
- Rekaan ergonomik dan pelana lebih selesa untuk tunggangan harian.
- Kendalian lincah di selekoh pendek.
- Ciri ABS dwi saluran dan tayar berkualiti - meningkatkan keyakinan penunggang.
KEKURANGAN
- Kurang berkuasa berbanding pesaing sekelas dalam julat harga RM21,000.
- Pelana lebih tinggi, sukar dipanjat mereka berketinggian rendah.
- Enjin mudah panas dan pengaliran haba kurang efektif - mengganggu keselesaan penunggang.
- Terotel kurang responsif, terutama dalam rev rendah.
ejat says
ada org mengatakan jentera ktm duke 250/390 hanya boleh m'guna ekzos akra sahaja? mohon pencerahan sekiranya ianya benar...
iskandarzmzr says
tidak