SUDAHPUN hampir 37 tahun berada di pasaran, Mitsubishi Triton masih kekal relevan dan diminati ramai. Lebih membanggakan, model trak pikap ini terus 'mengganas' untuk memastikan ia kekal yang terbaik jika dibandingkan dengan pesaingnya lain.
Untuk itu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru saja memperkenalkan model terbaharunya, Mitsubishi Triton serba baharu ke pasaran tempatan yang hadir dengan rekaan lebih berani dan berkuasa.
Ditawarkan dalam lima varian berbeza, trak pikap generasi ke-5 itu dijual pada harga serendah RM69,800 hingga RM111,600 (varian tertinggi).
HARGA: (Termasuk insurans dan GST)
- Mitsubishi Triton Quest Manual 4x2 - RM69,800
- Mitsubishi Triton 4x4 Double Cab (Manual) - RM85,800
- Mitsubishi Triton 4x4 Double Cab VGT (Manual) - RM95,000
- Mitsubishi Triton 4x4 Double Cab VGT (Auto) - RM101,600
- Mitsubishi Triton VGT Adventure (Auto) - RM111,600
Triton serba baharu didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000km perbatuan (mana tiba dahulu). Ia juga menawarkan penyenggaraan dua tahun secara percuma.
Bagi 2,000 pelanggan pertama yang menempah dan mendaftar Triton serba baharu pula bakal menerima Kad Ganjaran PETRONAS percuma bernilai RM138 untuk Dynamic Diesel. Tertakluk kepada terma dan syarat.
PRESTASI:
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, hanya satu pilihan enjin saja ditawarkan iaitu 2.5L 4-silinder dengan Variable Geometry Turbocharger (VGT) bersama intercooled.
Untuk makluman, ia masih mengekalkan enjin sama seperti model terdahulu tetapi ditambah baik untuk menawarkan prestasi tinggi selain penjimatan bahan api.
Enjin berteknologi maju Doyble Overhead Cam (DOHC) turbodiesel 16 injap bersama sistem common-rail ini mampu menhasilkan kuasa sehingga 176hp pada 4,000rpm dan tork 400Nm (2,000rpm), iaitu penambahan 50Nm berbanding model sebelum ini.
Manakala bagi Triton Quest 4x2 serba baharu yang hadir bersama enjin 2.5L turbodiesel dengan sistem commonrail bertekanan tinggi pula memiliki output sebanyak 108hp dan tork setinggi 200Nm.
Hadir bersama kotak gear transmisi automatik 5-kelajuan dengan mod Sport atau manual 5-kelajuan, ia digabungkan bersama sistem Easy Select 4WD Mitsubishi.
LUARAN:
Triton serba baharu ini dibangunkan sebagai "Trak Utiliti Sukan Terhebat" dengan menggabungkan keselesaan ruang dalaman sama seperti model sedan.
Tegap, bergaya dan rekabentuk dinamik adalah antara karakter utama Triton. Rekabentuk hadapan dipadankan dengan gril 3D selain kehadiran lampu LED nyalaan siang.
Dilihat daripada sudut profil, Triton serba baharu memiliki rekabentuk arus ke hadapan dan `garisan J’ di antara kabin dan dek belakang. Tambah menarik, ia kemudian dipasangkan dengan rim aloi bersaiz 17 inci.
DALAMAN:
Apa yang boleh dikatakan, ciri-ciri ditawarkan trak pikap baharu ini adalah sama seperti yang ada pada model sedan premium.
Sama seperti generasi Triton sebelumnya yang menetapkan standard baharu dalam segmen pikap, penggantinya ini juga membawa ciri-ciri yang pertama dalam kelasnya. Antaranya, sistem kemasukan tanpa kunci, penggilap cermin automatik, Kawalan Suhu Dua Zon dan pedal anjakan (ciri-ciri bagi setiap varian adalah berbeza.).
Ruangan hiburan pula hadir dengan sistem audio sesentuh bersama kamera undur. Stereng juga didatangkan dengan alat kawalan untuk memudahkan pemandu mengendalikan ruangan audio dengan mudah.
LUAS:
Menawarkan lebih keselesaan dan kemudahan, model 4x4 model ini berukuran 5280mm panjang (berkurangan 15mm), 1815 lebar (meningkat 15mm) dan 1780mm tinggi.
Jarak permukaan jalan adalah 205mm pada kesemua varian 4x4. Dimensi ruang dalaman pula dinaik taraf di mana mengalami peningkatan 20mm bagi ruang kaki dan 10mm lebih untuk ruang bahu.
KESELAMATAN:
Sama seperti model Mitsubishi lain, aspek keselamatan tidak dilupakan. Trition serba baharu ini memiliki binaan badan RISE (Reinforced Impact Safety Evolution) Mitsubishi yang menggunakan besi tensil kuat dan berkesan menyerap serta melepaskan tenaga sekiranya berlaku pelanggaran.
Antara ciri keselamatan lain turut disematkan adalah seperti dua beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan ISOFIX.
Untuk mengetahui lebih lanjut, apa kata ke pusat pameran Mitsubishi untuk pandu uji dan merasai kehebatan trak pikap ini.
Leave a Reply