BERITA baiknya, beberapa model sedan di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jualan tertinggi sepanjang 2017. Berita buruk pula, tujuh daripada 10 jenama di bawah ini mengalami kemerosotan jualan berbanding tahun lalu berikutan perubahan trend di kalangan pengguna AS yang cenderung membeli kenderaan utiliti sukan (SUV),.
Malah, sedan Lexus yang jarang sekali tersingkir dalam carta sedan pilihan pembeli AS, tetapi tahun ini terkeluar daripada senarai. Ketua Penjenamaan Toyota, Tokuo Fukuichi berkata, segmen sedan mungkin tidak mampu bertahan jika tidak berkembang.
"Melainkan kita dapat menawarkan pengalaman sedan yang tidak dimiliki SUV atau crossover," katanya.
Sekarang mari kita baca senarai 10 sedan paling laris di AS menurut laporan The Motley Fool.
#10 - CHEVROLET MALIBU
Chevy melancarkan Malibu rekaan semula tahun lalu, dengan mempertingkatkan aspek penggayaan, keluasan, dan dalaman, termasuk menambah baik kecekapan bahan api. Malibu juga dijadikan kereta paling selamat dengan dilengkapi ciri seperti Amaran Tukar Lorong (LDW), dan Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA).
Walaupun angka jualan merosot sebanyak 16.5 peratus berbanding tahun lalu, Malibu masih menjadi penyumbang keuntungan besar buat General Motors (GM).
#9 - HYUNDAI ELANTRA
Elantra kali ini menampilkan pilihan serba solid buat pencari sedan kompak dengan menawarkan nilai hebat untuk wang. Ruang luas, sedap dipandu dan lengkap teknologi keselamatan moden seperti Pengesanan Titik Buta (BSD), RCTA dan Bantuan Tukar Lorong (LCA) adalah apa yang diterima pemilik Elantra.
Sama seperti Malibu, jualan Elantra turut merosot sepanjang 2017, turun 8.8 peratus berbanding tahun lalu.
#8 - CHEVROLET CRUZE
Chevy Cruze masih mengekalkan populariti di kalangan pembeli AS sejak tampil dengan rekaan semula sepenuhnya pada 2016. Rata-rata pembeli memuji aspek kecekapan, nilai dan ciri dalaman yang ditawarkan. Ramai juga mendakwa Cruze sebagai sedan yang mengadunkan ciri Elantra dan Honda Civic. Jualan Cruze meningkat walaupun agak lewat di penghujung tahun dengan kenaikan 3.4 peratus setakat Oktober lalu.
#7 - FORD FUSION
Sangat kurang pembeli AS mengadu tentang Ford Fusion. Ciri teknologi terkini dalam model versi Sport yang dinamik dengan memuatkan sistem pengesan lubang jalan dan peredam kawalan berterusan berserta ambilan udara besar, rim 19-inci, paip kuad dan prestasi berjaya menggembirakan hati pemilik Fusion.
Fusion turut dijual dalam versi hibrid. Bagaimanapun, agak mengejutkan kerana jualan keseluruhan sedan berkenaan merosot 22.6 peratus tahun ini, angka yang agak besar!
#6 - NISSAN SENTRA
Nissan sangat agresif untuk menjadikan Sentra sukses. Walaupun berdepan kritikan tentang bunyi bising, model tersebut berjaya menarik hati pembeli AS dengan diskaun hebat diberikan. Jadi tidak hairanlah jualan Sentra meningkat 0.2 peratus setakat Oktober 2017, sekali gus menjadi antara sedan kompak 4-pintu paling laris di AS.
#5 - NISSAN ALTIMA
Walaupun berada di kedudukan meyakinkan di tempat kelima, jualan Altima menurun 17.1 peratus setakat Oktober ini dan Nissan bergelut mencari pembeli baharu untuk model tersebut. Masih lagi menjadi sedan luas dengan bahan api menjimatkan, tetapi tewas dari segi populariti dengan pesaing lain dalam kelas sama.
#4 - HONDA ACCORD
Walaupun jualan sedan saiz pertengahan ini merosot 15 peratus sepanjang sembilan bulan pertama 2017, tetapi itu langsung tidak mengurangkan populariti Accord. Bagi versi 2018, Accord tampil lebih sporty dengan menawarkan pilihan konektiviti moden, kualiti buatan solid dan ruang kabin luas untuk semua penumpang.
Bagi pembeli AS, Accord dianggap kereta famili sebenar dan masih kekal menjadi pilihan utama mereka. Sepanjang Oktober lalu, jualan menurun 2.3 peratus, tetapi model baharu kelak dijangka melonjakkan angka jualan.
#3 - TOYOTA COROLLA SEDAN
Semua tahu Corolla ialah kereta paling laris di dunia. Namun, walaupun terkenal dengan reliabiliti dan harga kompetitif, jualan sedan itu masih merosot pada 9 peratus tahun ini. Malah, penampilan Corolla juga dilihat jauh ketinggalan berbanding pesaing lain, sesuatu yang diakui sendiri Toyota.
#2 - TOYOTA CAMRY
Berikutan kritikan terhadap model-model baharu dikeluarkan, Toyota akhirnya boleh menjadikan Camry sebagai penanda aras kepada apa ditegaskan Presidennya, Akio Toyoda bahawa tiada lagi kereta bosan yang akan dikeluarkan pengeluar dari Jepun itu selepas ini.
Camry 2018 juga dikatakan antara model Camry tercantik pernah dihasilkan dalam sejarah sedan saiz pertengahan itu.
#1 - HONDA CIVIC SEDAN
Jualan Civic sebenarnya sudah melonjak sejak tahun lalu, dan setakat Oktober ini saja mencatatkan peningkatan 1.5 peratus. Civic juga menjadi kereta paling laris di AS, mengalahkan model pikap dan crossover yang semakin menjadi trend di kalangan pembeli negara itu.
Terima kasih kepada ruang kabin luas, prestasi enjin berkuasa dan rupa yang menarik dipandang. Walaupun masih awal untuk memperkatakan tentang nilai jangka panjang, tetapi Civic sememang sudah sedia terkenal sebagai sedan mampu milik, boleh diharap dan seronok dipandu berbanding pesaing lain dalam segmen sama. Nampaknya lawan Civic lain perlu bekerja lebih keras.
SUMBER: Car Scoops
Leave a Reply